Demam ialah suhu badan yang tinggi daripada kebiasaan. Suhu badan manusia berbeza-beza bagi setiap individu tetapi dalam lingkungan 36°C hingga 37°C. Demam bukanlah satu penyakit tetapi ia adalah tanda bahawa badan sedang mencuba melawan jangkitan atau penyakit.
Sekiranya jangkitan berlaku, sistem imun badan akan cuba melawan jangkitan daripada bakteria atau virus tersebut. Tindak balas ini akan meningkatkan suhu badan.
Pada suhu badan yang normal, kebanyakan bakteria atau virus dapat berfungsi dengan baik. Tetapi apabila anda demam, bakteria dan virus ini sukar untuk hidup.
Bagi orang dewasa, demam bukanlah satu perkara yang membimbangkan kecuali jika suhu badan mencapai 39.4°C atau lebih. Manakala bagi bayi atau kanak-kanak kecil, demam boleh menjadi petanda kepada jangkitan yang serius.

Secara umumnya, demam akan sembuh dengan sendirinya selepas beberapa hari. Ubat belian kaunter juga boleh membantu mengurangkan demam. Kadang-kadang, adalah lebih baik ia dibiarkan untuk sembuh sendiri.
Simptom-simptom Demam
Selain peningkatan suhu badan yang melebihi paras normal, anda juga mungkin akan mengalami simptom-simptom lain bergantung kepada punca yang menyebabkan anda demam.
Antara simptom-simptom tambahan yang boleh dialami oleh mereka yang demam adalah:
- Sakit kepala
- Hilang selera makan
- Sakit otot
- Berpeluh
- Menggigil atau seram sejuk
- Dehidrasi
- Berasa tidak bermaya
- Rasa mengantuk
- Sukar untuk memberi tumpuan
Sekiranya bayi mengalami demam, mereka mungkin menunjukkan simptom-simptom berikut:
- Rasa panas untuk disentuh
- Pipi menjadi kemerahan
- Berpeluh atau rasa lembap
Simptom COVID-19
Jika anda mengalami demam yang disertai batuk kering, ia mungkin simptom-simptom kepada jangkitan COVID-19.
Elakkan berkumpul ditempat orang yang ramai dan kekal dirumah. Amalkan langkah-langkah pencegahan dan kuarantin diri anda.
Sekiranya anda turut mengalami simptom-simptom seperti sesak nafas atau hilang deria bau, sila dapatkan rawatan kecemasan dan dapatkan ujian saringan COVID-19.
Berapakah Bacaan Suhu Badan Jika Demam?
Kebanyakan pakar berpendapat suhu badan sebanyak 38°C dikira sebagai demam bagi orang dewasa. Manakala bagi kanak-kanak, suhu badan sebanyak 37.5°C sudah dikira sebagai demam.
Seseorang itu dianggap mengalami demam panas sekiranya suhu badan mereka berada pada paras 41.1°C atau lebih. Demam panas adalah berbahaya dan boleh menyebabkan komplikasi lain.
Punca
Selain jangkitan bakteria atau virus, terdapat beberapa punca lain yang boleh menyebabkan demam. Antaranya adalah:
- Kanser
- Penyakit autoimun
- Ubat-ubatan seperti antibiotik, ubat tekanan darah tinggi atau ubat sawan
- Vaksin (bagi kanak-kanak)
- COVID-19
- Kelesuan haba
- Selaran matahari
- Darah beku
- Gangguan hormon seperti hipertiroid
- Sesetengah keradangan
- Tumor malignan
Rawatan
Bagaimana Untuk Merawat Demam Di Rumah?
Bagi demam yang ringan tanpa simptom-simptom yang memerlukan rawatan di klinik atau hospital, demam ini boleh dirawat di rumah sahaja.
Banyakkan minum air dan berehat (berbaring) boleh membantu anda sembuh daripada demam ini.
Sekiranya demam ini diikuti oleh simptom-simptom ringan seperti tidak selesa atau dehidrasi, beberapa langkah rawatan yang boleh dilakukan adalah:
- makan ubat paracetamol (panadol) atau ibuprofen
- mandi menggunakan air suam-suam kuku
- minum air yang banyak
- pastikan bilik tempat anda berehat selesa (suhu bilik yang sesuai)
Bila Perlu Berjumpa Doktor Jika Anda Demam
Umumnya, kebanyakan kes demam boleh sembuh hanya dengan rawatan di rumah.
Namun, terdapat juga kes-kes dimana demam menjadi tanda atau simptom kepada masalah kesihatan yang lain yang lebih serius.
Sila berjumpa dan dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya anda mengalami demam yang disertai simptom-simptom berikut:
- suhu badan melebihi 39.4°C
- mengunjungi negara-negara membangun baru-baru ini
- demam melebihi 3 hari
- mempunyai sistem imun yang lemah
- mempunyai penyakit atau masalah kesihatan yang lain
- sakit kepala yang teruk
- sakit perut atau sakit ketika membuang air kecil
Sila berjumpa dan dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya bayi anda:
- berusia 3 bulan ke bawah dan suhu badan melebihi 38°C
- berusia 3 hingga 6 bulan, suhu badan melebihi 38.9°C dan kelihatan sangat tidak selesa dan kelesuan
- berusia 6 hingga 24 bulan dan suhu badan melebihi 38.9°C lebih daripada sehari
Sila berjumpa dan dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya anak anda:
- suhu badan melebihi 39°C
- demam melebihi 3 hari
- kelihatan tidak selesa dan gelisah
- pernah menerima imunisasi dalam masa terdekat
- mempunyai sistem imun yang lemah
- baru-baru ini pernha ke negara membangun
- mempunyai penyakit yang serius
Demam juga boleh menjadi satu situasi kecemasan sekiranya anda atau anak anda turut mengalami:
- sakit dada
- sukar bernafas
- sawan
- halusinasi
- keliru
- tidak dapat berjalan
- menangis yang tidak boleh dipujuk (kanak-kanak)
Rujukan
- Brazier, Y. (2020). Fever: What you need to know. MedicalNewsToday.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Fever. MayoClinic.
- O’Connell, K .(2019). Everything You Need to Know About Fever. Healthline.