Serangan panik adalah episod ketakutan yang amat sangat yang mencetuskan tindak balas fizikal walaupun tiada bahaya yang nyata atau penyebab yang jelas.
Apabila serangan panik berlaku, seseorang itu mungkin berasa seperti mereka seperti hilang kawalan, mengalami serangan jantung atau macam hendak mati.
Serangan panik ini boleh berlaku sekali atau dua kali dalam hidup seseorang terutamanya ketika individu tersebut sedang mengalami tekanan atau keadaan yang menyebabkan tekanan.
Tetapi ada juga mereka yang mengalami serangan ini secara berulang-ulang atau diluar jangkaan. Terdapat juga pesakit yang sentiasa berada dalam keadaan ketakutan kerana khuatir akan berlakunya serangan panik yang seterusnya. Keadaan-keadaan ini dipanggil kecelaruan panik.
Dalam sesetengah kes, serangan panik boleh disebabkan oleh masalah perubatan, kecederaan atau boleh juga disebabkan oleh kesan sampingan ubat-ubatan.
Tidak semua serangan panik mempunyai pencetus atau penyebab yang sama dan serangan ini boleh dijangka atau tidak dijangka.
Pada asasnya, serangan ini tidak mengancam nyawa tetapi boleh menyebabkan ketakutan dan menjejaskan kehidupan seharian mereka yang mengalaminya. Tetapi, rawatan boleh membantu mengatasi masalah ini.
Simptom-simptom atau Gejala
Serangan panik biasanya berlaku secara mengejut tanpa sebarang amaran. Namun, semasa serangan ini berlaku, anda boleh mengalami simptom-simptom berkaitan fizikal, emosi dan pemikiran serentak dalam satu masa.
Simptom-simptom atau gejala ini akan memuncak dalam masa beberapa minit dan anda akan berasa letih atau lesu setelah serangan ini menghilang.
Antara simptom-simptom adalah seperti berikut:
- Berpeluh
- Menggeletar atau mengigil
- Sesak nafas atau sukar bernafas
- Sakit dada
- Degupan jantung menjadi laju
- Rasa seperti bahaya akan datang
- Kejang pada bahagian perut (abdomen)
- Sakit kepala
- Rasa pening dan hendak pitam
- Rasa loya
- Rasa sesemut
- Perasaan tidak realiti atau terpisah daripada dunia nyata
- Rasa seperti kaki lembik atau goyang.
Semasa serangan ini berlaku, anda akan berasa sangat takut sekiranya anda:
- Hilang kawalan
- Pengsan
- Mengalami serangan jantung
- Berasa akan mati
Simptom-simptom dan keamatan serangan ini mungkin berbeza-beza bagi setiap individu. Lazimnya, serangan panik ini boleh berlangsung selama 30 minit dengan simptom-simptom ini mencapai kemuncaknya dalam masa 10 minit pertama dan beransur-ansur berkurang.
Serangan ini boleh berlanjutan lebih lama dan boleh juga datang dan pergi selama beberapa hari.
Kesan Serangan Panik
Sekiranya tidak dirawat, serangan panik atau kecelaruan panik boleh mengganggu kehidupan harian mereka yang mengalaminya. Seseorang itu mungkin akan sentiasa berada dalam ketakutan berikut beranggapan akan ada serangan yang sama akan berlaku.
Secara tidak langsung keadaan ini akan mengurangkan kualiti hidup mangsa serangan ini.
Kesan lain yang mungkin berkaitan dengan serangan ini adalah:
- Membentuk fobia seperti fobia untuk meninggalkan rumah, fobia untuk memandu atau fobia untuk berada di kawasan sempit.
- Menyebabkan penyalahgunaan dadah atau alkohol.
- Meningkatkan risiko bunuh diri atau keinginan bunuh diri.
- Mengalami masalah ditempat kerja atau sekolah.
- Menyebabkan berlakunya kemurungan (depresi), keresahan dan masalah psikiatri lain.
- Menjauhkan diri daripada masyarakat atau situasi sosial.
- Mengalami masalah kewangan.
Di samping itu juga mereka yang pernah mengalami serangan ini berisiko untuk mengalami agorafobia iaitu fobia akan tempat lapang dan tempat awam.
Adakah Berbahaya?
Serangan panik pada asasnya tidak berbahaya. Tetapi serangan ini boleh menyebabkan seseorang itu melakukan perkara yang boleh membahayakan nyawa mereka.
Sebagai contoh, jika seseorang itu mengalami serangan panik ketika memandu ia boleh menyebabkan berlakunya kemalangan dan boleh meragut nyawa.
Begitu juga sekiranya serangan ini menyebabkan seseorang itu jatuh akibat pengsan atau pitam. Keadaan ini boleh mendatangkan kecederaan atau membahayakan nyawa mereka yang mengalami serangan ini.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa serangan panik boleh memburukkan lagi masalah jantung yang dialami oleh penghidap penyakit jantung koronari. [1]
Walau bagaimanapun, terdapat kajian semula yang diterbitkan pada tahun 2017 yang menyangkal akan perkaitan antara kecelaruan panik dengan penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung koronari, kegagalan jantung atau strok. [2]
Adakah Serangan Panik Adalah Masalah Kesihatan Mental?
Mengalami satu serangan panik atau beberapa tidak bermakna anda mengalami masalah kesihatan mental.
Namun, serangan seperti ini boleh menyebabkan seseorang itu berasa bimbang akan serangan selanjutnya pada masa akan datang.
Kesannya, mereka akan mula menjauhi tempat, situasi atau orang yang difikirkan boleh menyebabkan terjadinya serangan ini.
Walau bagaimanapun, sekiranya tindakan-tindakan ini mendatangkan masalah terhadap perhubungan dengan pasangan, ahli keluarga atau orang sekeliling. Ini mungkin menandakan kecelaruan keresahan.
Sekiranya kebimbangan dan keresahan ini berterusan dan berlaku serangan panik yang kerap atau tanpa diduga. Seseorang itu mungkin didiagnosa menghidap kecelaruan panik.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Serangan panik boleh dirawat dan boleh diuruskan. Justeru itu, adalah penting untuk mendapatkan rawatan atau sokongan yang bersesuaian daripada pakar atau mereka yang bertauliah.
Sila dapatkan bantuan daripada doktor atau pakar sekiranya anda atau pasangan anda mengalami perkara-perkara berikut:
- Mengalami simptom-simprom fizikal yang berulang-ulang seperti insomnia, degupan jantung laju, sakit kepala atau sakit dada.
- Sukar untuk menjalani kehidupan harian dan simptom yang dialami menganggu kehidupan harian.
- Menggunakan arak atau bahan terlarang untuk menghadapi keresahan dan simptom yang berlaku.
- Tidak mahu meninggalkan rumah walaupun terdapat tugasan yang memerlukan anda untuk keluar dari rumah.
- Berminat untuk memahami simptom-simptom yang berlaku atau ingin didiagnosa.
- Berminat untuk mengetahui bagaimana cara terbaik untuk merawat simptom atau masalah yang dihadapi.
Rujukan
- Fleet, R. (2005). Myocardial Perfusion Study of Panic Attacks in Patients With Coronary Artery Disease. The American Journal of Cardiology.
- Machado, S. et al. (2017). Panic disorder and cardiovascular diseases: an overview. International review of psychiatry.
- Mayo Clinic Staff. (2018). Panic attacks and panic disorder. MayoClinic [diakses pada 30 Mac 2021].
- Sandra Silva Casabianca. (2021). What Does a Panic Attack Feel Like? PsychCentral [diakses pada 30 Mac 2021].