Adakah anda berpeluh dengan banyak dan mengalami pening, sakit kepala atau rasa ingin pitam selepas bekerja di bawah cuaca panas? Anda mungkin mengalami kelesuan haba. Terdapat tanda-tanda atau gejala yang mungkin menunjukkan anda mengalami kelesuan haba.
Teruskan membaca. Kami akan jelaskan kepada anda mengenai apa yang anda perlu tahu mengenai kelesuan haba.
Apa itu Kelesuan Haba?
Kelesuan haba (heat exhaustion) ialah penyakit berkaitan haba yang berlaku apabila badan anda terlalu panas. Ia merupakan tindak balas badan apabila badan kehilangan air dan garam secara berlebihan, selalunya melalui peluh yang berlebihan.
Badan anda boleh menjadi terlalu panas semasa senaman atau aktiviti fizikal terutamanya semasa cuaca panas dan lembap.
Semasa aktiviti fizikal, badan anda kehilangan cecair melalui peluh. Jika anda tidak menggantikan cecair tersebut dengan meminum air kosong atau cecair lain, anda boleh mengalami dehidrasi.
Dehidrasi juga boleh menyebabkan anda berisiko untuk mengalami kelesuan haba.
Terdapat dua jenis kelesuan haba iaitu:
- Kehabisan air: Ia menyebabkan tanda-tanda seperti terlalu dahaga, sakit kepala, kelemahan atau tidak sedarkan diri.
- Kehabisan garam: Ia menyebabkan tanda-tanda seperti loya dan muntah, kekejangan otot dan pening.
Walaupun kelesuan haba tidak serius seperti strok haba, ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Tanpa intervensi yang betul, kelesuan haba boleh berkembang menjadi strok haba, yang boleh merosakkan otak dan organ penting serta menyebabkan kematian.
Tanda-tanda dan Gejala Kelesuan Haba
Tanda-tanda dan gejala kelesuan haba adalah seperti berikut:
- Sakit kepala
- Loya dan muntah
- Pening
- Kelesuan
- Dahaga
- Berpeluh dengan banyak
- Suhu badan naik
- Air kencing berwarna gelap dan berkurangan
- Kekeliruan
- Kekejangan otot
- Kulit menjadi pucat
- Denyutan jantung laju
- Tekanan darah rendah semasa berdiri
- Kulit menjadi sejuk dan lembap, berasa seram sejuk apabila berada di tempat panas
Golongan Berisiko
Kelesuan haba lebih cenderung berlaku kepada:
- Golongan berusia
- Mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi
- Mereka yang bekerja di tempat panas
Punca Kelesuan Haba
Kebiasaaanya, peluh akan menyejukkan kulit dan bertindak seperti penghawa dingin untuk seluruh badan anda. Apabila anda aktif (terutamanya dalam cuaca panas), badan anda bekerja keras untuk mengawal suhu terasnya.
Apabila suhu badan anda meningkat terlalu tinggi dan badan tidak dapat menyejukkan diri, ia menyebabkan berlakunya kelesuan haba.
Selain cuaca panas dan aktiviti yang berat, kelesuan haba juga boleh berpunca daripada:
- Dehidrasi: Ia mengurangkan keupayaan badan anda untuk berpeluh dan mengekalkan suhu normal.
- Pengambilan alkohol: Ia boleh menjejaskan keupayaan badan untuk mengawal suhu anda.
- Pakaian berlebihan: Terutamanya bagi pakaian yang tidak membolehkan peluh untuk tersejat dengan senang.
Rawatan
Jika anda atau seseorang yang anda kenali mempunyai tanda-tanda kelesuan haba, adalah penting untuk mengambil tindakan segera.
Apa yang anda patut lakukan adalah:
- Minum air sejuk: Minum air kosong atau minuman sukan dengan elektrolit. Minum air dalam tempoh masa kira-kira satu jam, tetapi jangan minum terlalu banyak dengan terlalu cepat. Elakkan minuman beralkohol dan berkafein.
- Sejukkan badan: Pergi ke tempat yang sejuk secepat mungkin. Cari tempat yang teduh, mandi air sejuk atau duduk di dalam bangunan yang mempunyai penyaman udara.
- Berehat: Hentikan semua aktiviti fizikal. Duduk atau berbaring agar badan anda dapat berehat.
- Longgarkan pakaian: Sekiranya anda memakai pakaian yang tebal, berlapis-lapis dan ketat, longgarkan pakaian anda. Buka pakaian yang tidak perlu.
- Dapatkan bantuan perubatan: Sekiranya tanda-tanda atau gejala tidak pulih dalam masa satu jam selepas anda berehat atau meminum air, sila dapatkan bantuan perubatan.
Langkah-langkah Pencegahan
Ketika musim atau cuaca panas, adalah terbaik untuk berada di dalam bangunan atau ruangan yang mempunyai penyaman udara.
Sekiranya anda perlu melakukan kerja di luar, anda boleh mencegah kelesuan haba dengan langkah-langkah berikut:
- Memakai pakaian cerah dan longgar.
- Menggunakan losyen pelindung matahari yang mempunyai SPF 30 ke atas.
- Minum air yang banyak.
- Elakkan minuman berkafein seperti kopi dan elakkan minuman beralkohol.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2023). Heat Exhaustion. MayoClinic
- Ansorge,R. (2023). Heat Exhaustion. WebMD