Apa itu Vaksin BCG?
BCG atau nama penuhnya Bacille Calmette-Guérin ialah vaksin yang diberikan untuk penyakit tibi (tuberkulosis). Vaksin BCG banyak digunakan di negara-negara yang tinggi dengan kes-kes penyakit Tibi.
Di Malaysia, vaksin BCG diberikan kepada bayi baru lahir melalui Program Imunisasi Kebangsaan. Sekiranya tiada parut kelihatan, vaksin ini mungkin diberikan ketika kanak-kanak berumur 7 tahun.
Vaksin ini mengandungi strain bakteria jenis mycobacterium bovis iaitu bakteria yang menyebabkan tuberkulosis bagi lembu. Bakteria ini diubah suai agar ia tidak menyebabkan jangkitan Tibi tetapi merangsang sistem imun untuk menjadikan anak anda rintang terhadap penyakit tersebut.
Apa itu Penyakit Tibi?
Penyakit tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria yang menjangkiti saluran pernafasan. Penyakit ini tersebar melalui titisan (melalui udara) semasa batuk atau bersin oleh orang yang dijangkiti penyakit tibi.
Justeru itu, jangkitan ini boleh menjangkiti ahli-ahli keluarga lain yang tinggal serumah. Biasanya berlaku di kalangan penduduk miskin dan mereka yang tinggal di kawasan sesak.
Komplikasi penyakit ini termasuk jangkitan kelenjar limfa (lymph node), radang selaput otak, radang paru-paru dan serangan tibi pada organ-organ lain seperti usus, tulang dan sendi, paru-paru dan buah pinggang.
Bagaimana Vaksin BCG Diberikan?
Vaksin BCG diberikan pada bahagian lengan sebelah kiri bayi.
Selepas diberikan vaksin, akan berlaku bengkak kecil di tempat suntikan yang akan hilang selepas sehari.
Tetapi, selepas 6 hingga 9 minggu bengkak itu akan muncul kembali kelihatan seperti gigitan nyamuk. Bengkak ini akan membesar dan membentuk seperti nodul yang akan pecah dan mengeluarkan cecair.
Selepas itu, ulser ini akan kekal dan sembuh dengan terbentuknya parut. Keseluruhan proses ini mengambil masa kira-kira 2 hingga 5 minggu.
Parut berkedut yang terbentuk tersebut akan kekal sepanjang hayat.
Petua untuk ibu bapa dan penjaga: Jangan mengosok atau menekan kawasan yang disuntik. Jangan letak apa-apa ubat. Mandikan dengan sabun dan air sudah mencukupi apabila berlakunya ulser.
Keberkesanan Vaksin BCG
Vaksin BCG boleh memberikan perlindungan yang konsisten terhadap bentuk penyakit Tibi yang paling teruk iaitu Tibi meningitis dalam kalangan kanak-kanak.
Sekiranya kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun dijangkiti kuman Tibi, jangkitan ini akan merebak dan menyebabkan jangkitan Tibi yang teruk melibatkan otak (Tibi meningitis).
Jangkitan yang teruk dalam kalangan kanak-kanak ini boleh menyebabkan kematian atau kecacatan
Walau bagaimanapun, vaksin ini kurang berkesan dalam mencegah jangkitan Tibi yang menjangkiti paru-paru orang dewasa.
Kesan Sampingan
Seperti vaksin-vaksin yang lain, vaksin BCG juga boleh menyebabkan kesan sampingan. Tetapi, kesan sampingan jarang-jarang berlaku dan biasanya ringan.
Vaksin ini biasanya tidak menyebabkan demam. Namun, bagi segelintir bayi yang menerima vaksin ini akan mengalami bengkak pada nodus limfa di lengan yang disuntik dengan vaksin tersebut.
Ia biasanya berlaku 2 hingga 4 bulan selepas divaksin dan tidak menyebabkan simptom-simptom lain seperti demam berterusan atau kehilangan selera makan atau berat badan.
Rujukan
- Jamal Mohamed, T. (2015). BCG (TB) Vaccine. MyHealth
- NHS. (2019). BCG vaccine for tuberculosis (TB) overview.