Buasir atau hemoroid ialah penyakit yang menyebabkan salurah darah membengkak dan mengalami keradangan di bahagian bawah rektum dan sekitar dubur. Buasir dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai hemorrhoids atau piles.
Buasir boleh dirawat dan terdapat banyak cara merawat buasir yang boleh dilakukan di rumah atau rawatan di klinik atau hospital.
Secara umumnya terdapat 2 jenis buasir iaitu:
- Buasir dalaman
- Buasir luaran
Buasir dalaman adalah buasir yang terbentuk di dalam rektum. Rektum ialah bahagian hujung usus besar yang menghubungkan usus besar dan dubur.
Buasir luaran pula adalah buasir yang terbentuk di luar di bahagian kulit luar bahagian anus (dubur).
Simptom-simptom atau Gejala Buasir
Simptom atau gejala bagi penyakit buasir ini bergantung kepada jenis yang dialami.
1. Buasir dalaman
Buasir dalaman tidak dapat dilihat dan dipegang serta jarang-jarang sekali menyebabkan ketidakselesaan. Tetapi terdapat beberapa simptom atau gejala yang boleh menjadi petanda kepada penyakit jenis ini.
Antaranya adalah:
- Darah pada selepas membuang air besar.
- Sakit semasa membuang air besar akibat terdapat unjuran yang terkeluar dari dubur.
2. Buasir luaran
Buasir luaran yang terbentuk di sekitar bukaan anus (dubur) pula akan menyebabkan beberapa simptom atau gejala seperti:
- Sakit atau tidak selesa di kawasan ini.
- Berdarah.
- Gatal atau iritasi di kawasan ini.
- Bengkak di sekitar dubur.
3. Buasir thrombus
Sekiranya darah terkumpul atau membeku di buasir luaran, ia boleh menyebabkan buasir luara ini berubah menjadi biru atau ungu. Keadaan ini dipanggil buasir thrombus.
Buasir jenis ini boleh menyebabkan simptom-simptom seperti:
- Pendarahan.
- Sakit yang teruk.
- Bengkak.
- Ketulan keras berdekatan dengan dubur.
Punca-punca Buasir
Penyakit ini berpunca daripada regangan dan tekanan pada urat-urat di sekitar dubur yang menyebabkan bengkak dan benjol.
Selain itu, terdapat beberapa keadaan yang boleh menjadi punca yang menyebabkan peningkatan tekanan di bahagian bawah rektum seperti:
- Meneran semasa membuang air besar.
- Duduk terlalu lama di atas mangkuk tandas.
- Kehamilan.
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
- Mengalami sembelit atau cirit-birit yang kronik.
- Makan makanan yang tidak atau rendah serat.
- Melakukan seks melalui dubur (anal sex).
- Selalu mengangkat objek berat.
- Keturunan
Rawatan di Rumah
Sekiranya penyakit ini masih baru atau tidak teruk. Anda boleh menghilangkan atau melegakannya hanya melalui rawatan di rumah. Beberapa cara merawat buasir di rumah yang boleh diamalkan termasuklah:
1. Makan makanan tinggi serat.
Makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijiran penuh dapat melembutkan dan menambah kegempalan pada najis.
Ini dapat membantu anda membuang air besar dengan lancar dan tidak perlu untuk meneran.
2. Gunakan krim atau minyak sapuan.
Krim atau minyak sapuan buasir boleh didapati secara belian kaunter atau atas talian.
Selain itu, ubat yang mengandungi hydrocortisone boleh digunakan untuk melegakan kesakitan.
3. Rendam bahagian dubur dalam air suam.
Rendam bahagian dubur ke dalam air suam selama 10 hingga 15 minit sebanyak 2 atau 3 kali sehari.
4. Menjaga kebersihan dubur
Amal amalan kebersihan dengan selalu membersihkan dubur dan bahagian dubur dengan air suam semasa mandi atau mandi setiap hari.
Elakkan menggunakan sabun dibahagian buasir kerana boleh memburukkan lagi keadaan.
5. Pek ais
Pek ais juga boleh digunakan untuk mengurangkan bengkak dibahagian yang sakit.
6. Makan ubat pelega kesakitan.
Ubat pelega kesakitan seperti acetaminophen (paracetamol), aspirin atau ibuprofen boleh membantu melegakan kesakitan.
Sekiranya rawatan dirumah ini tidak menghilangkan simptom-simptom buasir dalam seminggu, dapatkan rawatan daripada doktor.
