Sistem muskuloskeletal (otot dan rangka) manusia terdiri daripada tulang, otot, sendi, ligamen, rawan dan tendon.
Tulang merupakan asas utama sistem muskuloskeletal yang membentuk rangka dan melindungi organ utama seperti otak, jantung dan paru-paru.
Tulang juga membolehkan pergerakan melalui interaksi antara otot dengan sendi serta menjadi tempat penghasilan sel darah dan penyimpanan mineral seperti kalsium dan fosforus.
Tubuh manusia dewasa mengandungi kira-kira 206 tulang dan setiap satunya terdiri daripada beberapa lapisan penting.
Lapisan tulang yang paling luar ialah periosteum iaitu membran keras yang melindungi struktur. Di bawahnya terdapat tulang padat yang memberikan kekuatan dan sokongan.
Lapisan seterusnya pula ialah tulang span yang lebih ringan dan menyimpan sumsum tulang. Sumsum inilah yang menghasilkan sel darah merah, sel darah putih dan platelet.
Masalah Kesihatan Melibatkan Sistem Muskuloskeletal
Walau bagaimanapun, di sebalik kepentingan struktur dan fungsi tulang, masalah kesihatan melibatkan sistem muskuloskeletal menunjukkan trend peningkatan di peringkat global.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa kira-kira 1.71 bilion individu di seluruh dunia mengalami masalah muskuloskeletal yang melibatkan tulang, sendi dan otot.
Jumlah individu dengan masalah tulang dan otot menunjukkan peningkatan seiring dengan pertambahan warga emas dalam populasi.
Antara masalah kesihatan berkaitan tulang yang lazim berlaku termasuklah:
1. Osteoporosis
Osteoporosis iaitu keadaan tulang yang menjadi rapuh akibat pengurangan kepadatan dan jisim.
Osteoporosis atau pengeroposan tulang boleh mengurangkan kekuatan tulang serta menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah.
Faktor yang meningkatkan risiko osteoporosis berlaku ialah penuaan serta kekurangan kalsium, vitamin D dan hormon estrogen.
2. Osteoartritis
Osteoartritis iaitu masalah disebabkan kekurangan rawan pada sendi yang menyebabkan kesakitan dan pergerakan yang terhad.
Osteoartritis boleh berlaku kepada inidividu daripada mana-mana peringkat umur, tetapi lebih kerap dihidapi oleh warga emas.
3. Riket
Riket iaitu pembentukan tulang yang lemah dan tidak normal akibat kekurangan vitamin D yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Masalah kesihatan melibatkan sistem muskuloskeletal mampu menjejaskan kualiti hidup dan tahap kesejahteraan hidup seseorang serta mengehadkan kemampuan mereka dalam melakukan aktiviti harian.
Bagi individu dewasa yang bekerja, masalah ini mungkin menyebabkan mereka tidak dapat bekerja dan perlu bersara lebih awal.
Menyedari kesan masalah kesihatan berkaitan sistem muskuloskeletal terhadap kehidupan seharian, semakin ramai individu kini memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan tulang sebagai langkah pencegahan.
Usaha ini bukan sahaja melibatkan perubahan gaya hidup yang lebih sihat tetapi turut merangkumi pengambilan suplemen tertentu yang dapat membantu dalam meningkatkan kekuatan dan mengekalkan fungsi tulang.
Pengambilan Suplemen untuk Kesihatan Tulang
Keperluan terhadap suplemen untuk kesihatan tulang berbeza mengikut individu. Pengambilan suplemen adalah lebih penting bagi golongan yang berisiko tinggi mengalami kekurangan nutrisi atau masalah tulang.
Antara kumpulan yang wajar mempertimbangkan pengambilan suplemen untuk kesihatan tulang termasuklah:
- Wanita pascamenopaus: Mereka berisiko mengalami ketumpatan tulang yang berkurangan dan osteoporosis akibat pengurangan hormon estrogen.
- Warga emas: Mereka mempunyai tulang yang semakin kurang padat dan berisiko tinggi untuk patah akibat penyerapan kalsium yang berkurangan.
- Ibu yang hamil dan menyusu bayi: Mereka memerlukan kalsium tambahan bagi menyokong pembentukan tulang bayi dan penghasilan susu ibu.
- Kanak-kanak: Kanak-kanak yang mengalami masalah pembentukan tulang kerana tidak memperoleh kalsium atau vitamin D yang mencukupi.
- Individu yang mengamalkan diet vegetarian: Mereka mungkin tidak mendapat sumber kalsium dan vitamin D yang mencukupi daripada pemakanan berasaskan tumbuhan.
Beberapa mineral dan vitamin sering dipasarkan sebagai produk suplemen yang sesuai diambil untuk kesihatan tulang.
