Buasir selepas bersalin adalah keadaan yang boleh dialami oleh mana-mana wanita semasa kehamilan dan selepas bersalin. Sesetengah wanita hanya mengalami buasir ini buat pertama kalinya semasa kehamilan atau selepas bersalin.
Buasir adalah biasa semasa trimester ketiga kehamilan dan sebulan selepas bersalin. Ramai wanita yang mengalami buasir akibat sembelit semasa kehamilan dan meneran lebih daripada 20 minit semasa bersalin.
Buasir adalah keadaan di mana saluran darah di sekitar dubur dan rektum membengkak dan meradang. Ia biasanya disebabkan oleh peningkatan tekanan pada rektum bawah anda.
Jenis-jenis dan Gejala-gejala
Umumnya, buasir boleh menyebabkan beberapa gejala seperti:
- Perdarahan semasa membuang air besar
- Bengkak
- Gatal-gatal disekitar dubur
Buasir boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu luaran dan dalaman.
Buasir luaran menyebabkan saluran darah atau vena terjejas tertonjol di luar pembukaan dubur. Manakala, buasir dalaman pula menjejaskan saluran darah di dalam dubur.
Buasir luaran biasanya menyebabkan rasa gatal-gatal, tetapi ia juga boleh berketul, lembut, dan menyakitkan.
Dalam sesetengah kes, terutamanya selepas membuang air besar, buasir dalaman boleh menyebabkan perdarahan rektum.
Punca Buasir Selepas Bersalin
Buasir disebabkan oleh tekanan pada salur darah atau urat di rektum atau dubur anda.
Urat mempunyai injap untuk membantu aliran darah ke arah jantung anda. Tetapi apabila injap-injap ini menjadi lemah disebabkan oleh tekanan, darah boleh terkumpul di urat tersebut.
Ini menyebabkan pembengkakan, sama seperti bagaimana urat-urat varkos terbentuk.
Wanita hamil mempunyai berat tambahan untuk menjaga bayi di perut dan pelvis mereka. Ini menyebabkan darah sukar untuk kembali dari kawasan pelvis.
Ramai wanita hamil turut mengalami sembelit atau membuang air besar kurang daripada 3 kali seminggu. Ini boleh disebabkan oleh:
- Perubahan hormon yang menjejaskan sistem penghadaman
- Perubahan pemakanan
- Kurang bergerak
- Terlalu banyak zat besi akibat pengambilan suplemen zat besi
- Bayi yang membesar yang memberi tekanan pada usus
Sembelit juga biasa berlaku selepas bersalin. Bagi kebanyakan wanita, ini mungkin disebabkan oleh gabungan perubahan hormon, ubat sakit, dehidrasi, atau ketakutan terhadap kesakitan akibat buasir atau bahagian episiotomi (potongan yang dibuat antara faraj dan dubur semasa anda melahirkan anak).
Adakah Buasir Ini Boleh Sembuh Sendiri?
Buasir biasanya akan hilang dengan sendirinya. Bergantung pada saiz, lokasi dan keterukannya, ia boleh mengambil masa dari beberapa hari hingga beberapa minggu.
Kadangkala, buasir membentuk bekuan darah yang menyakitkan. Ini dikenali sebagai buasir trombosis. Walaupun bekuan ini tidak berbahaya, ia boleh menjadi sangat menyakitkan.
Di samping itu, sesetengah buasir boleh menjadi kronik, berlarutan beberapa bulan atau lebih. Seperti buasir trombosis, ini biasanya boleh dirawat oleh doktor.
Bagaimana untuk Menghilangkan Buasir Sendiri?
Kebanyakan kes buasir sembuh dengan sendirinya, tetapi terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mempercepatkan masa penyembuhan dan mengurangkan ketidakselesaan.
Beberapa rawatan dirumah atau petua yang selamat dilakukan semasa hamil atau menyusukan anak adalah seperti berikut:
- Meletakkan pek ais: Meletakkan pek ais atau pek sejuk selama 10 minit beberapa kali sehari boleh mengurangkan bengkak. Pastikan membalut pek ais dengan kain terlebih dahulu.
- Kurangkan meneran: Kurangkan meneran semasa membuang air besar boleh membantu mempercepat penyembuhan.
- Makanan makanan berserat: Makanan berserat boleh membantu melembutkan dan menambah isipadu najis. Ini boleh mencegah sembelit dan memudahkan untuk anda membuang air besar.
- Minum air yang banyak: Kekal terhidrat boleh mencegah daripada berlakunya sembelit.
- Rendam tempat terjejas: Rendam tempat terjejas dengan air suam selama 10-15 minit, 2-3 kali sehari boleh melegakan kesakitan dan iritasi.
- Pastikan tempat terjejas bersih: Pastikan tempat terjejas sentiasa bersih bagi mengelakkan sebarang jangkitan tambahan.
Perlukah Berjumpa Doktor?
Jika anda tahu bahawa anda menghidap buasir, anda tidak perlu berjumpa doktor melainkan ia menjadi sangat menyakitkan atau kelihatan tidak hilang selepas beberapa minggu.
Anda juga harus berjumpa dengan doktor anda jika anda merasakan benjolan keras di sekitar dubur anda, kerana ia mungkin buasir trombosis.
Dapatkan rawatan perubatan kecemasan jika anda mengalami sebarang perdarahan dubur yang tidak terkawal.
Rujukan
- White, J. (2022). At-Home Treatments for Postpartum Hemorrhoids. verywellfamily
- Osborn, C. O. (2018). How to Deal with Hemorrhoids After Pregnancy. Healthline