Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dianggarkan terdapat hampir 200, 000 kes baharu kusta dilaporkan setiap tahun di seluruh dunia. Hingga kini, kes kusta telah dilaporkan di hampir 120 negara termasuklah Malaysia.
Pada tahun 2023, kadar insiden (kes baharu) kusta di Malaysia ialah 7 bagi setiap 1 juta penduduk. Angka ini dijangka meningkat pada tahun-tahun berikutnya memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat menjalankan aktiviti-aktiviti pengesanan dan pencegahan.
Apakah itu Kusta?
Kusta ataupun leprosi yang turut dikenali sebagai penyakit Hansen merupakan jangkitan kronik disebabkan oleh bakteria Mycobacterium leprae (M.leprae).
Kusta sering dikaitkan dengan stigma, pengasingan sosial dan juga ketakutan dalam kalangan pesakit serta keluarga mereka.
Penyakit ini akan menyerang tubuh badan secara perlahan dalam purata tempoh masa inkubasi selama 5 hingga 30 tahun.
Bagaimana Kusta Berjangkit?
Kusta berjangkit melalui titisan cecair yang tersebar di udara daripada pesakit yang belum dirawat semasa mereka batuk atau bersin.
Walau bagaimanapun, untuk dijangkiti, seseorang perlu terdedah secara berterusan kepada bakteria tersebut selama beberapa bulan.
Malah, dianggarkan sebanyak 95% individu tidak menghidap kusta walaupun terdedah kepada bakteria M. leprae kerana sistem imuniti mereka mampu melawan bakteria tersebut.
Penyakit ini sering dilaporkan berlaku dalam kalangan individu yang merupakan kontak rapat pesakit atau mempunyai tahap pengetahuan yang rendah tentang penyakit tersebut.
Selain itu, tinggal di kawasan yang sesak atau yang kurang mendapat akses perkhidmatan kesihatan turut boleh meningkatkan risiko penularan kusta.
Gejala-gejala Kusta
Gejala-gejala kusta termasuklah:
- Tompok-tompok kulit yang pucat atau kemerah-merahan
- Kurang atau hilang deria sentuh akibat kerosakan saraf
- Penebalan kulit terutama pada bahagian cuping telinga dan muka.
- Kelemahan otot pada tangan, kaki atau kedua-duanya.
Walaupun penyakit ini tidak menular secara meluas seperti penyakit berjangkit yang lain, kusta yang tidak dirawat boleh menyebabkan kecacatan fizikal kekal serta kerosakan pada kulit, mata, saluran pernafasan dan saraf.
Malah, kusta juga dapat menjejaskan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka.
Rawatan untuk Kusta
Ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan kusta ialah kombinasi beberapa jenis antibiotik yang dikenali sebagai multidrug therapy (MDT).
Tiga antibiotik yang terdapat dalam kombinasi MDT ialah:
1. Rifampicin
Rifampicin bertindak dengan menghapuskan bakteria M. leprae. Ubat ini perlu diambil sekali setiap bulan.
Pesakit mungkin mengalami perubahan warna air kencing dan bendalir tubuh lain seperti air mata, peluh dan air liur.
Kesan sampingan ini bersifat sementara dan hanya berlaku sepanjang pesakit mengambil ubat rifampicin.
2. Clofazimine
Clofazimine bertindak dengan menghapuskan bakteria M. leprae. Ubat ini perlu diambil setiap hari.
Clofazimine berisiko menyebabkan kulit menjadi kehitaman dan sensitif terhadap cahaya matahari.
Perubahan warna kulit hanya berlaku sepanjang pengambilan ubat ini namun keadaan ini mungkin berlarutan untuk tempoh yang panjang.
Oleh sebab itu, pesakit dinasihatkan untuk mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari dan menggunakan produk perlindungan kulit.
Pesakit juga mungkin mengalami perubahan warna najis dan/atau bendalir tubuh seperti peluh, kahak dan air kencing.
Selain itu, kesan sampingan lain clofazimine termasuklah kekeringan dan kegatalan kulit serta masalah sistem penghadaman.
3. Dapsone
Dapsone bertindak dengan merencat pembiakan bakteria M.leprae. Ubat ini perlu diambil setiap hari.
