Pandemik COVID-19 telah mengubah cara kita berfikir tentang kesihatan dan imuniti. Vaksin telah memainkan peranan besar dalam mengurangkan risiko jangkitan serius, kematian serta beban ke atas sistem kesihatan.
Namun, virus sentiasa berevolusi. Variannya boleh mengurangkan keberkesanan vaksin utama, justeru muncul keperluan kepada dos penggalak (booster dose).
Persoalannya: adakah setiap orang perlu mengambil vaksin dos penggalak? Siapa yang paling berisiko jika tidak mendapat perlindungan tambahan ini? Mari kita teliti.
Apa Itu Vaksin Dos Penggalak?
Dos penggalak ialah suntikan tambahan selepas siri vaksin utama (contohnya dua dos vaksin COVID-19). Tujuannya untuk:
- Mengembalikan perlindungan imun yang mungkin menurun selepas beberapa bulan.
- Menguatkan tindak balas antibodi terhadap varian baharu yang lebih mudah menular.
- Mengurangkan risiko penyakit serius, kemasukan ke hospital dan kematian walaupun jangkitan ringan masih boleh berlaku.
Kajian menunjukkan bahawa tahap antibodi mula menurun selepas 4–6 bulan daripada dos terakhir.
Walaupun imuniti selular (T-cell) masih wujud, ia mungkin tidak cukup kuat untuk mencegah komplikasi serius pada golongan berisiko tinggi.
Adakah Semua Orang Perlu Dos Penggalak?
Jawapan pendeknya: ya, tetapi dengan tahap keutamaan berbeza.
- Golongan dewasa sihat yang sudah lengkap vaksin masih mempunyai perlindungan mencukupi terhadap gejala teruk, walaupun keberkesanan menurun sedikit.
- Golongan berisiko tinggi pula lebih mudah mendapat komplikasi walaupun sudah divaksin, jadi dos penggalak penting untuk golongan ini.
Anda mungkin mendapat suntikan dos penggalak semasa bayi, remaja atau dewasa. Anda juga mungkin perlu mengulangi beberapa vaksin bergantung kepada gaya hidup, perjalanan atau pekerjaan anda (contohnya, jika anda seorang petugas kesihatan).
Vaksin penggalak yang diperlukan kanak-kanak:
- Hepatitis A
- Hepatitis B
- Haemophilus influenzae type B (Hib)
- Measles-mumps-rubella (MMR)
- Tetanus, diphtheria and pertussis (Tdap)
- Varicella (Cacar air)
Vaksin penggalak yang mungkin anda perlukan semasa remaja atau dewasa:
- Tdap (setiap 10 tahun)
- Shingles (kayap)
- Pneumonia
- Varicella (Cacar air)
- MMR
Siapa Yang Paling Berisiko?
1. Warga Emas (60 tahun ke atas)
Usia ialah faktor risiko paling kuat. Sistem imun manusia semakin lemah dengan meningkatnya umur, dikenali sebagai immunosenescence.
Akibatnya:
- Vaksin kurang berkesan menghasilkan antibodi pada warga emas.
- Risiko mendapat pneumonia, kegagalan organ atau kematian akibat jangkitan jauh lebih tinggi.
2. Individu Dengan Penyakit Kronik
Penyakit kronik melemahkan daya tahan badan dan meningkatkan risiko komplikasi. Antara penghidap penyakit kronik yang paling berisiko adalah:
- Diabetes mellitus: Paras gula yang tidak terkawal melemahkan sistem imun.
- Penyakit jantung dan darah tinggi: Komplikasi boleh mencetuskan serangan jantung atau strok.
- Penyakit buah pinggang kronik: Pesakit biasanya mempunyai imuniti rendah.
- Kanser: Lebih-lebih lagi yang sedang menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi.
Mereka ini mungkin tidak menghasilkan antibodi secukupnya selepas vaksin asas. Dos penggalak meningkatkan peluang perlindungan.
