Urtikaria adalah istilah perubatan kepada keadaan di mana sebahagian kulit menjadi bengkak, menebal merah dan gatal akibat dari alahan atau faktor lain seperti haba atau senaman. Dalam bahasa Inggeris, urtikaria turut dirujuk sebagai urticaria atau hives.
Urtikaria juga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti gegata atau geligata. Dalam kebanyakan kes, urtikaria ini akan hilang selepas 24-48 jam dan tidak serius. Ia dikenali sebagai urtikaria akut. Pesakit juga mungkin tidak memerlukan rawatan.
Walau bagaimanapun, terdapat juga keadaan di mana tindak balas kulit ini boleh berlaku secara berpanjangan iaitu selama lebih daripada 6 minggu dan berulang-ulang selama lebih sebulan atau setahun. Ia dikenali sebagai urtikaria kronik.

Kredit imej: James Heilman, MD, CC BY-SA 3.0, melalui Wikimedia Commons
Urtikaria kronik boleh menjejaskan kualiti hidup penghidapnya kerana boleh mengganggu tidur dan aktiviti harian.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala urtikaria adalah seperti berikut:
- Kumpulan bilur yang timbul berwarna merah atau warna kulit yang boleh muncul dimana-mana bahagian badan.
- Bilur berbeza-beza dari segi saiz dan bentuk boleh sebenar tusukan jarum atau beberapa inci.
- Bilur atau ruam tersebut biasanya menyebabkan gatal-gatal.
- Sekiranya seseorang menekan ditengahnya, warna mungkin memudar.
- Bengkak yang menyakitkan (angioedema) pada bibir, kelopak mata dan dalam kerongkong.
- Tanda-tanda dan gejala boleh memburuk akibat daripada suhu panas, senaman atau tekanan (stres).
Punca atau Penyebab
Pencetus (trigger) menyebabkan sel-sel pada kulit melepaskan bahan kimia seperti histamin ke dalam saluran darah. Histamin ialah bahan kimia yang dihasilkan oleh sel-sel alahan (alergi) dan sel-sel imun untuk menyingkirkan alergen.
Tetapi badan anda mungkin bertindak balas terhadap kebanjiran histamin dengan mengalami tindak balas alahan yang menyebabkan urtikaria dan bengkak.
Antara pencetus yang biasa adalah:
- Alahan: Alahan makanan, alahan terhadap gigitan serangga dan penyengat atau alahan terhadap ubat-ubatan.
- Jangkitan virus: Jangkitan virus seperti selesema atau mononukleosis.
- Jangkitan bakteria: Jangkitan bakteria seperti sakit tekak (strep throat) dan jangkitan salur kencing.
- Alahan terhadap bahan: Alahan terhadap bahan seperti getah, kosmetik, bahan kimia dan detergen.
- Isu hormon: Perubahan hormon dalam badan disebabkan kehamilan, menopaus atau penyakit tiroid.
- Keadaan autoimun.
- Perubahan suhu badan yang pantas: Perubahan suhu badan yang pantas akibat daripada haba, kesejukan atau aktiviti fizikal.
Kadang-kadang, ruam urtikaria juga boleh terbentuk disebabkan oleh:
- Tekanan (stres)
- Alkohol
- Cahaya matahari yang kuat
- Tekanan pada kulit seperti band getah yang ketat
Rawatan
Pendekatan terbaik untuk rawatan bergantung kepada punca dan sama ada ia adalah akut atau kronik.
Urtikaria Akut
Jika gejala yang berlaku adalah ringan dan berlaku selepas terdedah kepada alergen atau perengsa, rawatan dirumah biasanya boleh meredakan kegatalan sehingga ruam hilang.
Pilihan rawatan yang mungkin disyorkan oleh doktor termasuklah:
- Ubat antihistamin yang tidak menyebabkan mengantuk.
- Krim antiseptik untuk mencegah jangkitan sekunder.
- Krim pelega untuk mengurangkan kegatalan.
Jika anda dapat mengenal pasti sesuatu makanan sebagai pencetus, maka ia adalah wajar untuk mengelakkan makanan pada masa hadapan.
Jika anda mengalami urtikaria yang teruk khususnya ‘anafilaksis’, anda perlu dimasukkan ke hospital dan mungkin dirujuk kepada pakar (pakar immunologi atau pakar dermatologi).
Urtikaria Kronik
Seseorang yang mempunyai urtikaria kronik mungkin perlu mengambil antihistamin dengan kerap sehingga gejalanya hilang.
Antara pil antihistamin yang tidak menyebabkan mengantuk dan kurang kesan sampingan adalah:
- Loratadine (Claritin)
- Cetirizine (Zyrtec)
- Desloratadine (Clarinex)
- Fexofenadine (Allegra)
Sekiranya pil antihistamin yang tidak menyebabkan mengantuk ini tidak berkesan, doktor mungkin akan meningkatkan dos atau memberikan anda mencuba pil antihistamin yang boleh menyebabkan mengantuk dan perlu diambil sebelum tidur.
Contohnya seperti:
- Hydroxyzine pamoate (Vistaril)
- Doxepin (Zonalon)
Sekiranya ubat antihistamin sahaja tidak membantu menghilangkan gejala-gejala yang dialami, ubat-ubat lain mungkin boleh membantu. Antaranya adalah:
- Histamine (H-2) blockers.
- Ubat antiradang
- Ubat antidepresan
- Ubat asma dengan antihistamin
- Antibodi buatan (monoclonal)
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Hives (Urticaria) and Swelling (Angiodema). Cleveland Clinic
- Mayo Clinic Staff. (2020). Chronic Hives. MayoClinic