Sista ovari adalah gumpalan bukan kanser yang tumbuh pada ovari (rahim). Terdapat beberapa cara untuk merawat sista ovari yang boleh dilakukan di rumah atau secara semula jadi.
Orang yang mengesyaki mereka mempunyai sista ovari harus berjumpa doktor sebelum mencuba sebarang rawatan di rumah, kerana ia adalah penting untuk mendiagnosis punca sista tersebut.
Kesakitan yang teruk akibat sista ovari mungkin menunjukkan bahawa ia telah pecah atau merosakkan ovari atau tiub fallopio. Sista yang pecah boleh menjadi kecemasan perubatan.
Apa itu Sista Ovari?
Sista ovari ialah kantung berisi cecair yang tumbuh pada ovari seseorang. Ia agak biasa dan biasanya tidak berbahaya.
Terdapat dua jenis sista ovari yang biasa berlaku iaitu sista korpus luteum dan tumor benigna.
Bagi sista korpus luteum, sista ini terbentuk di dalam korpus luteum. Tisu ini mengisi folikel kosong sebaik sahaja ia mengeluarkan telur semasa ovulasi.
Sista ini mungkin berdarah dan menyebabkan kesakitan. Sementara itu, sista folikel terbentuk dalam folikel di mana telur berkembang semasa ovulasi.
Kedua-dua jenis sista ini biasanya tidak menyebabkan gejala dan biasanya hilang secara sendiri. Kebanyakan orang mengalami sekurang-kurangnya satu daripada di atas setiap kitaran haid, biasanya tanpa gejala.
Bagi sista ovari jenis tumor benigna. Ia membesar secara perlahan dan jarang-jarang sekali menjadi kanser.
Orang yang mempunyai sindrom ovari polisistik (PCOS) selalunya mempunyai pelbagai sista folikel. PCOS adalah sindrom yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon. Sesetengah orang dengan PCOS tidak mengalami ovulasi atau hanya ovulasi secara jarang-jarang.
Kadang-kadang sista tumbuh terlalu besar sehingga memulas ovari. Ini boleh merosakkan ovari atau tiub fallopio atau bahkan menyebabkan perdarahan yang mengancam nyawa.
Sista jenis ini memerlukan rawatan segera untuk mengelakkan kerosakan kekal pada ovari. Kadangkala, pakar bedah mungkin perlu mengeluarkan ovari jika ia sudah terlalu rosak.
Cara Merawat Sista Ovari Secara Semula Jadi
Melainkan jika sista yang terbentuk sangat besar atau membesar dengan cepat, doktor selalunya akan menasihati “tunggu dan lihat.”
Ini bermakna mereka akan memerhati sista dengan kerap dan menunggu untuk melihat sama ada ia berubah. Jika mereka menilai perubahan negatif, maka mereka akan bertindak sewajarnya.
Doktor mungkin melakukan beberapa pemeriksaan ultrabunyi selama beberapa bulan untuk memantau sista dan memastikan ia hilang atau tidak membesar.
Sementara itu, anda boleh melakukan rawatan di rumah untuk mengurus gejala-gejala dan mengurangkan kesakitan.
Antaranya rawatan-rawatan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:
1. Ubat Antiradang Bukan Steroid (NSAID)
Ubat antiradang bukan steroid yang boleh didapati melalui belian kaunter boleh merawat kesakitan akibat sista ovari.
Anda yang tidak mendapat kelegaan daripada NSAID harus mendapatkan rawatan daripada doktor kerana kesakitan yang teruk mungkin menunjukkan komplikasi yang teruk.
2. Urutan
Kesakitan sista ovari boleh menyebabkan otot sekeliling menjadi tegang. Ini boleh menjadi sangat tidak selesa semasa haid.
Mengurut bahagian bawah belakang, paha, punggung dan perut boleh membantu melonggarkan otot-otot yang tegang dan mengurangkan kesakitan.
3. Flaxseed
Terdapat penyelidikan yang mencadangkan flaxseed boleh membantu mengurangkan gejala-gejala PCOS dan mencegah sista ovari. [1]
Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada ia berkesan atau tidak terhadap sista ovari yang tidak berkaitan dengan PCOS.
Minyak flaxseed dan flaxseed secara semula jadi merendahkan hormon tertentu seperti testosteron, yang boleh membantu mengurangkan gejala PCOS.
Ia juga boleh meningkatkan fungsi metabolik (metabolisme), termasuk tahap insulin.
4. Terapi Haba
Haba meningkatkan aliran darah, membantu mengurangkan kesakitan akibat sakit otot.
Penyelidikan juga menunjukkan bahawa terapi haba secara berulang-ulang boleh mengurangkan keradangan dan menurunkan hormon testosteron bagi penghidap PCOS. [2]
Anda boleh menggunakan pad haba untuk mengurangkan kesakitan akibat sista atau kekejangan semasa haid.
