Siapakah yang Dimaksudkan dengan Perokok Pasif?
Perokok pasif ialah seseorang yang tidak merokok tetapi menghidu dan menyedut asap rokok yang dihasilkan oleh perokok aktif tanpa disedari.
Perokok pasif boleh terdiri daripada pasangan, anak, rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang duduk berdekatan dengan perokok aktif yang sedang merokok.
Apabila perokok aktif merokok, asap yang terhasil dari puntung rokok dan dilepaskan ke udara. Asap ini boleh berada di udara dalam tempoh masa dua jam atau lebih walaupun tingkap dibuka.
Anda tidak boleh mengurangkan asap tersebut ke tahap yang boleh diterima, walaupun anda melakukan pengudaraan atau menapis udara.
Hal ini boleh terjadi di rumah, tempat kerja, kawasan awam, dan juga di dalam kereta. Walaupun kita tidak melihat atau menghidu asap rokok, tidak semestinya ia tiada lagi di kawasan itu.
Hanya persekitaran yang 100% bebas asap rokok sahaja boleh melindungi anda daripada kesan perokok pasif.
Bahan yang Terkandung Dalam Asap Rokok yang Berbahaya Kepada Perokok Pasif
Asap rokok mengandungi lebih daripada 7,000 bahan kimia. Beratus-ratus daripadanya adalah toksik dan kira-kira 70 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
Bahan kimia yang menyebabkan kanser dipanggil dengan istilah karsinogen. Antara bahan-bahan kimia karsinogen dan beracun yang dijumpai dalam asap rokok adalah:
- Nikotin: Dadah yang menyebabkan ketagihan.
- Hidrogen sianida: Hidrogen sianida boleh mengganggu penggunaan oksigen oleh badan dan menjejaskan otak, hati, paru-paru dan saluran darah.
- Formaldehid: Bahan kimia ini boleh menyebabkan leukemia mieloid. [1]
- Plumbum: Selain merosakkan buah pinggang dan otak, plumbum juga boleh menyebabkan kanser paru-paru dan otak.
- Arsenik: Arsenik boleh meningkatkan risiko terhadap kanser pundi kencing dan kanser kulit.
- Ammonia: Ammonia boleh meningkatkan kesan nikotin terhadap badan.
- Benzena: Benzena adalah bahan kimia yang digunakan dalam racun serangga dan detergen. Benzena boleh menyebabkan leukimia dan kanser darah. [2]
- Karbon monoksida: Gas beracun yang boleh menyebabkan kerosakan otak dan kematian.
- Polonium-210: Polonium-210 adalah bahan radioaktif yang toksik dan boleh menyebabkan kanser paru-paru dan kematian.
- Tobacco-specific nitrosamines (TSNAs): TSNA ini adalah bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser paru-paru. [3]
- Polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs): PAH meningkatkan risiko kepada kanser paru-paru, kanser kulit, kanser pundi kencing dan kanser skrotum (buah zakar). [4]
Bahaya dan Impak Terhadap Kesihatan
Selain meningkatkan risiko terhadap pelbagai kanser, menjadi perokok pasif juga mendedahkan anda terhadap pelbagai penyakit atau masalah kesihatan yang lain. Antaranya adalah:
- Penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, strok, serangan jantung atau aterosklerosis.
- Masalah paru-paru seperti asma, pneumonia, bronkitis dan penyakit penghalang pulmonari kronik (COPD).
- Masalah pernafasan yang kerap seperti batuk, bersin, sesak nafas atau masalah pernafasan lain.
- Jangkitan di telinga yang kerap.
- Kerosakan kepada mata seperti katarak dan pereputan gigi.
- Masalah serebrovaskular seperti demensia dan strok.
Kesan Terhadap Wanita Hamil
Sekiranya mempunyai pasangan yang merokok, wanita hamil berisiko tinggi untuk menjadi perokok pasif. Ini boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.
Antara kesan asap rokok terhadap wanita hamil adalah:
- Kelahiran mati
- Melahirkan anak yang tidak cukup berat
- Keguguran
- Melahirkan anak tidak cukup bulan
Kesan Terhadap Kanak-kanak
Bagi bayi atau kanak-kanak yang menjadi perokok pasif, impak atau bahaya yang boleh dihadapi oleh golongan ini adalah:
- SIDS (sindrom kematian secara tiba-tiba) iaitu kematian secara tiba-tiba dalam tahun pertama kehidupan.
- Penyakit pernafasan seperti asma, bronkitis dan radang paru-paru.
- Meningitis iaitu keradangan yang berlaku pada membran saraf tunjang atau otak.
- Alahan, batuk dan selesema.
- Kesukaran pembelajaran, kelewatan tumbesaran dan masalah neurobehavioral.
- Jangkitan telinga (otitis media).
- Mati pucuk.
- Tidak subur.
Langkah-langkah Pencegahan
Perkara yang penting yang perlu dilakukan oleh perokok pasif adalah mengelakkan pendedahan adalah menjauhi kawasan di mana orang merokok.
Membuka tingkap dan penapis udara tidak mengeluarkan semua asap rokok sekunder. Tetapi amalan ini mungkin membantu sedikit dengan mengurangkan beberapa toksin yang terdapat dalam tembakau yang terbakar.
Selain itu, jadikan rumah dan kereta anda sebagai kawasan yang bebas asap rokok.
Rujukan
- The American Cancer Society medical and editorial content team. (2014). Formaldehyde. American Cancer Society.
- The American Cancer Society medical and editorial content team. (2014). Benzene and Cancer Risk. American Cancer Society.
- Hecht, S. S., & Hoffmann, D. (1988). Tobacco-specific nitrosamines, an important group of carcinogens in tobacco and tobacco smoke. Carcinogenesis.
- ATSDR.(2013). What Health Effects Are Associated With PAH Exposure?