Terdapat tuntutan bahawa rokok elektronik atau vape adalah lebih baik berbanding rokok tembakau biasa. Namun, terdapat juga keburukan vape atau rokok elektronik yang tidak harus dipandang ringan.
Apa itu Rokok Elektronik?
Rokok elektronik ialah alat elektronik yang memanaskan cecair dan menghasilkan aerosol. Rokok elektronik boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Kebanyakannya mempunyai bakteri, elemen pemanas dan tempat meletakkan cecair. Sesetengah rokok elektronik mempunyai bentuk seperti rokok biasa, paip, atau cerut. Terdapat juga yang mempunyai bentuk seperti pemacu kilat USB, pen atau yang mempunyai tangki.

Rokok elektronik turut dikenali dengan beberapa nama seperti “e-cigs“, “e-hookahs“, “mods“, “vape“, “sistem tangki” atau “electronic nicotine delivery systems (ENDS).”
Apa itu Vape atau Vaping?
Vape atau vaping ialah istilah yang digunakan untuk mengambarkan penggunaan rokok elektronik.
Istilah “vaping” ini digunakan kerana ramai yang percaya bahawa rokok elektronik ini menghasilkan wap yang kemudiannya disedut. Namun, hakikatnya rokok elektronik tersebut menghasilkan aerosol yang terbentuk daripada zarah kecil.
Bagaimana Rokok Elektronik Berfungsi?
Rokok elektronik memanaskan cecair yang dipanggil “jus” yang kemudiannya menukarkannya kepada aerosol atau sesetengah orang memanggil wap atau “vapor“.
Cecair jus ini biasanya mengandungi nikotina (nicotine), perisa dan bahan-bahan kimia yang lain yang membantu menghasilkan aerosol.
Penghisap rokok elektronik menyedut aerosol ini ke dalam paru-paru mereka. Selain itu, orang lain yang berada di sekitar penghisap rokok elektronik ini juga boleh menghidu aerosol yang dihembuskan oleh penghisap rokok elektronik atau vape tersebut.
Adakah Rokok Elektronik Mengandungi Nikotina?
Jus atau cecair perisa yang digunakan dalam rokok elektronik biasanya mengandungi nikotina. Ia adalah dadah yang sama yang menyebabkan ketagihan dalam rokok biasa, shisha, cerut atau produk tembakau yang lain.
Walau bagaimanapun, tahap nikotina tidak sama dalam semua jenis rokok elektronik dan kadangkala label produk tidak menyenaraikan kandungan nikotina yang sebenar.
Kesan Vape atau Rokok Elektronik Kepada Kesihatan
Terdapat pertambahan kajian-kajian yang mengkaji kesan atau keburukan vape atau rokok elektronik kepada kesihatan.
Kandungan nikotina dalam vape atau rokok elektronik boleh membahayakan perkembangan otak remaja. Otak manusia akan terus berkembang sehingga usia 25 tahun.
Penggunaan nikotina bagi golongan remaja boleh merosakkan bahagian otak yang mengawal tumpuan, pembelajaran, mood dan kawalan impuls. [1]
Selain itu, penggunaan nikotina semasa remaja juga boleh meningkatkan risiko ketagihan kepada dadah atau seumpamanya pada masa akan datang.
Satu kajian pada tahun 2020 yang menilai kesan penggunaan rokok elektronik melaporkan bahawa: [2]
- Pada jangka masa pendek, nikotina boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah diastolik.
- Terdapat peningkatan kepada serangan jantung dan strok dalam kalangan perokok elektronik.
- Penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja menyebabkan bronkitis kronik dan memburukkan gejala asma.
- Berlaku kecederaan paru-paru dalam kalangan perokok elektronik atau vape.
Keburukan vape atau rokok elektronik turut dilaporkan dalam kajian yang lebih terkini. Kajian ini melaporkan bahawa: [3]
- Sekiranya “jus” yang diambil mengandungi nikotina sebanyak 20 mg/ml, maka paras nikotina dalam darah adalah hampir sama seperti mereka yang merokok rokok biasa.
- Aerosol atau asap rokok elektronik atau vape turut mengandungi bahan karsinogen (penyebab kanser) atau racun seperti formaldehid, asetaldehid, akrolein, dan asetamida.
- Perisa jus atau e-liquid tertentu seperti Freedom Smoke Menthol Arctic, Global Smoke Caramel dan Cinnamon Ceylon boleh membunuh sel-sel badan.
Satu kajian jangka panjang yang diterbitkan pada 2021 mendedahkan bahawa penggunaan rokok elektronik termasuklah vape pada jangka masa panjang boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular sama seperti rokok biasa. Ketoksikan terhadap sistem kardiovaskular ini bergantung kepada masa pendedahan dan dos nikotina yang diambil. [4]
Kesan Terhadap Perokok Pasif
Seperti perokok pasif bagi rokok tembakau biasa, menjadi perokok pasif bagi vape atau rokok elektronik juga boleh memberikan kesan negatif.
Kajian yang melibatkan 40 orang bukan perokok menunjukkan terdedah kepada asap atau aerosol rokok elektronik selama 30 minit boleh menyebabkan gejala-gejala iritasi seperti sakit kepala, sakit tekak, sukar bernafas dan kekeringan mulut atau kerongkong. [5]
Walau bagaimanapun, kajian jangka panjang kesan asap atau aerosol rokok elektronik terhadap kesihatan perokok pasif masih terhad.
Rumusan
Rokok elektronik ialah alat elektronik yang memanaskan cecair dan menghasilkan aerosol. Ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan saiz. Vape pula adalah istilah yang digunakan untuk mengambarkan penggunaan rokok elektronik.
Tidak dapat dinafikan terdapat sedikit kebaikan rokok elektronik atau vape berbanding rokok tembakau biasa. Namun, keburukan vape atau rokok elektronik mengatasi kebaikannya.
Vape atau rokok elektronik tetap boleh membahayakan kesihatan perokok dan orang sekelilingnya.
Rujukan
- Goriounova, N. A., & Mansvelder, H. D. (2012). Short- and long-term consequences of nicotine exposure during adolescence for prefrontal cortex neuronal network function. Cold Spring Harbor perspectives in medicine.
- Cao, D. J. et al. (2020). Review of Health Consequences of Electronic Cigarettes and the Outbreak of Electronic Cigarette, or Vaping, Product Use-Associated Lung Injury. Journal of medical toxicology.
- Marques, P. et al. (2021). An updated overview of e-cigarette impact on human health. Respiratory research.
- El-Mahdy, M. A. et al. (2021). Long-term electronic cigarette exposure induces cardiovascular dysfunction similar to tobacco cigarettes: role of nicotine and exposure duration. American journal of physiology. Heart and circulatory physiology.
- Tzortzi, A. et al. (2020). Passive exposure of non-smokers to E-Cigarette aerosols: Sensory irritation, timing and association with volatile organic compounds. Environmental research.