Mesti ramai yang ingin membantu pesakit kemurungan tetapi tidak tahu cara yang betul, bukan? Oleh itu, kami kongsikan cara membantu pesakit kemurungan melalui pendekatan psikologi dan perubatan.
Kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu berasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.
Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan penderitaan dalam diam. Pada satu tahap yang kritikal, ia boleh membawa kepada tindakan bunuh diri. Stigma masyarakat terhadap mereka yang mengalami kemurungan menyebabkan pesakit mengelak daripada mendapatkan rawatan.
Sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan adalah amat penting kepada penghidap kemurungan. Maka, ahli keluarga atau rakan-rakan perlu belajar cara yang betul untuk membantu golongan ini.
Sekiranya rakan atau ahli keluarga anda mengalami kemurungan, anda akan mendapati beberapa gejala atau simptom-simptom seperti berikut:
- Kelihatan sedih atau sering menangis.
- Bersikap pesimis lebih daripada kebiasaan. Pesimis ialah sifat seseorang yang negatif,mudah hilang kepercayaan atau putus harapan dan berburuk sangka terhadap suasana sekeliling.
- Semakin kurang menghabiskan masa bersama atau kurang berkomunikasi daripada biasa.
- Mudah kecewa.
- Sukar tidur (insomnia) atau terlebih tidur.
- Sentiasa keletihan dan tidak bertenaga.
- Mengabaikan penampilan termasuk kebersihan diri tidak seperti kebiasaan.
- Makan terlalu banyak atau terlalu sedikit.
- Mudah lupa atau sukar memberi tumpuan serta sukar membuat keputusan.
- Sentiasa bercakap mengenai kematian atau bunuh diri.
Tindakan atau Nasihat yang Boleh Dilakukan Untuk Membantu Sahabat yang Mengalami Kemurungan
Berikut adalah beberapa cara membantu pesakit kemurungan yang boleh anda lakukan semasa memberi sokongan kepada mereka. Antaranya termasuklah:
1. Ada untuk mereka
Salah satu tindakan terbaik yang boleh anda lakukan ialah berada bersama mereka tatkala mereka berada dalam tekanan perasaan.
Apa yang anda perlu lakukan ialah sama ada hanya duduk bersama, tunjukkan yang anda prihatin dan memahami perasaan mereka atau bertanyakan soalan seperti “Apa yang boleh saya lakukan untuk membantu awak?”.
Tindakan ini sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi mereka.
2. Membantu mereka mendapatkan rawatan
Kadang kala penghidap kemurungan tidak sedar bahawa dia mengalami kemurungan atau mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan atau bantuan.
Oleh itu, anda boleh membantu mereka dengan membantu mencarikan ahli terapi atau pakar psikologi dan mengadakan janji temu.
Berikan galakkan dan sokongan agar mereka mendapatkan rawatan pertama. Teman rakan atau ahli keluarga anda itu ke tempat rawatan bagi mengelakkan mereka berasa keseorangan.
Rawatan biasanya mempunyai beberapa sesi dan penghidap kemurungan ini adakalanya akan berasa tidak mahu meneruskan rawatan. Berikan galakkan supaya mereka terus kekal dengan sesi rawatan.
Contohnya dengan berkata, “Minggu lepas awak kata sesi terapi itu sangat produktif dan awak rasa lebih baik selepas itu. Bagaimana jika sesi hari ini juga membantu?”.
3. Belajar sebanyak mungkin mengenai kemurungan
Belajar berkenaan kemurungan adalah penting bagi mengelakkan salah faham atau tindakan yang salah dalam proses membantu mereka yang mengalami kemurungan.
Sekiranya anda memahami dan mengetahui mengenai simptom-simptom kemurungan, kesan dan rawatan yang ada, maka lebih mudah untuk anda memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan.
Harus diingat juga, kemurungan adalah bukan penyakit statik. Simptom-simptomnya mempunyai pasang surut yang sukar untuk difahami oleh mereka yang tidak mengalaminya.
4. Sabar
Sabar juga adalah kunci utama dalam memberikan sokongan kepada penghidap kemurungan.
Rawatan adalah satu proses yang perlahan yang melibatkan percubaan dan kesilapan. Pesakit mungkin perlu mencuba beberapa pendekatan terapi atau ubat-ubatan yang berbeza sebelum menjumpai satu kaedah yang dapat membantu mengurangkan simptom-simptom yang dihadapi.
Setiap pesakit juga mempunyai simptom-simptom berbeza. Oleh itu, proses rawatan akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kesesuai dengan simptom yang dihadapi mereka.
Begitu juga dengan ubat-ubatan seperti antidepresi. Ubat ini tidak boleh dihentikan secara mengejut tanpa konsultasi dengan doktor terlebih dahulu kerana mempunyai kesan sampingan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Maka, sebagai orang yang paling hampir dengan pesakit kemurungan, anda harus sentiasa menggalakkan mereka agar meneruskan rawatan dengan penuh kesabaran.
5. Jaga diri sendiri
Biasanya apabila seseorang itu peduli akan rakan baiknya atau orang yang mereka sayang, mereka akan cuba yang terbaik untuk membantu sehingga boleh mengabaikan keperluan diri sendiri.
Sekiranya anda menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk membantu rakan anda, masa dan tenaga yang tinggal untuk diri sendiri adalah sedikit. Besar kemungkinan anda akan berasa kecewa atau keletihan.
