Mari kita jujur: kerja boleh jadi membebankan. Awal pagi, mesyuarat panjang, emel pasif-agresif, kumpulan WhatsApp yang tidak henti-henti. Kita tidak boleh pilih siapa rakan sepejabat kita, tetapi kalau bernasib baik, kita akan jumpa seorang yang membuat semua itu lebih ringan. Itulah ‘work bestie’ anda.
Lebih daripada sekadar teman mengadu, dia boleh jadi perbezaan antara stres dan stabil, antara rasa hendak berhenti dan rasa hendak teruskan.
Ini sebab kenapa ada work bestie bukan sekadar bonus, ia satu keperluan.

1. Mereka Membuat Suasana Kerja Lebih Ringan
Sama ada anda berkerja di pejabat fizikal atau secara maya, work bestie memberi semangat dalam rutin harian.
Mereka membuat hari Isnin tidak terlalu menyakitkan. Bila kerja menjadi bosan, anda ada seseorang untuk bersembang, bergurau atau meluahkan rasa selepas panggilan klien yang pelik. Hubungan setiakawan ini membantu mengurangkan rasa terasing.
Walaupun bekerja dari rumah, mesej ringkas dari work bestie boleh mengubah mood anda. Hubungan itu, walaupun secara digital mengingatkan anda bahawa anda bukan bersendirian dalam perjuangan ini.
2. Mereka Faham Apa yang Anda Alami
Kawan di luar tempat kerja boleh bersimpati, tetapi work bestie faham. Mereka ada semasa bos memberi arahan tidak masuk akal.
Mereka tengok projek yang gagal. Mereka kenal situasi, personaliti dan tekanan di tempat kerja. Tidak perlu penjelasan panjang, mereka sudah sedia maklum.
Perbualan menjadi lebih cepat, tulen dan melegakan. Bukan sekadar, “bos aku buat hal lagi,” tetapi “kau nampak tadi masa dia cakap macam tu kan?”
3. Mereka Sentiasa Menyokong Anda
Work bestie bukan sekadar kawan bergosip. Mereka menjadi pelindung dan penyokong. Bila kerja jadi mencabar seperti tarikh akhir ketat, komen negatif, tekanan kumpulan, mereka akan memberi sokongan, nasihat dan semangat.
Bukan sahaja memberitahu apabila anda membuat kesilapan, tetapi juga apabila anda sedang diperlakukan tidak adil.
Mereka membela anda dalam mesyuarat dan memberi amaran awal apabila ada isu. Ini hubungan dua hala yang saling melindungi.
4. Mereka Membuat Anda Lebih Cemerlang dalam Kerja
Work bestie cabar anda untuk menjadi lebih baik. Mereka memberi maklum balas jujur, kongsi ilmu dan membantu buat keputusan.
Anda tidak perlu berasa malu hendak bertanya benda yang anda tidak tahu kerana mereka pun pernah berada di tempat anda.
Mereka membantu anda dalam penulisan emel yang sukar. Mereka menyemak pembentangan anda.
Mereka meraikan kejayaan anda dan membantu anda bangkit apabila gagal. Anda saling menguatkan dan itu sangat berharga.
5. Mereka Kurangkan Stres Anda
Kerja boleh menjadi sangat menekan tetapi jika ada seseorang untuk ketawa, mengadu atau diam bersama, itu sudah cukup untuk menurunkan tekanan.
Kajian menunjukkan persahabatan di tempat kerja mengurangkan stres, meningkatkan kepuasan kerja dan menguatkan daya tahan emosi. [1, 2]
Laporan Gallup pada tahun 2022 menunjukkan pekerja yang ada “kawan baik” di tempat kerja adalah dua kali ganda lebih cenderung untuk bersemangat terhadap kerja mereka. [3]
6. Mereka Buat Anda Lebih Jujur dengan Diri Sendiri
Work bestie akan menegur bila anda mula malas, bersikap acuh tak acuh atau mengelakkan tanggungjawab.
Mereka mencabar alasan anda dan membantu anda kekal fokus. Tetapi mereka juga akan memujuk apabila anda berasa tidak yakin dan ingatkan anda tentang nilai diri anda.
Ini bukan pujian kosong, ini kesetiaan yang sebenar. Dan ia membuat anda lebih sedar diri.
7. Mereka Buat Kerja Jadi… Sebenarnya Seronok
Meme yang dikongsi. Lawak dalaman. Pandangan mata semasa situasi janggal. Semua interaksi kecil ini menyuntik kegembiraan dalam hari anda.
Work bestie mengubah “alamak, mesyuarat lagi” menjadi “harap dia masuk sekali, boleh la gelak kejap.”
Mereka membuatkan anda ketawa walaupun di bawah tekanan. Dan apabila benda menjadi huru-hara? Anda ada seseorang untuk pandang dan geleng kepala bersama.
8. Mereka Ingatkan Anda Bahawa Anda Manusia, Bukan Mesin
Work bestie adalah cerminan diri anda. Mereka nampak anda bukan sekadar jawatan, tetapi sebagai individu.
Mereka bertanya khabar dengan ikhlas. Mereka perasan bila anda murung. Mereka ingatkan anda untuk rehat, minum air dan ambil cuti.
Bila anda rasa tenggelam dalam kesibukan kerja, mereka tarik anda kembali ke realiti. Anda bukan robot; anda manusia. Dan mereka pastikan anda tidak lupa itu.
9. Mereka Membantu Anda Membuat Keputusan Kerjaya yang Betul
Work bestie boleh menjadi sebab anda kekal dalam kerja itu lebih lama atau memberi galakan untuk keluar bila tiba masanya. Apa pun, mereka membantu anda membuat keputusan yang lebih jelas.
Mereka menolong anda berfikir dengan waras. Adakah kerja ini benar-benar teruk atau anda sekadar letih?
Adakah anda dibayar rendah atau anda terlalu merendah diri? Adakah anda kekal kerana selesa, atau sebab ada tujuan lain?
Bercakap dengan seseorang yang tahu akan situasi anda boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak.
10. Mereka Selalunya Menjadi Kawan di Dunia Nyata
Work bestie tidak semestinya kekal hanya di tempat kerja. Lama-kelamaan, anda berkongsi lebih banyak cerita hidup, masalah peribadi dan kejayaan.
Mereka jumpa pasangan anda. Anda hadir dalam detik penting mereka, dalam dan luar pejabat.
Walaupun anda akhirnya berhenti kerja, hubungan itu selalunya kekal. Itu tanda hubungan yang tulen; apabila persahabatan kekal walaupun suasana berubah.
Kesimpulan: Jangan Pandang Rendah Kuasa Seorang Rakan
Anda tidak memerlukan bulatan sosial besar. Cukup seorang yang setia. Seseorang yang faham, yang bersama anda dalam tekanan, yang membuat hari sukar menjadi lebih ringan dan hari gembira menjadi lebih meriah.
Work bestie tidak ubah semua benda, tetapi mereka ubah keseluruhan pengalaman.
Kalau anda dah ada seorang, hargailah dia. Kalau belum, tengok sekeliling mungkin anda hanya perlukan satu ajakan minum kopi.
Rujukan
- He, P. et al. (2022). Workplace friendship, employee well-being and knowledge hiding: The moderating role of the perception of Chaxu climate. Frontiers in psychology.
- Craig, L. & Kuykendall, L. (2019). Examining the role of friendship for employee well-being. Journal of Vocational Behavior.
- Gallup (2022). State of the Global Workplace: 2022 Report.