Sekiranya anda mengalami sakit yang teruk dan pendarahan, sila dapatkan rawatan daripada doktor dengan segera.
Rawatan di Klinik atau Hospital
Sekiranya rawatan di rumah tidak menunjukkan kesan yang positif atau penyakit buasir yang dialami semakin parah, anda disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang terdekat.
Beberapa prosedur rawatan yang mungkin boleh dilakukan adalah seperti:
- Sclerotherapy: Kaedah rawatan ini memerlukan doktor untuk menyuntik sejenis cecair (seperti Phenol) ke dalam buasir tersebut menyebabkan dinding saluran vena tersebut mengecut.
- Rubber band ligation : Kaedah rawatan ini boleh dilakukan bagi rawatan buasir dalaman. Rawatan ini adalah ringkas dimana gelung getah yang kecil dipasang dipangkal buasir menyebabkan aliran darah ke kawasan tersebut terhenti dan buasir tersebut mengecut.
- Pembuangan buasir (Hemorrhoidectomy): Pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan buasir tersebut. Pesakit yang menjalani prosedur ini mengambil masa 2-4 minggu untuk pulih. Kaedah ini adalah efektif untuk merawat buasir yang teruk serta berulang-ulang.
- Doppler guided transanal hemorrhoidal dearterialization: Kaedah rawatan di mana mesin ultrabunyi digunakan untuk mengenalpasti aliran darah arteri yang terbabit dan kemudiannya disekat.
- Stappler hemmorhoidectomy: Kaedah pembedahan untuk membuang bahagian tisu yang longgar yang menyebabkan buasir keluar dari dubur.
Langkah-langkah Pencegahan
Langkah utama dalam mencegah daripada berlakunya penyakit ini ialah dengan memastikan najis kekal lembut bagi memudahkan ia melalui rektum dan dubur.
Beberapa langkah atau kaedah yang boleh dilakukan untuk mencegah atau mengurangkan simptom-simptom buasir adalah seperti:
1. Makan makanan tinggi serat
Amalkan makan makanan yang tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Serat diet boleh membantu mencegah sembelit serta boleh melembutkan najis.
Elakkan juga makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan penyakit ini seperti produk tenusu, tepung putih dan lain-lain.
2. Pilih tandas cangkung berbanding duduk
Tandas duduk biasanya akan menyebabkan seseorang itu meneran dengan kuat untuk mengeluarkan najis.
Tindakan meneran dengan kuat ini boleh memberi tekanan pada urat dibahagian bawah rektum yang boleh meningkatkan risiko berlakunya buasir.
3. Kekalkan berat badan yang ideal
Obesiti atau berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko mendapat buasir.
4. Elakkan duduk terlalu lama dan banyakkan aktiviti fizikal
Duduk terlalu lama juga tidak elok untuk urat dibahagian dubur kerana ia memberi tekanan pada urat-urat (vena) ini.
Aktivit fizikal seperti berjalan laju juga turut boleh membantu pergerakan usus dan seterusnya melancarkan pembuangan air besar.
5. Jangan bertangguh atau menahan diri daripada membuang air besar
Jangan bertangguh atau menahan diri daripada membuang air besar kerana semakin lama ditangguh, najis akan menjadi semakin kering.
Akibatkannya, najis akan lebih sukar untuk dikeluarkan dan memerlukan individu tersebut meneran dengan kuat.
6. Minum air secukupnya
Kekal terhidrat penting untuk mengelakkan sembelit atau najis menjadi keras.
Rumusan
Buasir ialah penyakit yang menyebabkan salurah darah vena membengkak dan mengalami keradangan di bahagian bawah rektum dan sekitar dubur.
Penyakit ini boleh dirawat dan boleh dicegah. Kaedah rawatan yang melibatkan prosedur perubatan dan pembedahan boleh didapati di klinik atau hospital.
Perubahan gaya hidup turut boleh memberi impak positif sekiranya seseorang itu sedang mengalami buasir. Selain itu, sekiranya mengamalkan langkah pencegahan, risiko untuk terkena penyakit ini adalah rendah.
Rujukan
- Hansa D. Bhargava. 2020. Hemorrhoids. WebMD.
- Harvard Health Publishing. 2013. Hemorrhoids and what to do about them.
- Adam Felman. 2017. What to know about hemorrhoids. MedicalNewsToday .
- Mayo Clinic Staff. 2019. Hemorrhoids. MayoClinic.