Beguk adalah penyakit yang boleh dirawat. Terdapat beberapa cara untuk merawat beguk sama ada melalui keadah perubatan moden atau melalui petua tradisional.
Bagaimana untuk Mengenali Beguk?
Beguk adalah penyakit berjangkit yang disebabkan virus. Ia biasanya bermula dengan demam selama beberapa hari, sakit kepala, sakit otot, kepenatan dan hilang selera makan.
Tanda yang paling jelas untuk mengenali beguk adalah bengkak pada kelenjar air liur parotid yang terletak di bawah telinga. Ini menyebabkan penghidap beguk kelihatan mempunyai pipi dan rahang yang bengkak.
Tanda-tanda dan Gejala Berkaitan dengan Beguk
Selain pipi dan rahang yang bengkak, penghidap beguk juga akan mengalami gejala-gejala seperti:
- Demam
- Sakit kepala
- Kepenatan atau kelesuan
- Sakit otot
- Hilang selera makan
Manakala, dalam kes-kes terpencil, gejala-gejala teruk boleh berlaku yang memerlukan rawatan daripada ahli profesional kesihatan dengan segera:
- Demam panas
- Sakit kepala yang teruk
- Sakit perut
- Kekeliruan
- Rasa tegang pada leher
- Sawan
- Muntah
Rawatan Perubatan untuk Beguk
Beguk adalah disebabkan virus, maka antibiotik tidak berkesan untuknya. Ramai kanak-kanak dan orang dewasa yang pulih daripada penyakit ini tanpa komplikasi selepas beberapa minggu.
Secara umumnya, tiada rawatan perubatan khusus untuk melegakan beguk tetapi gejala-gejala yang dialami boleh dirawat dengan menggunakan ubat penghilang kesakitan atau ubat untuk melegakan demam.
Antaranya cara merawat beguk menggunakan kaedah perubatan adalah mengambil ubat:
- Paracetamol seperti Panadol atau Uphamol
- Ibuprofen
Elakkan memberikan anak anda ubat aspirin. Kanak-kanak yang dijangkiti virus beguk yang mengambil aspirin boleh mengalami sindrom Reye iaitu penyakit berbahaya yang menyebabkan kegagalan hati, bengkak pada otak dan kematian.
Tambahan daripada itu juga, pesakit juga perlu mendapatkan rehat yang mencukupi bagi membolehkan badan melawan jangkitan dan sembuh.
Mereka yang dijangkiti juga hendaklah tinggal di rumah sehingga beguk tidak lagi berjangkit (iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar air liur) atau sehingga bengkak tersebut hilang.
Rawatan Di Rumah atau Petua Merawat Beguk
Terdapat juga beberapa cara tradisional yang boleh merawat beguk. Petua atau rawatan di rumah ini boleh membantu menguruskan gejala-gejala atau simptom beguk yang dialami oleh pesakit.
Antaranya adalah:
- Gunakan pek ais atau mampat sejuk (cold compress) untuk mengurangkan kesakitan akibat bengkak kelenjar air liur atau buah zakar (testis).
- Elakkan makanan yang keras dan memerlukan kunyahan yang banyak.
- Minum air yang banyak.
- Elakkan makanan yang masam seperti jus atau buah oren kerana boleh merangsang penghasilan air liur.
- Elakkan makanan yang pedas kerana boleh merangsang penghasilan air liur (menyebabkan kelenjar air liur perlu bekerja).
- Gunakan daun semambu (mambu) yang ditumbuk dan dicampur dengan serbuk kunyit. Campurkan sedikit air sehingga ia membentuk seperti pes. Sapukan pada bahagian yang bengkak bagi mengurangkan kesakitan dan bengkak.
- Sapukan gel aloe vera yang diperolehi daripada daun aloe vera pada bahagian bengkak bagi mengurangkan kesakitan dan bengkak.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya anak anda mengalami beguk, perhatikan tanda-tanda atau gejala komplikasi berikut. Sila dapatkan rawatan segera sekiranya anak anda mendapat tanda-tanda atau gejala tersebut.
- Demam yang melebihi 39°C.
- Sukar untuk makan dan minum.
- Sakit perut.
- Kekeliruan atau penanaran (disorientasi).
- Bengkak dan sakit pada testis (buah zakar) bagi kanak-kanak lelaki.