Apa itu Penyakit Kusta?
Penyakit kusta atau turut dikenali dengan nama leprosi adalah penyakit berjangkit kronik yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium leprae. Penyakit kusta juga dikenali sebagai Penyakit Hansen.
Kusta adalah salah satu penyakit tertua yang direkodkan dalam sejarah. Rujukan bertulis pertama yang diketahui tentang penyakit kusta adalah dari sekitar 600 B.C.
Penyakit ini menyerang bahagian kulit, saraf kaki dan tangan, permukaan mukosa saluran pernafasan atas dan mata. Penyakit kusta boleh berlaku pada semua peringkat umur bermula dari awal bayi hingga usia yang sangat tua.
Penyakit Kusta adalah endemik di Malaysia, walau bagaimanapun kadar jangkitan adalah rendah. Penyakit ini boleh disembuhkan dan rawatan pada peringkat awal dapat mencegah kecacatan.
Jenis-jenis
Terdapat dua jenis penyakit kusta iaitu:
- Paucibacillary: Dicirikan oleh dua (2) sehingga lima (5) lesi dan tiada bakteria dikesan dalam smer kulit.
- Multibacillary: Dicirikan oleh enam (6) atau lebih lesi atau bakteria dikesan dalam smer kulit atau kedua-duanya.
Tanda-tanda atau Gejala Penyakit Kusta
Tanda-tanda atau gejala mungkin berlaku dalam tempoh 1 tahun tetapi juga boleh mengambil masa selama 20 tahun atau lebih untuk berlaku. Tanda-tanda atau gejala biasanya menjejaskan kulit, saraf dan selaput mukosa.
Penyakit ini boleh menyebabkan tanda-tanda atau gejala kulit seperti:
- Tompok kulit yang berubah warna, biasanya rata, yang mungkin kebas dan kelihatan pudar (lebih cerah daripada kulit sekeliling)
- Ketumbuhan (nodul) pada kulit
- Ulser yang tidak menyakitkan pada tapak kaki
- Kulit tebal, kaku atau kering
- Bengkak atau ketulan yang tidak menyakitkan pada muka atau cuping telinga
- Kehilangan kening atau bulu mata
Tanda atau gejala akibat kerosakan pada saraf adalah:
- Kebas pada bahagian kulit yang terjejas
- Kelemahan otot atau lumpuh (terutamanya di tangan dan kaki)
- Masalah mata yang boleh menyebabkan buta (apabila saraf muka terjejas)
- Pembesaran saraf (terutamanya di sekitar siku, lutut dan di bahagian tepi leher)
Tanda atau gejala yang disebabkan oleh penyakit ini dalam selaput mukosa adalah:
- Hidung tersumbat
- Hidung berdarah
Punca Penyakit Kusta
Penyakit kusta disebabkan oleh sejenis bakteria yang lambat tumbuh dipanggil Mycobacterium leprae (M. leprae). Kusta juga dikenali sebagai penyakit Hansen sempena nama saintis yang menemui M. leprae pada tahun 1873.
Cara jangkitan tidak diketahui secara tepat tetapi difahamkan ia merebak apabila seseorang yang menghidap kusta batuk atau bersin, mereka mungkin menyebarkan titisan yang mengandungi bakteria M. leprae yang disedut oleh orang lain.
Kontak fizikal yang rapat dengan orang yang dijangkiti adalah perlu untuk seseorang itu dijangkiti. Ia tidak disebarkan melalui sentuhan biasa dengan orang yang dijangkiti, seperti berjabat tangan, memeluk atau duduk di sebelah mereka di dalam bas atau di meja semasa makan.
Ibu hamil yang menghidap kusta tidak menjangkiti bayi dalam kandungan. Ia juga tidak ditularkan melalui hubungan seksual.
Rawatan
Penyakit kusta boleh disembuhkan dengan gabungan ubat-ubatan yang dikenali sebagai multidrug therapy (MDT). Hal ini demikian kerana rawatan kusta dengan hanya satu ubat antileprosi (monoterapi) akan mengakibatkan perkembangan rintangan terhadap ubat tersebut.
Gabungan ubat-ubatan yang digunakan dalam MDT bergantung kepada klasifikasi penyakit iaitu paucibacillary atau multibacillary. MDT merangkumi 3 jenis ubat iaitu Dapsone, Rifampicin dan Clofazimine bagi multibacillary. Bagi paucibacillary, pesakit akan diberikan ubat Dapsone dan Rifampicin.
Komplikasi
Pengesanan awal adalah penting. Rawatan awal dapat mengelakkan kecacatan. Dengan ini pesakit dapat menghalang jangkitan kepada orang lain.
Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Kecacatan di muka seperti batang hidung menjadi rata atau bulu mata gugur.
- Kecacatan di tangan seperti otot tapak tangan mengecut, jari-jari membengkok atau hilang fungsi tangan.
- Kecacatan di kaki seperti hilang deria rasa jari kaki dan tapak kaki dan jari kaki menjadi luka.
- Penyakit mata seperti glaukoma.
- Keradangan pada mata hitam.
- Buta
- Hidung tersumbat atau hidung berdarah yang kronik.
- Ketidaksuburan
- Kegagalan buah pinggang
Rujukan
- World Health Orgnization. Leprosy (Hansen’s disease).
- Centers for Disease Control and Prevention. Hansen’s Disease (Leprosy).
- Nazario, B. (2020). Leprosy. WebMD