Apa itu Antiseptik?
Antiseptik adalah bahan kimia yang disapu pada kulit untuk membunuh atau mencegah pembiakan kuman seperti bakteria dan virus yang boleh menyebabkan jangkitan dan penyakit.
Antiseptik berbeza dengan disinfektan kerana disinfektan memusnahkan kuman (mikroorganisma) yang dijumpai pada objek atau permukaan tidak hidup.
Secara umumnya, antiseptik boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu gosok dan basuh. Antiseptik lazimnya digunakan dalam produk-produk farmaseutikal seperti minyak, krim dan gel serta produk pengguna seperti sabun dan pensanitasi tangan.
Antiseptik adalah penting bagi mengawal dan mencegah penyebaran jangkitan terutamanya di hospital dan persekitaran penjagaan kesihatan.
Fungsi Antiseptik
Apabila digunakan pada kulit atau tisu badan yang lain, antiseptik bertindak sebagai pembunuh atau penghalang bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit dan jangkitan.
Di hospital dan fasiliti kesihatan, antiseptik bertindak sebagai pelindung kepada penyedia penjagaan kesihatan dan pesakit.
Di rumah, antiseptik bertindak sebagai pelindung kepada penggunanya daripada jangkitan dan penyakit.
Kegunaan Antiseptik
Antiseptik boleh digunakan untuk beberapa tujuan. Contohnya seperti:
- Mengurangkan risiko jangkitan akibat daripada luka atau melecur.
- Mengurangkan risiko jangkitan semasa pembedahan.
- Membersihkan tangan apabila air dan sabun tiada.
- Merawat jangkitan mulut dan tekak.
- Membersihkan kulit sebelum prosedur perubatan.
- Membersihkan membran mukus.
- Merawat jangkitan pundi kencing, vagina atau saluran kencing (uretra).
Perbezaan Antara Antiseptik dan Disinfektan
Antiseptik bertujuan untuk digunakan pada tisu hidup, seperti kulit dan membran mukus manakala disinfektan pula direka untuk mensterilkan objek dan permukaan bukan hidup seperti lantai dan meja.
Walaupun kebanyakan antiseptik dan disinfektan menggunakan bahan kimia yang sama, antiseptik biasanya mengandungi kepekatan bahan kimia aktif yang lebih rendah.
Perbezaan Antara Antiseptik dan Antibakteria
Antibakteria juga mengandungi bahan kimia yang digunakan untuk membersihkan permukaan kulit. Sabun biasanya mengandungi antibakteria.
Antibakteria berkesan dalam membunuh atau memperlahankan pembiakan bakteria. Tetapi, ia tidak membunuh atau mencegah virus daripada membiak.
Sebaliknya, antiseptik boleh membunuh dan menghalang pembiakan virus, bakteria dan kulat.
Contoh-contoh Antiseptik
Sesetengah antiseptik yang digunakan dalam produk penjagaan kesihatan tidak terdapat dalam produk pengguna.
Contoh-contoh antiseptik yang lazimnya digunakan dalam penjagaan kesihatan dan pembedahan adalah seperti berikut:
- Chloroxylenol
- Chlorhexidine
- Povidone iodine
- Isopropyl alcohol
Manakala, contoh-contoh antiseptik yang terdapat dalam produk pengguna pula adalah:
- Benzalkonium chlorides: Digunakan dalam sabun antibakteria dan pensanitasi tangan.
- Povidone iodine: Produk pertolongan cemas
- Ethyl alcohol: Pensanitasi tangan
- Isopropyl alcohol: Alkohol gosok
- Hidrogen peroksida
Adakah Antiseptik Selamat Digunakan?
Sesetengah antiseptik yang kuat boleh menyebabkan lecuran kimia atau kerengsaan teruk jika digunakan pada kulit tanpa dicairkan dengan air.
Malah antiseptik yang dicairkan boleh menyebabkan kerengsaan jika ia dibiarkan pada kulit untuk jangka masa yang lama.
Kerengsaan jenis ini dipanggil dermatitis sentuh perengsa.
Sekiranya anda menggunakan antiseptik di rumah, jangan menggunakannya lebih daripada seminggu dalam satu-satu masa.
Elakkan menggunakan antiseptik belian kaunter (dibeli di farmasi atau kedai ubat) untuk luka-luka yang serius seperti:
- Gigitan haiwan
- Kecederaan mata
- Luka besar dan dalam
- Luka melecur yang teruk
- Luka yang mengandungi objek asing
Luka atau kecederaan seperti ini sesuai untuk dirawat oleh doktor atau ahli profesional kesihatan.
Rumusan
Antiseptik adalah bahan kimia yang boleh membantu membunuh atau menghalang pembiakan kuman seperti bakteria, virus dan fungi.
Ia digunakan setiap hari dalam persekitaran perubatan untuk mengurangkan risiko jangkitan dan menghentikan penyebaran kuman.
Walaupun ia secara amnya adalah selamat, sebaiknya elakkan menggunakannya untuk jangka masa yang lama.
Rujukan
- Nelson, C. (2023). What Are Examples of Antiseptics? verywellhealth
- Fletcher, J. (2020). What to Know About Antiseptics. MedicalNewsToday