5. Cuka Epal
Terdapat satu kajian kecil yang dijalankan oleh pengkaji dari Jepun yang mendapati pengambilan 15 gram cuka epal setiap hari selama 90-110 hari boleh mengembalikan ovulasi bagi wanita yang menghidap PCOS. [3]
Ini mungkin kerana cuka epal merendahkan paras gula dalam darah. Ini bermakna ada kemungkinan bahawa cuka epal boleh membantu merawat PCOS dan membantu menghalang sista ovari daripada terbentuk.
6. Teknik Santaian
Tekanan dan kebimbangan boleh memburukkan lagi kesakitan. Teknik santaian seperti meditasi, yoga dan pernafasan dalam boleh membantu melegakan kebimbangan dan mengurangkan kesakitan.
Teknik ini juga boleh membantu seseorang menguruskan kesakitan jangka panjang dan meningkatkan kesihatan secara amnya.
7. Menurunkan Berat Badan
Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, menurunkan berat badan boleh membantu badan mengawal selia hormon dengan lebih baik.
Ini seterusnya boleh menghalang pembentukan lebih banyak sista dan memperbaiki gejala-gejala seperti kesakitan dan kelesuan.
8. Teh Chamomile
Teh dan suplemen chamomile adalah rawatan pelengkap yang popular untuk gejala-gejala sista ovari.
Menurut penyelidikan, meminum teh chamomile boleh membantu anda berasa santai, mengurangkan senggugut dan melawan keradangan. [4]
Penghidap PCOS selalunya mempunyai tahap testosteron yang tinggi dalam darah mereka. Kajian menunjukkan bahawa suplemen chamomile mengurangkan tahap testosteron dengan ketara bagi penghidap PCOS. [5]
9. Halia atau Teh Halia
Halia, terutamanya teh halia, sering dipromosikan sebagai cara untuk melegakan gejala-gejala sista ovari. Sesetengah orang mengatakan ia membantu mengecutkan sista dan melegakan simptom-simptom PCOS.
Hal ini mungkin disumbang oleh khasiat halia yang bersifat antioksidan, antiradang dan antikanser.
Terdapat kajian semula yang menunjukkan bahawa halia boleh membantu merawat kanser dengan mengecutkan tumor kanser dan mencegah sel-sel kanser daripada merebak. [6]
Terdapat juga kajian yang mendapati halia boleh menyekat pertumbuhan sel-sel kanser ovari dan mencegahnya daripada merebak. [7]
10. Senaman
Perubahan gaya hidup seperti meningkatkan tahap aktiviti fizikal, boleh membantu meningkatkan kesihatan keseluruhan seseorang dan boleh membantu mereka menguruskan gejala-gejala sista ovari.
Kajian mendapati senaman yang kerap di samping penjagaan pemakanan (diet) mempunyai kesan yang lebih besar terhadap pengurangan gejala-gejala PCOS daripada perubahan diet sahaja. [8]
Rumusan
Sista ovari adalah perkara biasa, kebanyakannya tidak berbahaya dan hilang dari semasa ke semasa.
Walaupun ia berterusan, rawatan adalah selamat dan boleh dipercayai serta boleh menghalang sista daripada menyebabkan kemudaratan yang serius.
Selain pembedahan, beberapa rawatan di rumah atau petua boleh membantu anda mengecutkan sista ovari atau menguruskan simptom-simptom sista tunggal atau PCOS secara semula jadi.
Rujukan
- Mehraban, M. et al.(2020). A combination of spearmint and flaxseed extract improved endocrine and histomorphology of ovary in experimental PCOS. J Ovarian Res.
- Ely, B. R. et al. (2019). Heat therapy improves glucose tolerance and adipose tissue insulin signaling in polycystic ovary syndrome. American journal of physiology. Endocrinology and metabolism.
- Wu, D. et al. (2013). Intake of vinegar beverage is associated with restoration of ovulatory function in women with polycystic ovary syndrome. The Tohoku journal of experimental medicine.
- Khalesi, Z. B. et al. (2019). Efficacy of Chamomile in the Treatment of Premenstrual Syndrome: A Systematic Review. Journal of pharmacopuncture.
- Heidary, M. et al. (2018). Effect of chamomile capsule on lipid- and hormonal-related parameters among women of reproductive age with polycystic ovary syndrome. Journal of research in medical sciences.
- de Lima, R. M. T. et al. (2018). Protective and therapeutic potential of ginger (Zingiber officinale) extract and [6]-gingerol in cancer: A comprehensive review. Phytotherapy research.
- Rhode, J. et al. (2007). Ginger inhibits cell growth and modulates angiogenic factors in ovarian cancer cells. BMC complementary and alternative medicine.
- Kite, C. et al. (2019). Exercise, or exercise and diet for the management of polycystic ovary syndrome: a systematic review and meta-analysis. Systematic reviews.