Mungkin ada yang berpendapat bahawa menghisap shisha tidak bahaya seperti menghisap rokok. Hakikatnya adalah sebaliknya. Shisha mempunyai keburukan yang hampir sama malahan boleh menjadi lebih teruk daripada rokok.
Shisha juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Hookah, Huqqa, Arghile, Narghile, Hubble Bubble, Goza dan Boori. Shisha dikatakan bermula sejak 300 tahun dahulu. Ada pendapat yang mengatakan ia berasal dari Turki dan ada juga yang mengatakan ia berasal dari Syria atau India.
Asap shisha mengandungi banyak karsinogen (bahan yang menyebabkan kanser) yang sama dengan karsinogen yang terkandung dalam asap rokok. Asap shisha boleh menjadi lebih bahaya bergantung kepada berapa dalam dan banyak ia disedut.
Budaya melepak menjadikan shisha popular dalam kalangan remaja dan golongan muda. Ramai yang melepak sambil menghisap shisha. Ada yang beranggapan menghisap shisha lebih baik daripada merokok.
Namun, sebenarnya mereka tanggapan tersebut meleset. Menghisap shisha adalah sama bahayanya seperti merokok.
Untuk satu sesi menghisap shisha, seseorang itu telah menghisap 90,000 mililiter (ml) asap berbanding 500-600 ml asap bagi sebatang rokok. Mereka juga terdedah kepada 9 kali ganda karbon monoksida dan 1.7 kali ganda nikotina berbanding sebatang rokok.
Menurut Centers for Disease Control and Infection (CDC), asap shisha sekurang-kurang sama toksik dengan asap rokok.
Satu kajian melaporkan bahawa shisha mengandungi kepekatan toksin yang ketara dan mengandungi 27 karsinogen yang diketahui dan disyaki. [1]
Ketagihan dan Keracunan
Shisha turut mengandungi nikotina, maka ia boleh menyebabkan ketagihan sama seperti rokok.
Menurut kajian, satu sesi menghisap shisha mengandungi 2.25 mg nikotina, 242 mg “tar” serta arsenik, kromium dan plumbum yang tinggi. Sekiranya air dibuang daripada mangkuk air pada badan shisha tersebut, maka ia meningkatkan kandungan nikotina beberapa kali ganda. [2]
Selain itu, pembakaran arang juga menghasilkan gas beracun seperti karbon monoksida. Ini boleh menambah risiko yang lain terhadap penghisap shisha.
Meningkatkan Risiko Kanser
Selain boleh menyebabkan ketagihan dan keracunan, keburukan shisha ditambah lagi dengan risiko kepada kanser. Penghisap shisha juga berisiko menghidap kanser sama seperti penghisap rokok.
Terdapat beberapa kajian yang mendedahkan risiko kanser dalam kalangan penghisap shisha, antaranya adalah:
- Kanser paru-paru: Satu kajian di India melaporkan bahawa menghisap shisha boleh meningkatkan risiko kepada kanser paru-paru sebanyak 6 kali ganda berbanding mereka yang tidak menghisap shisha. [3]
- Kanser kepala dan leher: Satu kajian semula yang melibatkan 7 kajian melaporkan bahawa terdapat perkaitan antara menghisap shisha dengan kanser kepala dan leher. [4]
- Kanser mulut: Kajian epidemiologi di Iran menunjukkan menghisap shisha adalah antara faktor risiko yang menyebabkan kanser mulut. [5]
- Kanser perut: Terdapat juga kajian yang mendapati terdapat perkaitan antara menghisap shisha dengan kanser perut, termasuklah lesi (luka) prakanser di dalam perut dalam kalangan penghisap tegar shisha. [6]
Meningkatkan Risiko Kepada Masalah Kesihatan Lain
1. Jangkitan Bakteria dan Virus
Menghisap shisha juga boleh meningkatkan risiko kepada jangkitan bakteria atau virus yang merebak melalui satu individu kepada individu yang lain.
Hal ini demikian kerana, aktiviti menghisap shisha melibatkan lebih seorang individu. Ia biasanya digilir-gilirkan antara beberapa individu di dalam satu kumpulan menggunakan penyedut yang sama.
2. Obesiti
Menghisap shisha dikaitkan dengan obesiti (kegemukan). Satu analisis mendapati menghisap shisha meningkatkan risiko kepada obesiti tanpa mengira usia dan jantina. [7]
3. Berat Lahir Rendah
Sekiranya shisha ini dihisap oleh wanita, risiko untuk mempunyai kelahiran bayi yang mempunyai berat lahir rendah adalah tinggi berdasarkan satu kajian. [8]
Penghisap Shisha Sekunder
Seperti perokok pasif, keburukan shisha turut menghantui mereka yang berada disekeliling atau berhampiran dengan kawasan yang mempunyai akitiviti menghisap shisha.
Penghisap shisha sekunder atau individu yang menghidu asap shisha dan asap yang dihembus oleh penghisap shisha berisiko tinggi untuk mendapat kesan buruk yang sama.
Kajian mendapati paras benzena dalam kalangan mereka yang terdedah kepada asap shisha meningkat sehingga 2.6 kali ganda selepas menghadiri acara yang melibatkan shisha. Terdedah kepada benzena boleh meningkatkan risiko kepada penyakit leukemia. [9]
Rujukan
- Shihadeh, A. et al. (2015). Toxicant content, physical properties and biological activity of waterpipe tobacco smoke and its tobacco-free alternatives. Tobacco control.
- Shihadeh A. (2003). Investigation of mainstream smoke aerosol of the argileh water pipe. Food and chemical toxicology.
- Koul, P. A. et al. (2011). Hookah smoking and lung cancer in the Kashmir valley of the Indian subcontinent. Asian Pacific journal of cancer prevention.
- Patil, S. et al.(2019). The relationship of “shisha” (water pipe) smoking to the risk of head and neck cancer. Journal of oral pathology & medicine.
- Maleki, D. et al. (2015). Epidemiology of Oral Cancer in Iran: a Systematic Review. Asian Pacific journal of cancer prevention.
- Sadjadi, A. et al. (2014). Neglected role of hookah and opium in gastric carcinogenesis: a cohort study on risk factors and attributable fractions. International journal of cancer.
- Baalbaki, R. et al. (2019). Association Between Smoking Hookahs (Shishas) and Higher Risk of Obesity: A Systematic Review of Population-Based Studies. Journal of cardiovascular development and disease.
- Akl, E. A. et al. (2010). The effects of waterpipe tobacco smoking on health outcomes: a systematic review. International journal of epidemiology.
- Kassem, N. O. et al. (2014). Benzene uptake in Hookah smokers and non-smokers attending Hookah social events: regulatory implications. Cancer epidemiology, biomarkers & prevention.