Apa itu Vaksin Hepatitis B?
Vaksin Hepatitis B adalah vaksin yang diberikan untuk mencegah jangkitan virus Hepatitis B (HBV). Hepatitis B ialah jangkitan virus yang kronik dan meletakkan seseorang itu berisiko tinggi untuk kematian akibat sirosis dan kanser hati.
Vaksin adalah jenis vaksin yang terdiri daripada virus yang telah dilemahkan. Antibodi yang dihasilkan melalui vaksinasi menyasarkan lapisan protein luar atau permukaan antigen.
Umumnya, vaksin Hepatitis B diakui boleh memberikan perlindungan sepanjang hayat. Pada asalnya, ia dianggap hanya bertahan sekitar lapan tahun, tetapi penyelidikan lebih baru telah mengesahkan imuniti berterusan selama sekurang-kurangnya 25 tahun pada individu yang menunjukkan tindak balas imun yang baik.
Di Malaysia, imunisasi terhadap jangkitan Hepatitis B diberikan kepada bayi baru lahir melalui Program Imunisasi Kebangsaan.
Apa itu Hepatitis B?
Hepatitis B merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Hepatitis B (HBV).
Ia berlaku secara endemik (penyakit yang sentiasa wujud di dalam suatu populasi). Di Afrika dan Asia, kebanyakan jangkitan berlaku adalah dalam kalangan bayi dan kanak-kanak manakala di Amerika Utara, jangkitan berlaku dalam kalangan dewasa.
Hepatitis B berjangkit melalui sentuhan dengan cecair badan (seperti air liur, air mani dan cecair faraj), pemindahan darah atau produk darah yang tercemar, hubungan seksual atau melalui jarum suntikan yang tercemar.
Kebanyakan kes Hepatitis B tidak menunjukkan gejala atau simptom-simptom. Gejala atau simptom-simptom yang boleh berlaku adalah:
- Kurang selera makan
- Demam
- Jaundis
- Loya
- Muntah
- Perut rasa tidak selesa
- Sakit sendi
- Ruam
Kesan penyakit ini adalah serius di mana ia boleh mengakibatkan jangkitan hati yang kronik, sirosis dan kanser hati.
Bagaimana Vaksin Hepatitis B Diberikan?
Imunisasi Hepatitis B diberikan kepada semua bayi di Malaysia selepas lahir. Sebelum tahun 2020, imunisasi Hepatitis B diberikan sebanyak 3 dos iaitu selepas lahir, pada umur 1 bulan dan 6 bulan.
Selepas November 2020, imunisasi Hepatitis B hanya diberikan selepas lahir sahaja dan imunisasi Hepatitis B pada umur 1 bulan dan 6 bulan tidak perlu diberikan lagi.
Hal ini demikian kerana komponen vaksin Hepatitis B telah terkandung dalam imunisasi kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).
Vaksin ini disuntik di bahagian peha anak anda.
Bagi individu dewasa yang ingin melakukan perjalanan ke tempat yang berisiko jangkitan penyakit Hepatitis B, mereka disyorkan untuk mendapatkan 2 dos suntikan sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum perjalanan.
Keberkesanan Vaksin Hepatitis B
Vaksin ini bioleh memberikan perlindungan sebanyak 98% hingga 100% terhadap penyakit Hepatitis B.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa 90% kanak-kanak yang menerima imunisasi ini menghasilkan antibodi selepas dos pertama.
Kesan Sampingan
Imunisasi Hepatitis B adalah selamat.
Sekiranya berlaku kesan sampingan, kesan sampingan yang lazim dialami adalah sakit di tempat yang dicucuk dan demam.
Rujukan
- Hodgens A, Marathi R. [Updated 2022 Jan 18]. Hepatitis B Vaccine. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- World Health Organization. (2021). Hepatitis B.
- Rusli, N. (2013). Hepatitis B. MyHealth KKM. http://www.myhealth.gov.my/hepatitis-b/