3. Individu Dengan Sistem Imun Lemah
Ini termasuk pesakit:
- Yang mengambil ubat imunosupresif (contoh: selepas pemindahan organ, penyakit autoimun).
- Yang dijangkiti HIV dengan tahap CD4 rendah.
Mereka bukan sahaja lebih mudah dijangkiti, tetapi juga lebih lambat pulih. Sesetengah mungkin memerlukan lebih daripada satu dos penggalak untuk perlindungan optimum.
4. Wanita Hamil
Kehamilan meningkatkan risiko jangkitan teruk dan kelahiran pramatang.
Vaksin, termasuk dos penggalak yang telah disahkan selamat untuk wanita hamil boleh memberikan perlindungan bukan sahaja kepada ibu, tetapi juga antibodi boleh dipindahkan kepada bayi.
5. Petugas Barisan Hadapan
Doktor, jururawat, paramedik dan pekerja kesihatan lain berdepan risiko jangkitan berulang kerana terdedah kepada pesakit setiap hari. Walaupun mereka muda dan sihat, dos penggalak:
- Mengurangkan risiko mereka jatuh sakit.
- Melindungi pesakit berisiko yang mereka rawat.
- Mengelakkan kekurangan tenaga kerja dalam sistem kesihatan.
6. Individu Dengan Berat Badan Berlebihan (Obesiti)
Obesiti dikaitkan dengan:
- Keradangan kronik dalam badan.
- Fungsi paru-paru terhad.
- Risiko komplikasi yang lebih tinggi.
Keberkesanan vaksin asas mungkin lebih rendah pada individu obes. Dos penggalak membantu mengurangkan jurang perlindungan ini.
Apakah Risiko Jika Tidak Ambil Dos Penggalak?
Tanpa dos penggalak, golongan berisiko tinggi boleh mengalami:
- Kemasukan hospital lebih kerap – terutama ketika gelombang varian baharu.
- Komplikasi serius seperti pneumonia, kerosakan buah pinggang, strok atau serangan jantung.
- Kematian lebih tinggi berbanding individu yang menerima dos penggalak.
Adakah Dos Penggalak Selamat?
Dos penggalak bagi vaksin-vaksin yang sudah menjalani pelbagai ujian klinikal dan sudah teruji yang digunakan dalam sistem kesihatan adalah selamat.
Kesan sampingan yang lazim berlaku adalah:
- Sakit di tempat suntikan.
- Demam ringan.
- Lenguh badan.
- Hilang tenaga sementara.
Kesan sampingan serius sangat jarang berlaku.
Bagaimana Menentukan Keperluan Dos Penggalak?
- Ikut panduan Kementerian Kesihatan (KKM) – Polisi vaksinasi dikemaskini berdasarkan data semasa varian.
- Nilai faktor risiko peribadi – Umur, penyakit sedia ada, status imun.
- Rujuk doktor – Terutama jika anda ada penyakit kronik atau sedang mengambil ubat tertentu.
Kesimpulan
Dos penggalak bukan sekadar “pilihan tambahan”, tetapi merupakan strategi penting untuk melindungi golongan berisiko tinggi daripada komplikasi jangkitan-jangkitan penyakit berkaitan virus dan bakteria.
Gologan ini paling memerlukan dos penggalak:
- Warga emas.
- Pesakit dengan penyakit kronik.
- Individu imunokompromi.
- Wanita hamil.
- Petugas kesihatan.
- Individu obes.
Jika anda sihat dan muda, anda masih mendapat manfaat daripada dos penggalak, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada kumpulan di atas.
Virus tidak akan berhenti bermutasi tetapi dengan perlindungan vaksin, termasuk dos penggalak, kita boleh mengurangkan risiko sakit teruk, menjaga orang tersayang dan melindungi masyarakat.
Rujukan
- WHO. (2024). COVID-19 advice for the public: Getting vaccinated
- Sreenivas,S. (2024). What Are Booster Shots? WebMD