Dapsone berisiko menyebabkan hemolisis dan anemia namun kesan sampingan ini lazimnya tidak begitu serius.
MDT dibekalkan kepada pesakit dalam bentuk pek blister yang mengandungi bekalan untuk tempoh 4 minggu.
Setiap kapsul atau tablet yang terdapat dalam MDT perlu diambil setiap hari mengikut arahan yang dinyatakan pada pek blister.
Tempoh rawatan kusta ditentukan oleh kategori pesakit berdasarkan status jangkitan. Terdapat dua pengkelasan pesakit kusta iaitu paucibacillary (PB) dan multibacillary (MB).
Pengkelasan ini akan menentukan tempoh rawatan yang perlu dilengkapkan oleh pesakit. Tempoh untuk rawatan penuh bagi kes PB ialah 6 bulan manakala 12 bulan bagi kes MB.
Nasihat untuk Pesakit dan Orang Awam
Kusta merupakan penyakit yang boleh dirawat. Pesakit hendaklah mengambil ubat kusta mengikut dos dan pada masa yang ditetapkan.
Kepatuhan kepada MDT dapat menjamin keberkesanan rawatan dan mengelakkan masalah kerintangan antibiotik.
Pesakit boleh menggunakan bantuan jam penggera atau jadual pengambilan ubat untuk mengingatkan waktu pengambilan ubat.
Sokongan daripada keluarga, rakan dan kenalan di sekeliling juga dapat membantu pesakit kekal positif dan bermotivasi untuk meneruskan rawatan.
Pesakit digalakkan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang jenis-jenis ubat yang diterima, cara ubat tersebut berfungsi dan kesan sampingan yang mungkin berlaku.
Langkah ini akan membantu pesakit memahami rawatan yang diberikan. Walaupun kebanyakan kesan sampingan MDT adalah ringan dan boleh dikawal, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dengan kadar segera sekiranya mengalami kesan sampingan yang lebih serius.
Walaupun dengan pengambilan MDT, pesakit turut berisiko mengalami lesi kulit yang baharu, pembengkakan pada lesi sedia ada, lemah otot atau sakit saraf.
Respons ini yang dikenali sebagai reaksi lepra berlaku akibat tindak balas sistem imun terhadap M. leprae. Jika situasi ini terjadi, pesakit harus mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Reaksi lepra sebenarnya merupakan tindak balas semula jadi terhadap jangkitan M. leprae dan tidak seharusnya disalah anggap sebagai kesan sampingan atau kegagalan rawatan.
Reaksi lepra boleh terjadi sebelum, semasa atau selepas pesakit melengkapkan MDT. Oleh sebab itu, pesakit yang telah melengkapkan regimen rawatan MDT akan disusuli dengan pemantauan klinikal secara berterusan untuk tempoh 5 hingga 10 tahun berikutnya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha ke arah mencapai sasaran sifar kes tempatan baharu menjelang tahun 2030. Pelbagai strategi yang merangkumi pengesanan awal, langkah pencegahan dan rawatan serta pendidikan berterusan telah dijalankan.
Antaranya ialah saringan kes dan pemberian rawatan kusta di kawasan terpencil oleh pasukan penjagaan kesihatan bergerak dan pemberian rawatan profilaksis Single Dose Rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko.
Setiap strategi perlu disokong sepenuhnya dan kesedaran tentang kusta perlu ditekankan kepada semua lapisan masyarakat untuk mengurangkan stigma.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Faouzi, M. et al. (2015). State-dependent blocking mechanism of Kv 1.3 channels by the antimycobacterial drug clofazimine. British journal of pharmacology.
- Ryan, R. et al. (2014). Interventions to improve safe and effective medicines use by consumers: an overview of systematic reviews. The Cochrane database of systematic reviews.
- Moet, F. J. et al. (2008). Effectiveness of single dose rifampicin in preventing leprosy in close contacts of patients with newly diagnosed leprosy: cluster randomised controlled trial. BMJ (Clinical research ed.).
- Sales, A. M. et al. (2011). Leprosy among patient contacts: a multilevel study of risk factors. PLoS neglected tropical diseases.