Antara ubat-ubatan yang digunakan untuk asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) termasuklah dalam bentuk ubat sedut atau inhaler.
Inhaler perlu digunakan oleh pesakit dengan cara yang betul bagi membolehkan ubat yang terdapat di dalamnya disedut ke dalam saluran pernafasan.
Memandangkan penggunaan inhaler melibatkan pesakit dari pelbagai peringkat umur seperti bayi, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas, alat bantu diperlukan bagi memudahkan penggunaan inhaler.
Contoh alat bantu yang lazim digunakan ialah alat corong bagi ubat sedut atau spacer.
Mengapakah Perlu Menggunakan Spacer?
Spacer sangat membantu pesakit bagi memperoleh manfaat penuh daripada penggunaan inhaler dan seterusnya meningkatkan keberkesanan pengurusan penyakit asma atau COPD yang dihidapi.
Alat ini digunakan untuk membantu pesakit mengkoordinasikan pernafasan mereka dengan penyemburan ubat daripada inhaler.
Dengan spacer, pesakit dapat menggunakan inhaler tanpa perlu menyedut semburan ubat sambil menekan inhaler tersebut yang merupakan langkah penting bagi penggunaan inhaler tanpa spacer.
Penggunaan spacer juga membolehkan ubat yang dilepaskan daripada inhaler dikumpulkan terlebih dahulu sebelum disedut, memberikan lebih masa dan mengoptimumkan jumlah ubat yang disedut oleh pesakit. Hal ini dapat memastikan dos ubat sampai secara efektif ke paru-paru.
Tanpa penggunaan spacer, ubat berisiko untuk meruap ke udara sebelum sempat disedut oleh pesakit.
Selain itu, terdapat juga kemungkinan sebahagian ubat daripada inhaler termendak di bahagian belakang tekak akibat teknik penggunaan inhaler yang salah oleh individu yang tidak mahir menggunakan inhaler.
Mendakan ubat ini boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sakit tekak, suara serak dan ulser mulut.
Penggunaan spacer dapat membantu menapis partikel yang lebih besar dan mengurangkan risiko pemendapan ubat.
Cara Penggunaan Spacer yang Betul
Langkah penggunaan spacer yang betul memastikan dos ubat yang dikeluarkan daripada inhaler dapat disedut sepenuhnya oleh pesakit.
Langkah berikut harus diikuti oleh pesakit untuk menggunakan spacer dengan cara yang betul:
- Sebelum menggunakan spacer, pastikan tiada sebarang bendasing atau kerosakan pada alat tersebut.
- Tanggalkan penutup inhaler dan goncang sebanyak tiga hingga lima kali bagi memastikan kandungan ubat di dalam inhaler bercampur dengan sempurna.
- Pasangkan inhaler pada spacer.
- Letakkan corong mulut spacer di antara kedua-dua bibir dan dongakkan sedikit kepala ke belakang. Mulut haruslah ditutup rapat agar tiada udara dari luar masuk semasa sedutan dilakukan.
- Pengguna yang menggunakan spacer yang dilengkapi topeng muka, contohnya seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, hendaklah meletakkan topeng dengan kemas dan pastikannya melekap rapat pada muka.
- Setelah kedudukan corong stabil, tekan inhaler untuk melepaskan dos ubat. Sedut ubat secara perlahan dan sedalam yang mungkin melalui mulut.
- Sekiranya menggunakan spacer dengan topeng muka, pesakit boleh bernafas seperti biasa sebanyak lima kali sambil memegang topeng dengan kukuh pada muka. Penunjuk aliran udara yang terdapat pada spacer akan bergerak, menandakan sedutan yang betul telah berlaku. Sekiranya sedutan terlalu kuat, bunyi wisel akan terhasil yang menandakan sedutan perlu diperlahankan.
- Jika memerlukan dos kedua, pesakit harus menunggu antara 30 saat hingga 60 saat sebelum mengulangi langkah yang sama.
- Pesakit yang menggunakan inhaler mengandungi ubat dalam kategori kortikosteroid dinasihatkan untuk berkumur selepas setiap kali penggunaan. Langkah ini penting untuk mengelakkan kesan sampingan seperti ulser atau kerengsaan pada mulut dan tekak.
Nasihat untuk Pesakit
Terdapat pelbagai jenis spacer di pasaran. Kebiasaannya, spacer boleh didapati dalam tiga saiz yang berbeza iaitu saiz untuk kegunaan bayi, kanak-kanak dan dewasa. Pemilihan saiz yang tepat adalah penting.
Spacer yang hendak dibeli haruslah dipastikan mempunyai penunjuk bagi cara penggunaan yang betul dan membantu pesakit mengira bilangan sedutan.
Apabila memilih spacer dengan topeng muka untuk kegunaan kanak-kanak, pastikan saiz topeng tersebut bersesuaian dan dapat melekap dengan rapat pada muka.
Spacer yang telah digunakan perlu dibersihkan sekurang-kurangnya seminggu sekali atau apabila perlu.
Sekiranya spacer tidak dibersihkan dengan sempurna, sisa ubat boleh terkumpul dan seterusnya mengurangkan keberkesanan spacer.
Selain itu, spacer juga sebaik-baiknya diganti setiap 12 bulan bagi menjamin kualiti dan fungsinya.
Cara cucian spacer yang disarankan adalah dengan menanggalkan bahagian spacer yang boleh dibuka dan merendamkan bahagian-bahagian tersebut dalam larutan sabun pencuci selama 15 minit.
Selepas direndam dalam air mengandungi sabun, kedua-duanya perlu direndam dan dibilas dengan air bersih.
Walau bagaimanapun, bahagian-bahagian spacer tidak boleh dibilas di bawah air paip kerana langkah ini berisiko merosakkan injap spacer.
Setelah dibersihkan, biarkan spacer kering dengan sendiri secara semula jadi dalam posisi menegak tanpa dilap dengan kain atau tisu.
Apabila telah kering sepenuhnya, semua bahagian spacer perlu dipasang semula seperti keadaan asal dan sedia untuk digunakan semula.
Secara rumusannya, spacer merupakan alat bantu yang boleh digunakan untuk memudahkan pesakit yang mengalami kesukaran menggunakan inhaler.
Penggunaan spacer dengan cara yang betul dapat memastikan dos ubat yang disedut dihantar tepat ke paru-paru dan seterusnya memastikan keberkesanan rawatan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat- ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).





