Terdapat beberapa jenis vaksin yang dihasilkan di dunia ini untuk melawan pelbagai jenis kuman dan penyakit yang disebabkannya.
Walaupun vaksin ini dihasilkan melalui pelbagai kaedah, namun matlamatnya masih sama iaitu untuk merangsang sistem imun untuk mengenal patogen atau bahagian patogen.
Patogen adalah organisma yang menyebabkan penyakit, ia boleh terdiri daripada virus, bakteria, kulat atau parasit.
Sebelum saintis menghasilkan vaksin, terdapat beberapa pertimbangan yang dilakukan iaitu:
- Bagaimana sistem imun anda bertindak balas terhadap patogen tersebut
- Siapa yang perlu diberikan vaksin
- Teknologi atau pendekatan terbaik untuk menghasilkan vaksin
Berdasarkan faktor-faktor ini, saintis menentukan jenis vaksin yang akan dihasilkan. Terdapat beberapa jenis vaksin iaitu:
1. Vaksin Tidak Aktif
Vaksin tidak aktif menggunakan virus atau bakteria penyebab penyakit yang telah mati. Virus atau bakteria penyebab penyakit ini dinyah aktif atau dibunuh menggunakan bahan kimia, haba atau radiasi.
Vaksin tidak aktif biasanya tidak menyediakan imuniti (perlindungan) yang kuat seperti vaksin hidup. Oleh itu, lazimnya setiap individu perlu mengambil beberapa dos dari semasa ke semasa bagi memastikan mempunyai imuniti yang cukup untuk melawan penyakit tersebut.
Antara vaksin yang dihasilkan menggunakan kaedah ini adalah:
- Vaksin hepatitis A
- Vaksin polio
- Vaksin demam selesema
- Vaksin rabies (penyakit anjing gila)
2. Vaksin Hidup Dilemahkan
Vaksin hidup dilemahkan adalah vaksin yang menggunakan versi virus yang hidup tetapi telah dilemahkan.
Vaksin jenis ini boleh menghasilkan tindak balas imun yang kuat dan kekal lebih lama kerana ia hampir sama dengan jangkitan semula jadi. 1 atau 2 dos vaksin jenis ini mungkin sudah mencukupi untuk memberikan perlindungan sepanjang hayat.
Antara vaksin yang dihasilkan menggunakan kaedah ini adalah:
- Vaksin MMR iaitu campak (measles), beguk (mumps) dan rubela
- Vaksin rotavirus
- Vaksin cacar air
- Vaksin demam kuning
- Vaksin cacar
Walau bagaimanapun, vaksin jenis ini mempunyai beberapa kekangan iaitu:
- Vaksin ini tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai sistem imun yang terjejas
- Vaksin ini perlu sentiasa disimpan sejuk.
3. Vaksin Toksoid
Sesetengah bakteria menghasilkan toksin (protein beracun) apabila mereka menyerang badan manusia.
Vaksin toksoid menggunakan toksin tersebut dan merangsang sistem imun untuk menghasilkan imuniti terhadap toksin yang dihasilkan berbanding bakteria itu sendiri. Ini bermakna tindak balas imun akan menyasarkan toksin berbanding keseluruhan bakteria tersebut.
Seperti vaksin yang lain, anda juga mungkin memerlukan dos penggalak (booster) untuk vaksin ini.
Antara vaksin yang dihasilkan menggunakan kaedah ini adalah:
- Vaksin kancing gigi (tetanus)
- Vaksin difteria
4. Vaksin Subunit
Vaksin subunit menggunakan bahagian tertentu virus atau bakteria seperti protein atau gula.
Oleh kerana vaksin ini menggunakan bahagian tertentu virus atau bakteria itu, maka ia akan menghasilkan tindak balas imun yang sangat kuat terhadap bahagian tersebut.
Vaksin jenis ini juga boleh digunakan oleh semua orang termasuklah mereka yang mempunyai sistem imun yang terjejas dan mempunyai penyakit kronik.
Antara vaksin yang dihasilkan menggunakan kaedah ini adalah:
- Vaksin penyakit Hib (haemophilus influenzae type b)
- Vaksin hepatitis B
- Vaksin HPV (human papillomavirus)
- Vaksin batuk kokol
- Vaksin penyakit pneumococcal
- Vaksin penyakit meningokokus
- Vaksin kayap
Satu limitasi bagi vaksin jenis ini adalah anda mungkin memerlukan dos penggalak untuk mendapatkan perlindungan berterusan.
5. Vaksin Virus Vektor
Vaksin jenis ini menggunakan versi yang tidak berbahaya virus yang dikenali sebagai vektor, untuk menghantar arahan tertentu kepada sel-sel badan untuk menghasilkan protein pepaku (spike protein).
Sistem imun akan mengenali protein pepaku ini dan akan bertindak balas dengan menghasilkan antibodi dan sel-sel imun yang lain untuk melawannya. Tindak balas ini mungkin akan dilakukan oleh badan sekiranya anda dijangkiti penyakit seperti COVID-19.
Beberapa virus yang berbeza-beza yang telah digunakan sebagai vektor adalah seperti influenza, vesicular stomatitis virus (VSV), adenovirus dan virus measles. Adenovirus adalah virus vektor yang digunakan dalam sesetengah vaksin COVID-19.
Antara vaksin yang dihasilkan menggunakan kaedah ini adalah:
- Vaksin COVID-19
6. Vaksin Pengutus RNA (mRNA)
Vaksin jenis ini menggunakan sebahagian bahan genetik yang menyediakan arahan untuk protein tertentu dan bukan keseluruhan kuman (mikrob). DNA dan RNA adalah arahan yang digunakan oleh sel-sel kita untuk menghasilkan protein.
Vaksin mRNA menghantar set arahan tertentu kepada sel-sel badan manusia untuk mereka menghasilkan protein tertentu. Kita mahukan sistem imun badan untuk mengenali dan bertindak balas terhadap protein tersebut.
Kaedah penghasilan vaksin jenis ini adalah kaedah terbaru dalam menghasilkan vaksin. Kaedah ini mempunyai kelebihan dari segi masa yang singkat untuk penghasilannya dan tiada risiko menyebabkan penyakit kerana tiada virus hidup.
Antara vaksin yang dihasilkan menggunakan kaedah ini adalah:
- Vaksin COVID-19
Rumusan
Secara umumnya, terdapat 6 jenis vaksin yang digunakan untuk melindungi manusia daripada pelbagai jenis penyakit dan penyakit berjangkit.
Vaksin-vaksin ini dihasilkan sama ada menggunakan patogen yang dibunuh, dilemahkan atau menggunakan bahagian tertentu patogen tersebut.
Kaedah asid nukleik adalah kaedah terbaru dalam menghasilkan vaksin seperti vaksin mRNA.
Rujukan
- WHO. (2021). The Different Types of COVID-19 Vaccines. World Health Organization.
- NIH. (n.d.). Vaccine Types. National Institute of Allergy and Infectious Diseases.
- Office of Infectious Disease and HIV/AIDS Policy. (2021). Vaccine Types. U.S Department of Health & Human Services.