Antaranya ialah:
1. Kalsium
Kalsium merupakan mineral asas yang diperlukan untuk pembentukan dan pemeliharaan tulang.
Keperluan harian kalsium seperti yang disyorkan dalam Cadangan Pengambilan Zat (Recommended Nutrient Intakes, RNI) Malaysia ialah 800-1000 miligram, bergantung kepada usia, jantina dan sama ada seseorang wanita itu mengandung atau sedang menyusukan bayi.
2. Vitamin D
Vitamin D merupakan vitamin larut lemak yang boleh dihasilkan oleh tubuh dengan bantuan cahaya matahari.
Fungsi utama vitamin D adalah untuk mengekalkan paras kalsium dan fosfat dalam darah pada tahap normal. Vitamin D berperanan penting dalam membantu penyerapan kalsium ke dalam tubuh.
RNI untuk vitamin D ialah 5-15 microgram, bergantung kepada usia seseorang. Contohnya, RNI untuk bayi, kanak-kanak, remaja dan individu dewasa berusia 50 tahun ialah 5 microgram dan RNI ini meningkat kepada 10 microgram untuk individu berusia 51-60 tahun.
3. Magnesium
Magnesium memainkan peranan penting dalam merangsang pembentukan tulang dan seterusnya dapat mempengaruhi ketumpatan tulang.
Keperluan magnesium berbeza mengikut peringkat usia dan keadaan fisiologi seseorang. Secara umumnya, keperluan magnesium antara individu lelaki dan perempuan tidak berbeza bagi kumpulan bayi dan kanak-kanak.
Namun, saranan pengambilan adalah lebih tinggi untuk lelaki berbanding perempuan yang berusia 10 tahun ke atas.
4. Vitamin B
Dalam konteks kesihatan tulang, beberapa jenis vitamin B turut menyumbang kepada kekuatan dan ketumpatan tulang.
Sebagai contoh, vitamin B12 berfungsi untuk menyokong proses pembinaan tisu tulang. Vitamin B6 pula terlibat dalam metabolisme protein dan penghasilan enzim yang penting untuk pembentukan tulang.
Kekurangan vitamin B12 dan B6 dikaitkan dengan pengurangan kepadatan tulang dan peningkatan risiko osteoporosis, terutamanya dalam kalangan warga emas.
Nasihat untuk Orang Awam
Suplemen tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada gaya hidup sihat. Kebanyakan nutrien yang diperlukan untuk menjaga kesihatan tulang sebenarnya boleh diperoleh melalui pemakanan yang seimbang dan berkhasiat.
Contohnya, susu dan sayur-sayuran hijau merupakan antara sumber makanan yang kaya dengan kalsium.
Selain pemakanan, gaya hidup aktif melalui aktiviti fizikal dan senaman berkala turut menyumbang kepada tulang yang lebih kuat dan sihat.
Sebelum mengambil suplemen, orang awam dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi.
Nasihat ahli profesional kesihatan dapat membantu memastikan suplemen yang ingin diambil bersesuaian dengan keperluan dan tahap kesihatan masing-masing.
Jika telah dipastikan bersesuaian, suplemen haruslah diambil mengikut dos dan kekerapan yang dinyatakan pada label atau seperti yang dinasihatkan. Elakkan mengambil suplemen melebihi kuantiti yang disarankan.
Orang awam juga hendaklah memastikan suplemen tersebut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diperoleh daripada sumber yang berkredibiliti.
Setiap produk yang berdaftar dengan KKM mempunyai 2 ciri yang utama iaitu nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram.
Orang awam digalakkan untuk menyemak nombor pendaftaran produk melalui laman web NPRA, www.npra.gov.my, melalui fungsi Product Search.
Kesimpulannya, masalah kesihatan yang berkaitan sistem muskuloskeletal yang semakin banyak dilaporkan telah menyebabkan sebilangan besar individu memilih untuk mengambil suplemen sebagai langkah pencegahan.
Namun begitu, pengambilan suplemen bukanlah penyelesaian tunggal. Pengambilannya perlu dilakukan dengan cara yang betul dengan nasihat ahli profesional kesihatan dan dilengkapi dengan amalan gaya hidup sihat.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Sri Untari, Meity Mulya Susanti, Nurul Kodiyah, Laily Himawati. (2023). Buku Ajar Anatomi dan Fisiologi. 1st Edition. Jawa Tengah: PT Nasya Expanding Management.
- World Health Organization (WHO). (2022). Musculoskeletal conditions.
- National Institute of Arthritis and Musculoskeletal and Skin Diseases (NIAMS). (2023). Calcium and Vitamin D: Important for Bone Health.





