Sauna mungkin sesuai untuk kurus sekiranya matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan hanya untuk sementara.
Namun, sekiranya matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan atas faktor kesihatan dan sebagainya, sauna mungkin kurang sesuai.
Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut tentang bagaimana sauna boleh membantu anda untuk kurus dan kebaikan serta keburukannya.
Bagaimana Sauna Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan?
Terdapat beberapa cara bagaimana sauna boleh menyebabkan penurunan berat badan buat sementara waktu.
Antaranya adalah:
1. Menghilangkan Berat Air
Haba sauna boleh meningkatkan suhu kulit kepada 40ºC dan suhu badan kepada 39ºC.
Ini menyebabkan peredaran darah meningkat di dalam kulit dan anda akan berpeluh untuk menyejukkan badan.
Berat badan yang hilang selepas anda menjalani sesi sauna adalah daripada berat air badan yang hilang. Jumlah air yang hilang ini bergantung kepada tempoh sesi sauna.
Walau bagaimanapun, penurunan berat badan ini hanyalah sementara dan akan kembali apabila anda meminum air.
Kaedah menurunkan berat badan seperti ini banyak dilakukan oleh petinju atau peserta MMA pada hari penimbangan.
2. Membakar Kalori
Terdapat kira-kira 4 jenis sauna dan sauna tradisional dan sauna inframerah adalah jenis sauna yang paling banyak digunakan terutamanya di rumah.
Sauna tradisional memanaskan udara didalam bilik manakala sauna inframerah memanaskan badan tanpa memanaskan udara di sekeliling.
Menurut satu penerbitan, inframerah dari sauna inframerah boleh membakar 400–600 kalori dalam masa 30 minit. [1]
Satu kajian yang melibatkan golongan muda yang tidak aktif dan berat badan berlebihan mendapati 4 sauna sesi selama 10 minit menyebabkan perubahan terhadap denyutan jantung, penggunaan tenaga, indeks jisim badan (BMI) dan permukaan badan. [2]
Kajian ini turut dilaporkan bahawa peserta kehilangan kira-kira 0.65 kg bendalir badan.
3. Meningkatkan Profil Lipid (Lemak)
Satu kajian pada tahun 2014 terhadap lelaki muda yang sihat melaporkan bahawa 10 sesi sauna menyebabkan pengurangan paras kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [3]
Kebaikan Sauna (Selain Menurunkan Berat Badan)
Selain membantu menurunkan berat badan terutamanya berat air, terdapat juga kebaikan sauna yang lain seperti:
1. Menggalakkan Pemulihan
Satu kajian terkini melaporkan bahawa satu sesi sauna inframerah selepas latihan boleh mengurangkan kesakitan otot dan meningkatkan pemulihan. [4]
2. Menyingkirkan Toksin dan Logam Berat
Mandi sauna boleh meningkatkan peredaran darah dan berpeluh, keadaan ini membantu badan menghilangkan unsur toksik dan logam berat seperti merkuri, arsenik, dan kadmium.
Walau bagaimanapun, bersenam adalah lebih berkesan untuk menyingkirkan logam berat daripada badan anda.
3. Meningkatkan Kesihatan Jantung
Sauna juga boleh membantu meningaktkan kesihatan jantung kerana ia boleh meningkatkan denyutan jantung dan tekanan darah.
Menurut satu kajian, mandi sauna dilaporkan boleh melindungi daripada kematian mengejut akibat serangan jantung, penyakit jantung koronari dan penyakit kardiovaskular. [5]
4. Mengurangkan Kelesuan
Satu kajian oleh pengkaji di Jepun turut mendapati bahawa sauna inframerah berkesan dalam merawat sindrom kelesuan kronik. [6]
5. Mengurangkan Risiko Penyakit Respiratori
Kajian menunjukkan bahawa mandi sauna boleh meningkatkan fungsi paru-paru. Kajian lain mendapati ia boleh mengurangkan risiko keadaan pernafasan akut dan kronik seperti radang paru-paru. [7, 8]
Keburukan atau Risiko Sauna untuk Kurus
Keburukan atau risiko sauna untuk kurus adalah ia boleh menyebabkan dehidrasi.
Antara simptom-simptom dehidrasi adalah:
- Keletihan
- Dahaga
- Pening kepala
- Air kencing berkurangan
- Air kencing gelap dan berbau
Bagi mengelakkan dehidrasi daripada berlaku, anda perlu meminum air semasa mandi sauna.
Selain itu juga, bagi individu yang mempunyai penyakit jantung atau masalah jantung yang lain, mandi sauna boleh menyebabkan jantung bekerja dengan lebih laju.
Maka, adalah lebih baik sekiranya mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
Rumusan
Secara ringkasnya, sekiranya anda ingin menurunkan berat badan dengan cepat dan sementara, mandian sauna adalah pilihan yang sesuai.
Namun, sekiranya anda ingin menurunkan berat badan secara lebih sihat dan berkesan, sauna bukan pilihan yang tepat.
Rujukan
- Hassan, H. et al. (2017). Innovative technologies preference for slimming treatment. International Journal of Business and Management.
- Podstawski, R. et al. (2019). Correlations between Repeated Use of Dry Sauna for 4 x 10 Minutes, Physiological Parameters, Anthropometric Features, and Body Composition in Young Sedentary and Overweight Men: Health Implications. BioMed research international.
- Gryka, D. et al. (2014). The effect of sauna bathing on lipid profile in young, physically active, male subjects. International journal of occupational medicine and environmental health.
- Ahokas, E. et al. (2023). A post-exercise infrared sauna session improves recovery of neuromuscular performance and muscle soreness after resistance exercise training. Biology of Sport.
- Schmid J. P. (2018). Some like it hot: Cardiovascular health benefits of Finnish sauna. European journal of preventive cardiology.
- Soejima, Y. et al. (2015). Effects of Waon Therapy on Chronic Fatigue Syndrome: A Pilot Study. Internal Medicine.
- Laukkanen, J. A. et al. (2018). Cardiovascular and Other Health Benefits of Sauna Bathing: A Review of the Evidence. Mayo Clinic proceedings.
- Kunutsor, S. K. et al. (2017). Sauna bathing reduces the risk of respiratory diseases: a long-term prospective cohort study. European journal of epidemiology.