Apa itu Vaginismus?
Vaginismus adalah ketegangan atau pengecutan otot di sekeliling faraj secara tidak sengaja. Faraj adalah sebahagian daripada sistem pembiakan wanita. Ia menghubungkan bahagian bawah rahim (serviks) ke bahagian luar badan.
Kekejangan otot yang tidak disengajakan ini berlaku apabila sesuatu seperti zakar, jari, tampon atau alat perubatan cuba menembusi faraj. Kekejangan mungkin menyebabkan rasa tidak selesa atau sangat menyakitkan.
Vaginismus adalah salah satu punca yang menyebabkan persetubuhan yang menyakitkan, juga dikenali sebagai dispareunia.
Siapa yang Boleh Mengalami Vaginismus?
Gejala vaginismus mungkin muncul semasa akhir remaja atau awal dewasa apabila seseorang melakukan hubungan seks buat kali pertama.
Keadaan ini juga boleh berlaku pada kali pertama seseorang cuba memasukkan tampon atau menjalani pemeriksaan pelvis.
Sesetengah wanita mengalami vaginismus di kemudian hari. Ia boleh berlaku selepas bertahun-tahun tanpa sebarang masalah.
Kekejangan atau ketidakselesaan mungkin berlaku pada bila-bila masa apabila terdapat penembusan faraj. Atau anda mungkin mengalaminya hanya pada masa tertentu seperti semasa hubungan seks atau pemeriksaan pelvis.
Jenis-jenis Vaginismus
Vaginismus boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
- Vaginismus primer: Apabila penembusan faraj tidak pernah berlaku.
- Vaginismus sekunder: Apabila penembusan faraj pernah berlaku sekali, tetapi tidak lagi pada kemudian kalinya, berpotensi disebabkan oleh faktor seperti pembedahan ginekologi, trauma atau radiasi.
Punca yang Menyebabkan Vaginismus
Vaginismus adalah keadaan yang boleh berlaku disebabkan oleh tekanan fizikal, tekanan emosi, atau kedua-duanya.
Ia boleh menjadi tindakan antisipasi, bermakna ia berlaku kerana orang itu menjangkakan ia berlaku.
Cetusan fizikal
Cetusan fizikal boleh menjadi punca atau penyebab kepada keadaan ini. Contohnya seperti:
- Jangkitan saluran kencing atau jangkitan yis
- Pembedahan pelvis
- Menopaus
- Kanser
- Cumbuan yang tidak mencukupi
- Cecair faraj yang tidak mencukupi
- Kesan sampingan ubat
- Bersalin
Cetusan emosi
Cetusan emosi juga turut boleh menjadi penyebab kepada vaginismus. Contohnya seperti:
- Masalah perhubungan seperti mempunyai pasangan yang suka mendera
- Pengalaman hidup yang pahit seperti penderaan atau serangan seksual
- Kebimbangan tentang prestasi atau berasa bersalah
- Takut sakit atau mengandung
- Pengalaman semasa kecil seperti terdedah kepada imej seksual
Gejala-gejala Vaginismus
Gejala-gejala vaginismus adalah:
- Ketidakselesaan atau sakit semasa penembusan faraj
- Hubungan intim yang menyakitkan (dispareunia)
- Tidak berupaya untuk melakukan hubungan seks atau pemeriksaan pelvis akibat kesakitan atau kekejangan faraj
- Sakit semasa memasukkan tampon
Kesakitan boleh berkisar dari ringan hingga teruk dan sensasi mungkin berjulat antara sedikit ketidakselesaan kepada rasa terbakar.
Vaginismus tidak menghalang wanita daripada terangsang secara seksual, tetapi ia boleh menyebabkan kebimbangan tentang hubungan seksual dan menyebabkan mereka mengelakkan hubungan seks atau penembusan faraj.
Rawatan
Rawatan vaginismus memberi tumpuan kepada mengurangkan refleks otot anda yang menyebabkan mereka tegang.
Rawatan juga menangani kebimbangan atau ketakutan yang menyumbang kepada vaginismus.
Antara pilihan rawatan yang ada adalah:
- Terapi topikal: Ubat sapuan seperti lidocaine boleh membantu mengurangkan kesakitan yang dialami.
- Terapi fizikal lantai pelvis: Ahli terapi fizikal akan mengajar anda cara mengendurkan otot lantai pelvis.
- Terapi dilator faraj: Dilator faraj ialah peranti berbentuk tiub yang terdapat dalam pelbagai saiz. Tujuan utama alat ini adalah untuk meregangkan faraj. Penghidap vaginismus menggunakan dilator untuk menjadi lebih selesa dan kurang sensitif dengan penembusan faraj.
- Terapi tingkah laku kognitif (CBT): CBT membantu anda memahami cara pemikiran yang mempengaruhi emosi dan tingkah laku anda. Ia merupakan rawatan yang berkesan untuk keresahan, kemurungan dan kecelaruan stres pascatrauma (PTSD).
- Terapi seks: Ahli terapi seks terlatih bekerjasama dengan individu dan pasangan untuk membantu mereka mencari keseronokan semula dalam hubungan seksual mereka.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Vaginismus. Cleveland Clinic