Membalut luka dengan betul adalah penting sebagai rawatan pertolongan cemas yang asas. Oleh itu, mengetahui cara membalut luka dengan betul sangat memberi manfaat dan kelebihan bagi mereka yang mengetahuinya.
Penyembuhan luka ialah proses yang kompleks dan dinamik yang memerlukan persekitaran yang sesuai untuk proses penyembuhan. Terdapat 4 fasa dalam penyembuhan luka iaitu:
- Fasa pembekuan dan hemostasis (pemberhentian darah)
- Fasa keradangan
- Fasa proliferasi (pembentukan tisu-tisu baru dan saluran darah)
- Fasa pematangan (pemodelan tisu-tisu baru)
Tidak kira sama ada luka tersebut kecil atau besar, adalah penting untuk menguruskannya dengan betul dan baik. Membalut luka adalah salah satu proses pengurusan pada peringkat awal.
Luka-luka kecil boleh dirawat di rumah atau di jalanan, manakala luka yang besar juga perlu dibalut atau ditutup sementara menunggu rawatan perubatan.
Cara membalut luka yang betul merangkumi 3 peringkat berikut:
Menilai Perdarahan
Sebelum melakukan penilaian perdarahan, jika boleh, anda disarankan untuk memakai kelengkapan perlindungan diri seperti pelitup muka atau sarung tangan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penyebaran penyakit dan memastikan kebersihan.
Kemudian, lakukan penilaian terhadap perdarahan yang berlaku. Perdarahan sedikit tidak mengapa kerana ia membantu membuang kotoran dan bahan cemar lain daripada luka, tetapi perdarahan yang banyak adalah tidak baik.
Sila buat panggilan kecemasan 999 jika anda mendapati berlaku perkara-perkara berikut:
- Darah memancut dan berwarna merah terang.
- Luka berlubang yang melebihi seinci (2.5cm) pada kepala, leher, dada, perut, pelvis atau dibelakang badan.
- Luka berlubang yang dalam pada lengan di atas siku atau kaki di atas lutut.
Lakukan pertolongan cemas untuk menghentikan perdarahan dengan menutup lubang luka dengan memberikan tekanan pada luka dan meletakkan kain kasa atau tuala yang bersih.
Membersihkan Luka
Sebelum membalut luka, adalah penting untuk membersihkan luka tersebut terdahulu bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
Cara membersihkan luka adalah seperti berikut:
- Bersihkan luka dengan air yang mengalir.
- Bersihkan kulit disekeliling luka dengan sabun.
- Bilas luka dan kawasan luka secara menyeluruh bagi menghilangkan kotoran dan sabun.
- Gunakan penyepit (tweezer) untuk membuang partikel seperti serpihan kaca atau anak batu.
Hidrogen peroksida (antiseptik) juga tidak diperlukan untuk membersihkan luka kerana ia boleh memudaratkan.
Menutup Luka
Hanya luka yang berpotensi untuk bersentuhan dengan pakaian atau kotoran sahaja disarankan untuk ditutup.
- Bagi luka melecet dan pelelasan, membalut lekat (adhesive bandage) adalah cara paling mudah untuk menutup luka tersebut.
- Bagi luka yang kurang daripada dua sentimeter (2cm) panjang, ia boleh ditutup dengan pembalut rama-rama (butterfly bandage).
- Jika sisi luka melecet tidak mudah untuk dirapatkan, luka tersebut mungkin memerlukan jahitan.
Bila Perlu Dapatkan Bantuan Perubatan?
Sekiranya anda mendapati luka yang berlaku tersebut adalah dalam, sila dapatkan bantuan perubatan dengan segera.
Beberapa gejala atau simptom pada luka yang dalam berikut memerlukan bantuan perubatan:
- Luka menjadi lembut dan kebas
- Luka dan kawasan luka menjadi bengkak dan merah
- Luka mengeluarkan nanah
- Luka dengan tepian bergerigi atau tidak dapat ditutup
Rujukan
- Dhivya, S. et al. (2015). Wound dressings – a review. BioMedicine.
- Brouhard, R. (2019). How to Properly Dress a Wound. verywellhealth