Mungkin hampir setiap orang pasti akan mengalami situasi patah hati. Setiap orang pasti mempunyai pengalaman berbeza-beza mengenai bagaimana mereka bangkit dari patah hati dan meneruskan kehidupan.
Patah hati boleh disebabkan oleh banyak perkara termasuklah akibat percintaan, kehilangan orang tersayang, kehilangan kerja atau kehilangan rakan karib.
Artikel kali ini kami kongsikan beberapa tips untuk seseorang itu bangkit dari patah hati.
1. Tidak Salah untuk Bersedih
Sebenarnya tidak salah bagi seseorang itu bersedih tatkala mereka kehilangan seseorang yang mereka sayang atau cintai.
Adalah lumrah manusia untuk berasa sedih. Namun, kesedihan ini haruslah dikawal dan jangan sehingga membawa kesan yang buruk kepada diri.
Bagi ruang untuk diri anda meluahkan rasa sedih, marah, geram atau kecewa. Itu adalah sifat normal bagi manusia.
It’s okay to not be okay
2. Hadapinya dan “Move On”
Akui bahawa apa yang terjadi kepada anda itu benar. Perpisahan atau kematian itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan bila-bila masa sahaja.
Sesungguhnya anda tidak boleh mengelak daripada takdir yang telah tersurat. Maka, hadapinya dengan tabah dan bina kembali kekuatan untuk terus maju ke hadapan atau “move on“.
Semakin lama anda mengelak daripada menerima hakikat, semakin lama juga untuk anda pulih atau kembali bersemangat seperti dulu.
Sesungguhnya, disebalik ujian yang melanda pasti ada hikmah yang tersembunyi yang menunggu dihadapan.
3. Jaga Diri Anda
Adakalanya ketika patah hati, seseorang itu mula melupakan penjagaan dan keperluan diri mereka. Mereka mula tidak makan, tidak membersihkan diri dengan baik, tidak tidur yang cukup dan mula bersendirian.
Keadaan ini boleh membawa kepada masalah yang lebih berat seperti kemurungan.
Makan dan minum agar badan anda dapat berfungsi dengan baik dan anda tidak jatuh sakit. Atasi kesedihan anda perlahan-lahan, selangkah demi selangkah.
4. Dapatkan Bantuan
Sekiranya anda memerlukan sokongan untuk bangkit dari patah hati, dapatkan bantuan daripada ahli keluarga atau kawan karib anda.
Luahkan apa yang terbuku dihati dan sekiranya anda memerlukan pendapat mereka, mohonlah pendapat mereka mengenai masalah yang menimpa diri anda.
Hanya mereka yang pernah melalui situasi patah hati ini sahaja yang boleh memahami bagaimana perasaan anda.
5. Lakukan Aktiviti Luar (Riadah)
Melakukan aktiviti riadah atau fizikal sangat bermanfaat untuk kesihatan mental dan fizikal anda. Ini boleh membantu anda menghadapi rasa sedih dan kecewa.
Malah, kajian menunjukkan menghabiskan masa 2 jam seminggu dengan aktiviti riadah boleh membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental seseorang itu.
Selain itu, udara yang segar dan tumbuh-tumbuhan hijau boleh membantu anda berasa tenang dan lapang.
6. Lakukan Aktiviti yang Boleh Membuatkan Anda Lupa Akan Hal yang Berlaku
Sibukkan diri anda dengan kerja-kerja rumah atau kerja di pejabat boleh membantu anda lupa sebentar mengenai masalah yang anda hadapi.
Ketika hari cuti atau hujung minggu, anda boleh mengajak rakan-rakan anda untuk keluar menonton wayang, membeli-belah, berjalan-jalan di taman tema atau kawasan pelancongan yang menarik.
Melalui cara ini, anda boleh melupakan apa sahaja perasaan atau masalah yang membelenggu fikiran dan hati anda.
7. Cipta Rutin Baru
Bagi anda yang baru putus cinta, mungkin akan berlaku sedikit perubahan dalam rutin harian dimana anda tidak lagi berhubung, bermesej, ber “whatsapp” atau keluar dengan dengan pasangan.
Rutin yang biasa dilakukan ketika dalam percintaan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada anda.
Oleh itu, untuk mengatasinya anda perlu cipta rutin baru. Anda boleh gantikan rutin bermesej atau chatting itu dengan bermain permainan video atau membaca buku. Anda juga boleh menghabiskan masa yang terluang tersebut dengan bersukan seperti berbasikal, bermain futsal atau pergi ke gimnasium.
8. Catatkan Apa yang Terbuku Dihati
Adakalanya tidak semuanya yang terbuku dihati boleh diluahkan dengan kata-kata dan dikongsikan dengan orang lain.
Maka, salah satu cara yang boleh anda lakukan ialah dengan mencatatkan apa sahaja perkara atau perasaan yang membebani diri anda.
9. Jangan Menghukum Diri Anda
Jangan menghukum diri anda atas apa yang telah terjadi. Sesungguhnya, apa yang terjadi bukanlah kehendak diri anda.
Rawat diri anda dengan rasa hormat dan kasih sayang. Ini bukanlah masa untuk menghakimi siapa yang betul dan siapa yang salah.
Sebaliknya, ini adalah masa untuk bermuhasabah diri untuk melihat kembali dimanakah kekurangan yang boleh ditambah baik untuk menjadikan diri anda seorang yang lebih baik.
Setiap manusia pasti ada kekurangan dan kekurangan ini ada yang boleh diperbaiki atau tidak. Kelemahan yang tidak boleh diperbaiki harus diterima sebagai fitrah seorang manusia yang tidak sempurna.
10. Dapatkan Bantuan Pakar
Sekiranya anda mendapati bahawa sukar untuk diri anda menghadapi rasa sedih ini seorang diri. Maka, dapatkan bantuan dan nasihat daripada pakar seperti kaunselor bertauliah dan ahli psikologi.
Golongan profesional ini boleh membantu anda menghadapi kesedihan yang dialami.
11. Percaya dan Redha pada Qada dan Qadar
Bagi umat Islam, setiap perkara yang terjadi dalam hidup ini sudah tertulis. Jodoh dan pertemuan juga telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita harus percaya dan redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan kepada kita. Percaya kepada Qada dan Qadar yang ditetapkan Allah SWT tidak menjadikan kita seorang yang lemah.
Sebaliknya menjadikan kita seorang yang sedar bahawa kita adalah hamba dan harus bersyukur dengan segala nikmat yang dikecapi.
Redha dan menerima bukan bermakna kita berputus asa, tetapi sebaliknya kita harus terus berusaha menjadi seorang yang lebih baik.
Mungkin “dia” bukan jodoh anda kerana ada seseorang yang lebih baik dan yang anda perlukan sedang menanti anda.
Rumusan
Sememangnya sukar untuk menghadapi satu kehilangan tidak kira dalam percintaan atau perhubungan keluarga. Setiap pertemuan akan ada perpisahan.
Bina kekuatan diri dan atasi kesedihan anda. Jangan berputus asa dengan diri anda. Sesungguhnya, disebalik hujan gerimis akan hadirnya pelangi yang cantik terbentang.