Skabies atau lebih dikenali sebagai kudis buta merupakan jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh sejenis parasit daripada spesies Sarcoptes scabiei.
Skabies berlaku apabila parasit tersebut bertelur di dalam lapisan kulit paling atas. Telur, najis dan bangkai parasit ini akan menyebabkan kesan alahan seperti kegatalan dan ruam pada kulit.
Gejala alahan boleh dialami dalam tempoh 2 hingga 6 minggu selepas parasit ini mula menjangkiti kulit.
Individu yang dijangkiti akan mengalami kegatalan pada kulit yang sering menjadi lebih teruk pada waktu malam dan menyebabkan kualiti tidur mereka terjejas.
Individu dewasa yang dijangkiti skabies biasanya akan mengalami gejala pada celah jari, pergelangan tangan, lipatan kulit, siku, peha, pinggul, tumit kaki serta bahagian bawah lengan dan kawasan sulit.
Berbeza pula dengan skabies yang menjangkiti kanak-kanak, gejala akan melibatkan bahagian muka, kulit kepala, leher, tapak tangan dan tapak kaki.
Sekiranya skabies tidak dirawat dengan betul, gejala yang dialami mudah menjadi lebih serius dan sukar dikawal.
Selain itu, disebabkan kegatalan pada kulit, individu yang mengalami skabies akan menggaru hingga meninggalkan kesan calar pada kulit yang berisiko menjadi luka dan dijangkiti bakteria.
Skabies boleh dijangkiti melalui sentuhan secara langsung daripada kulit dan sering terjadi kepada individu yang tinggal dalam satu ruangan yang sama, seperti bilik tidur, asrama, rumah jagaan orang tua, taska dan pusat asuhan kanak-kanak.
Mereka yang berkongsi pakaian, tuala, cadar dan selimut serta berkongsi tempat tidur dengan individu yang mengalami skabies berisiko tinggi untuk dijangkiti.
Rawatan bagi Skabies
Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah skabies. Ubat-ubatan ini biasanya terdapat dalam bentuk krim atau losyen yang perlu disapu pada kulit mengikut arahan yang diberikan oleh doktor atau ahli farmasi.
Antaranya ialah permethrin, benzyl benzoate, crotamiton dan gamma benzene hexachloride.
1. Permethrin
Untuk rawatan skabies, losen permethrin dengan kepekatan 5% digunakan secara sapuan ke seluruh permukaan tubuh dari kepala hingga ke tapak kaki, termasuklah di kawasan lipatan kulit.
Losen perlu dibiarkan selama 8 hingga 14 jam sebelum dibilas sepenuhnya. Penggunaan permethrin tidak disyorkan bagi bayi berumur kurang daripada dua bulan.
Lazimnya, satu kali sapuan losen permethrin sudah mencukupi untuk menghilangkan parasit pada tubuh, namun sapuan ulangan boleh dilakukan selepas satu minggu sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan.
2. Benzyl benzoate
Emulsi benzyl benzoate (EBB) dengan kepekatan 25% digunakan untuk rawatan skabies dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.
EBB perlu disapu ke seluruh permukaan tubuh dari leher hingga ke kaki dan kemudiannya dibiarkan selama 24 jam sebelum dibilas sepenuhnya.
Penggunaan EBB boleh diulang dalam tempoh lima hari selepas rawatan awal. Dalam sesetengah kes, sapuan ketiga mungkin diperlukan bagi memastikan jangkitan parasit dapat dihapuskan sepenuhnya.
3. Crotamiton
Krim crotamiton 10% disapu ke seluruh permukaan tubuh bermula dari bawah dagu hingga ke kaki.
Sapuan kedua dilakukan selepas 24 jam. Dalam sesetengah kes, penggunaan mungkin perlu diteruskan sekali sehari sehingga lima hari bagi memastikan rawatan berkesan sepenuhnya.
4. Gamma Benzene Hexachloride (GBH)
GBH dengan kepekatan 1% hanya digunakan untuk rawatan skabies dalam kalangan pesakit dewasa yang mempunyai berat badan melebihi 50 kilogram.
Penggunaan GBH terhad bagi jangkitan skabies yang tidak berjaya dirawat dengan ubat-ubatan lain. GBH digunakan dengan menyapu lapisan nipis pada seluruh permukaan kulit dari leher hingga ke hujung kaki dan dibiarkan selama 8 hingga 12 jam sebelum dibilas sepenuhnya menggunakan air suam.
Pesakit perlu memaklumkan doktor atau ahli farmasi sekiranya sedang hamil, menyusukan bayi serta sejarah penyakit dan alahan ubat bagi membantu dalam pemilihan ubat yang bersesuaian untuk pesakit.
Perkara ini penting kerana terdapat sesetengah ubat tidak sesuai untuk digunakan dalam kalangan wanita hamil, menyusukan bayi, pesakit sawan, bayi pramatang dan kanak-kanak.
Dalam keadaan tertentu, antiseptik boleh digunakan untuk merendam atau mencuci kawasan jangkitan, manakala ubat tahan gatal daripada kumpulan antihistamin mungkin diberikan sekiranya perlu.
Ubat antibiotik akan diberikan jika terdapat luka atau jangkitan bakteria pada kulit, bergantung kepada tahap jangkitan selepas penilaian lanjut oleh doktor.
Nasihat untuk Orang Awam
Semua individu yang mempunyai sentuhan fizikal dengan individu yang dijangkiti atau barangan peribadi individu tersebut haruslah diperiksa dan menerima rawatan bagi mencegah penularan jangkitan.
Pesakit atau penjaga juga disaran mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi tentang kaedah penggunaan ubat yang betul.
Sekiranya ubat disapu oleh individu yang tidak dijangkiti skabies, penggunaan sarung tangan diperlukan bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Pakaian, cadar, tuala dan selimut hendaklah dibasuh menggunakan air panas dengan suhu melebihi 50oC. Barangan tidak boleh dibasuh harus disimpan di dalam beg plastik yang diikat sekurang-kurangnya selama 72 jam sebelum dianginkan dan digunakan semula.
Lazimnya, parasit skabies akan mati sekiranya terpisah daripada perumah dalam tempoh tersebut. Tilam pula perlu dibersihkan dengan teliti, khususnya pada bahagian jahitan dengan menggunakan penyedut vakum elektronik atau pembersih berstim pada suhu tinggi.
Sebagai penutup, skabies merupakan jangkitan kulit yang boleh dirawat dengan pemilihan ubat yang bersesuaian dan digunakan dengan cara yang betul.
Langkah pencegahan seperti pemeriksaan mereka yang bersentuhan dengan individu yang dijangkiti dan penjagaan kebersihan persekitaran dapat membantu mengelakkan penularan jangkitan ini.
Rujukan
- Ministry of Health Malaysia. (2015). Guideline For Management Of Scabies In Adults And Children.
- Dr Priya Gill. Scabies.





