Menghilangkan lingkaran gelap bawah mata atau eye bag biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan. Ia hanyalah melibatkan kebimbangan penampilan atau kosmetik. Bagi anda yang sering mengalami lingkaran gelap bawah mata ini, usah bimbang kerana terdapat petua menghilangkan lingkaran gelap bawah mata yang berkesan untuk diamalkan.
Lingkaran gelap bawah mata atau bengkak bawah mata boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor atau penyebab. Faktor peningkatan usia (penuaan) juga boleh menyebabkan tisu-tisu bahagian bawah mata anda melemah dan hilang keanjalan.
Antara punca-punca lain adalah:
- Tidak cukup tidur
- Alahan
- Merokok
- Pengumpulan cecair terutamanya selepas makan makanan masin
- Genetik (keturunan)
- Masalah kesihatan seperti dermatitis, penyakit buah pinggang dan penyakit mata tiroid (thyroid eye disease)
- Kelesuan yang kronik

Berikut adalah beberapa petua menghilangkan lingkaran gelap bawah mata dan bengkak bawah mata yang berkesan:
Petua 1: Gunakan Uncang Teh
Selepas meminum teh, biasanya uncang teh tersebut akan dibuang. Tetapi kali ini, anda boleh memanfaatkan uncang teh tersebut untuk penampilan anda.
Uncang teh seperti teh hijau, teh hitam atau teh biasanya mengandungi kafein yang boleh menghilangkan lingkaran gelap dan bengkak bawah mata.
Teh-teh ini mengandungi antioksidan dan boleh membantu meningkatkan aliran darah pada kulit anda. Ia juga boleh melindungi kulit anda daripada sinaran UV yang berbahaya dan berpotensi melambatkan proses penuaan.
Sebagai contoh, teh hijau dilaporkan mempunyai kesan antiradang yang boleh mengurangkan keradangan seperti bengkak. [1]
Cara-caranya adalah:
- Rendamkan dua uncang teh selama 3-5 minit.
- Biarkan uncang teh tersebut sejuk di dalam peti sejuk selama 20 minit.
- Kemudian, perah lebihan cecair pada uncang teh tersebut.
- Letakkan uncang-uncang teh tersebut di bahagian bawah mata anda.
- Biarkan uncang teh tersebut selama 15-30 minit.
Petua 2: Gunakan Timun Batang Sejuk
Timun batang yang disejukkan juga boleh membantu anda menghilangkan lingkaran gelap dan bengkak bawah mata.
Meletakkan potongan timun batang yang sejuk di bahagian bawah mata anda boleh membantu saluran darah menyempit dengan cepat untuk kelegaan sementara.
Cara-caranya adalah:
- Letakkan hirisan timun batang ke dalam peti sejuk selama 10-15 minit.
- Kemudian, letakkan dua hirisan timun batang di kedua-dua bahagian mata anda.
- Biarkan selama 15-30 minit.
Petua 3: Sudu Sejuk
Selain menggunakan timun batang, anda juga boleh menggunakan sudu yang disejukkan untuk menghilangkan lingkaran gelap dan bengkak bawah mata anda.
Sudu yang sejuk ini boleh membantu menyempitkan saluran darah dan mengurangkan bengkak. [2]
Cara-caranya adalah:
- Letakkan 2 sudu teh ke dalam peti sejuk selama 30 minit.
- Kemudian, keluarkan sudu teh tersebut dan letakkan sudu tersebut di kedua-dua mata anda.
- Pastikan bahagian melengkung sudu tersebut mengadap ke bawah.
- Biarkan sudu tersebut selama 15-20 minit.
Petua 4: Gunakan Gel Aloe Vera (Lidah Buaya)
Petua menghilangkan lingkaran gelap bawah mata yang seterusnya adalah menggunakan gel aloe vera.
Anda boleh mendapatkan gel aloe vera ini secara terus daripada daun aloe vera atau daripada produk gel aloe vera yang dijual di pasaran.
Aloe vera boleh melembapkan kulit dan mengurangkan keradangan yang mungkin boleh membantu masalah lingkaran gelap bawah mata.
Cara-caranya adalah:
- Sapukan gel aloe vera dibahagian bawah mata anda setiap hari.
- Biarkan sehingga kering selama 15-30 minit.
- Kemudian, bilas dengan air sejuk.
Petua 5: Hadkan Air Sebelum Tidur dan Kurangkan Garam
Hadkan air sebelum tidur dan kurangkan makanan masin atau tinggi garam sebelum tidur juga boleh membantu mengurangkan lingkaran gelap dan bengkak bawah mata.
Kaedah ini boleh mengurangkan penahanan cecair yang menyebabkan bengkak bawah mata.
Petua 6: Tidur dengan Kepala Sedikit Tinggi
Petua yang seterusnya adalah tidur dengan kepala sedikit tinggi daripada badan dengan menggunakan bantal lebih tinggi atau menambah bantal.
Tidur dengan kepala sedikit tinggi daripada badan boleh mencegah pengumpulan cecair di bahagian mata semasa anda tidur. Kaedah ini boleh mencegah bengkak di bawah mata anda.
Petua 7: Dapatkan Tidur yang Mencukupi
Mendapatkan tidur yang mencukupi juga penting bagi mengelakkan terbentuknya lingkaran gelap bawah mata anda.
Bagi kebanyakan orang dewasa, adalah disarankan untuk mendapatkan tidur selama 7 hingga 9 jam semalaman.
Rujukan
- Chatterjee, P. et al. (2012). Evaluation of anti-inflammatory effects of green tea and black tea: A comparative in vitro study. Journal of advanced pharmaceutical technology & research.
- Block J. E. (2010). Cold and compression in the management of musculoskeletal injuries and orthopedic operative procedures: a narrative review. Open access journal of sports medicine.