Tidak salah untuk membantu tetapi anda juga perlu membantu diri sendiri bagi mengelakkan anda turut terjerumus dengan tekanan perasaan.
Jadi, caranya ialah agihkan masa untuk diri sendiri dan untuk rakan anda. Maklumkan kepada mereka bahawa anda akan ada untuknya pada sekian-sekian masa atau hari.
Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan lain yang ingin turut serta membantu, ini adalah lebih baik. Antara boleh bergilir-gilir membantu rakan yang mengalami kemurungan ini. Sokongan dalam bentuk kumpulan lebih baik daripada individu.
6. Kekal berhubung
Sekiranya anda sibuk atau mempunyai kekangan masa untuk sentiasa melawat rakan anda yang mengalami kemurungan, anda masih boleh menunjukkan bahawa anda peduli kepadanya dengan kekal berhubung melalui sms, whatsapp, panggilan telefon atau panggilan video.
Mengekalkan persahabatan dengan mereka yang menghidap kemurungan mungkin sukar kerana sikap mereka yang suka menyendiri. Tetapi sentiasalah bersikap positif dan memberi sokongan kepada mereka kerana walaupun tidak dapat meluahkannya, anda sebenarnya bermakna buat mereka.
Tindakan atau Nasihat yang TIDAK Boleh Dilakukan Ketika Membantu Sahabat yang Mengalami Kemurungan
Berikut pula adalah senarai atau tindakan yang TIDAK BOLEH dilakukan semasa membantu rakan anda atau orang yang tersayang yang mengalami kemurungan. Tindakan-tindakan ini boleh memburukkan lagi keadaan. Antara tindakan ini termasuklah:
1. Jangan menghukum atau mengkritik
Kata-kata anda boleh memberi impak berbeza kepada penghidap kemurungan. Elakkan menghukum atau mengkritik mereka seperti mengatakan “Awak perlu bebaskan diri daripada kemurungan” atau “Anda terlalu sensitif”.
Kata-kata seperti ini boleh membuatkan penghidap kemurungan menjadi lebih murung.
2. Jangan membanding-bandingkan
Sekiranya anda tidak pernah mengalami kemurungan, kata-kata seperti “Saya faham” atau “Kita semua pernah mengalaminya” akan membuatkan penghidap kemurungan ini berkecil hati.
Daripada berkata-kata seperti itu, adalah lebih baik anda mengatakan “Saya tidak tahu betapa sukar untuk menghadapinya. Saya tahu saya tidak mampu membuatkan awak rasa lebih baik tetapi hanya ingin awak tahu saya sentiasa bersama awak.”
Selain itu, jangan membandingkan dengan berkata, “Masalah orang lain lebih teruk.” Selalunya, kata-kata seperti ini tidak membantu bahkan mengeruhkan lagi keadaan. Penghidap kemurungan hanya mahukan anda berada di sisi dan memberi sokongan.
3. Elakkan menawarkan nasihat
Elakkan menawarkan nasihat kepada penghidap kemurungan bagi mengelakkan mereka rasa dihina. Mungkin nasihat itu betul tetapi buat masa itu mereka tidak mahu mendengarnya.
4. Hindari nasihat-nasihat ini
Hindari daripada menggunakan nasihat-nasihat ini kerana ia tidak membantu penghidap kemurungan bahkan boleh memburukkan lagi keadaan.
- “Kehidupan adalah sukar”
- “Awak perlu membiasakan diri dengannya”
- “Hidup perlu diteruskan”
- “Keluar dan berseronoklah”
- “Sakit-sakit adalah perkara normal”
- “Terlalu banyak perkara yang awak telah terima dan perlu bersyukur dengannya”
- “Bergembiralah!”
- “Awak seorang yang kuat dan semua akan menjadi baik-baik sahaja”
- “Awak mesti berhenti berasa kasihan terhadap diri sendiri”
- “Awak perlu mengambil vitamin untuk atasi kemurungan awak”
- “Awak perlu membeli pakaian yang lebih baik”
- “Awak tahu yang setiap orang mempunyai masalah sendiri”
- “Awak perlu mencuba dengan bersungguh-sungguh”
- “Awak seharusnya sudah pulih sekarang”
- “Awak perlu belajar untuk hidup dengannya (kemurungan)”
Rumusan
Pada asasnya, cara membantu pesakit kemurungan ini adalah dengan menunjukkan kepada mereka bahawa anda ada untuk mereka dan memberi sokongan kepada mereka.
Seterusnya, sebagai seorang rakan atau orang terdekat, anda harus menggalakkan mereka mendapatkan rawatan daripada mereka yang bertauliah seperti ahli psikiatri, kaunselor bertauliah atau ahli terapi.
Harus diingat juga, penghidap kemurungan ini juga sensitif dan mudah tersinggung dengan kata-kata anda yang mungkin pada tafsiran anda tidak membawa maksud yang buruk. Oleh itu, dengan mempelajari mengenai kemurungan sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk berhadapan dengan mereka.
Rujukan
- Margarita Tartakovsky. (2018). 9 Best Ways to Support Someone with Depression. Psychcentral [diakses pada 15 September 2020].
- Crystal Raypole. (2019). How to Help a Depressed Friend. Healthline [diakses pada 15 September 2020].
- Khadijah Minhat. 2017. “Nasihat yang dibenci” Penghidap Kemurungan. MyHealth