Dispareunia adalah istilah perubatan kepada persetubuhan yang menyakitkan. Ia menyebabkan kesakitan sebelum, semasa atau selepas melakukan hubungan seks. Ia boleh berlaku kepada lelaki atau wanita. Namun, golongan wanita lebih kerap mengalami masalah ini berbanding lelaki.
Kekerapan dispareunia yang berlaku dalam kalangan masyarakat di Malaysia sukar untuk dikenalpasti kerana tidak ramai wanita atau lelaki mengadu akan masalah ini, mungkin disebabkan oleh rasa malu atau segan dengan doktor atau jururawat.
Dispareunia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu jenis primer iaitu sakit yang dirasai semasa melakukan hubungan kelamin dan wanita tersebut tidak berpenyakit.
Jenis yang kedua atau jenis sekunder adalah disebabkan oleh penyakit-penyakit seperti sista ovari, endometriosis dan lain-lain.

Gejala-gejala Dispareunia
Dispareunia atau persetubuhan menyakitkan ini akan menyebabkan gejala-gejala seperti berikut:
- Sakit dibahagian luar faraj atau semasa kemasukkan batang zakar ke dalam faraj.
- Rasa sakit seperti panas membakar (burning), melecet atau tajam.
- Kesakitan di kawasan sekeliling pembukaan faraj (vulva).
- Sakit di faraj.
- Sakit di kawasan ari-ari.
- Sakit di bahagian batang zakar, buah zakar atau bahagian ari-ari.
- Sakit semasa batang zakar sudah memasuki faraj atau semasa di dalam faraj.
- Sakit di bahagian belakang pinggang.
Punca atau Penyebab
Terdapat beberapa punca atau penyebab kepada dispareunia yang berkaitan dengan kesakitan fizikal dan faktor emosi.
Sakit Luaran
Sakit semasa penetrasi atau semasa kemasukkan batang zakar mungkin disebabkan oleh faktor-faktor berikut:
- Kekeringan faraj: Mungkin tidak mendapat ransangan yang mencukupi, menopaus atau jangkitan di bahagian faraj atau pundi kencing.
- Kecederaan atau iritasi: Ini termasuklah kecederaan atau iritasi daripada kemalangan, pembedahan pelvis atau potongan yang dilakukan semasa melahirkan anak untuk membesarkan kanal lahir.
- Keradangan, jangkitan atau gangguan kulit: Jangkitan pada kawasan kemaluan atau saluran kencing boleh menyebabkan persetubuhan yang menyakitkan. Ekzema atau masalah kulit di kawasan kemaluan juga boleh menyebabkan masalah ini.
- Vaginismus: Kekejangan otot dinding faraj secara tidak sengaja ini boleh menyebabkan penetrasi yang menyakitkan.
- Masalah yang wujud sejak lahir: Faraj yang tidak terbentuk sepenuhnya atau pembentukan membran yang menghalang pembukaan faraj (selaput dara yang tidak mempunyai liang kecil).
- Masalah kulit: Masalah kulit di batang zakar atau kawasan sekitarnya.
Sakit Dalam
Sakit dalam lazimnya berlaku semasa batang zakar sudah memasuki faraj atau semasa di dalam faraj. Antara penyebabnya adalah:
- Penyakit tertentu: Endometriosis, penyakit keradangan pelvis, sista ovari, buasir, prolaps uterus, disfungsi lantai pelvis atau adenomiosis.
- Pembedahan atau rawatan perubatan: Parut daripada pembedahan pelvis. Rawatan perubatan untuk kanser atau pil perancang.
Faktor Emosi
Emosi berkait rapat dengan aktiviti seksual, jadi ia mungkin memainkan peranan dalam persetubuhan yang menyakitkan. Faktor emosi termasuklah:
- Psikologi: Berasa tidak suka atau tidak senang dengan pasangan ataupun diri sendiri semasa melakukan seks. Keresahan, kemurungan atau kebimbangan tentang penampilan fizikal diri.
- Tekanan (stres): Otot lantai pelvis cenderung mengetatkan sebagai tindak balas kepada tekanan dalam hidup.
- Sejarah penderaan seksual: Penderaan seksual boleh menyumbang kepada dispareunia.
Rawatan
Sekiranya anda mengalami dispareunia, anda patut berjumpa dengan doktor. Doktor akan memeriksa dan mengambil sejarah anda. Rawatan bergantung kepada simptom, usia, dan keadaan individu tersebut.
Rawatan untuk wanita:
- Antibiotik atau antikulat: Jika kesakitan disebabkan oleh jangkitan bakteria atau kulat.
- Krim atau gel: Untuk melembapkan faraj atau penyakit kulit di kawasan kulit vulva.
- Gel kebas: Disapu dibahagian faraj sebelum hubungan seks
- Rawatan fizikal: Untuk mengurangkan ketegangan otot dikawasan faraj
- Pembedahan: Pembedahan untuk membuang bahan asing atau septum di dalam faraj.
- Kaunseling atau terapi tingkah laku kognitif: Sekiranya disebabkan oleh faktor psikologi, rasa tidak senang dengan pasangan atau dari pengalaman lampau.
Rawatan untuk lelaki:
- Ubat antibiotik: Sekiranya terdapat jangkitan bakteria.
- Ubat kulit: Rawatan kulit di kawasan batang zakar
- Kaunseling atau terapi tingkah laku kognitif: Sekiranya disebabkan oleh faktor psikologi, rasa tidak senang dengan pasangan atau dari pengalaman lampau.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Painful intercourse (dyspareunia). MayoClinic
- Mohamed Tarmizi, M.H. (2019). Dispareunia. MyHealth KKM http://www.myhealth.gov.my/dispareunia/