Dermatitis ialah istilah perubatan untuk keradangan kulit (iritasi). Dermatitis sentuh pula adalah tindak balas alahan (alergik) atau perengsa (bahan iritasi) yang menyebabkan ruam gatal dan merah. Ruam ini tidak berjangkit dan tidak mengancam nyawa tetapi menyebabkan rasa yang tidak selesa.
Dermatitis sentuh biasanya bertambah baik atau pulih sepenuhnya jika bahan yang menyebabkan masalah ini dikenal pasti dan dihindarkan. Terdapat rawatan yang boleh membantu mengurangkan gejala-gejala.
Dermatitis sentuh ialah keadaan yang sering berlaku. Hal ini demikian kerana kita dikelilingi dengan pelbagai alergen dan perengsa. Anda juga mungkin sering mengalami dermatitis sentuh sekiranya anda mempunyai kulit yang sensitif atau penyakit kulit yang lain.
Gejala-gejala Dermatitis Sentuh
Dermatitis sentuh biasanya berlaku di kawasan badan yang terdedah secara terus terhadap bahan yang menyebabkan tindak balas.
Gejala-gejala atau tanda dermatitis sentuh adalah:
- Gatal
- Ruam-ruam merah
- Gelembung-gelembung cecair (gelembung-gelembung cecair akan pecah dan menyebabkan kulit berair atau berkeruping)
- Kulit menjadi kering, merekah dan bersisik
- Bengkak
- Rasa seperti terbakar
- Kulit menebal dan bersisik (kronik)
Punca atau Penyebab
Dermatitis sentuh disebabkan oleh bahan yang merengsa kulit atau mencetuskan tindak balas alahan.
Dermatitis sentuh perengsa ialah jenis yang paling lazim berlaku. Tindak balas kulit ini berlaku apabila bahan tersebut merosakkan lapisan luar kulit.
Sesetengah orang bertindak balas terhadap perengsa dengan kuat selepas satu pendedahan. Sesetengahnya pula mungkin mengalami tanda dan gejala selepas pendedahan berulang-ulang kepada perengsa ringan. Sesetengah orang membentuk toleransi terhadap bahan perengsa dari masa ke masa.
Antara perengsa yang boleh menyebabkan keradangan pada kulit adalah:
- Detergen atau peluntur
- Pelarut
- Syampu
- Habuk
- Tumbuhan
- Baja atau racun serangga
Dermatitis sentuh alahan pula berlaku apabila bahan yang anda sensitif (alergen) kepadanya mencetuskan tindak balas imun dalam kulit anda. Lazimnya, ia berlaku di kawasan yang berlaku sentuhan dengan alergen.
Dermatitis jenis ini mungkin juga disebabkan oleh bahan yang memasuki badan anda seperti makanan, perisa atau ubat-ubatan.
Anda mungkin menjadi sensitif kepada alergen yang kuat seperti pokok ivy beracun selepas sekali pendedahan. Alergen yang lebih lemah mungkin memerlukan pendedahan beberapa kali selama beberapa tahun untuk mencetuskan alahan.
Sebaik sahaja anda mengalami alahan terhadap sesuatu bahan, walaupun sedikit bahan itu boleh menyebabkan tindak balas.
Antara alergen yang kebiasaannya menyebabkan inflamasi pada kulit adalah seperti berikut:
- Nikel yang digunakan dalam barang kemas, jam tangan atau tali pinggang.
- Ubat-ubatan seperti antibiotik atau ubat antihistamin
- Deodoran, sabun, pewarna rambut atau kosmetik
- Tumbuhan beracun seperti ivy
- Minyak wangi
- Ubat sapuan tradisional
- Sarung tangan getah, alat pemegang bergetah pada basikal atau peralatan senaman.
- Bahan kimia dari industri di tempat kerja
- Debunga atau semburan serangga
Rawatan
Rawatan utama adalah mengelak dari terdedah kepada alergen atau faktor yang menyebabkan iritasi. Ujian cucuk kulit boleh dijalankan untuk mengenalpasti alergen.
Rawatan peringkat awal:
- Kerap kali merendam atau mencecah kulit dengan kalium permanganat untuk lesi kulit yang berair atau lembab. Kebiasaanya dilakukan 2 hingga 3 hari.
- Sapu ubat steroid sekali atau dua kali sehari mengikut nasihat doktor. Ini dapat mengurangkan inflamasi kulit.
- Ubat antihistamin boleh menolong mengurangkan rasa gatal bagi sesetengah pesakit.
Rawatan peringkat seterusnya:
- Sapu ubat steroid sekali atau dua kali sehari mengikut nasihat doktor.
- Sapu pelembap dalam bentuk krim atau salap berminyak untuk mengurangkan kulit kering atau bersisik.
- Antihistamin boleh menolong mengurangkan rasa gatal pada sesetengah pesakit.
- Antibiotik hanya diberikan oleh doktor jika disyaki terdapat jangkitan kuman bakteria.
Langkah-langkah Pencegahan
Adalah penting untuk mengelakkan diri dari terdedah semula kepada alergen atau faktor-faktor yang menyebabkan iritasi bagi mengelakkan masalah berulang.
Guna peralatan pelindungan diri yang bersesuaian semasa kerja-kerja yang melibatkan penggunaan bahan kimia atau melibatkan habuk.
Penjagaan tangan:
- Jangan rendam tangan terlalu lama atau sentiasa basah
- Kurangkan kekerapan basuh tangan
- Guna sarung tangan bila perlu mengendalikan bahan kimia atau pencuci
- Guna bahan pencuci yang tidak begitu kuat
- Keringkan tangan yang basah
- Guna pelembab dan sapu kerap kali
- Basuh tangan atau anggota badan yang bersentuhan dengan alergen atau perengsa dengan segera.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2019). Contact Dermatitis. Cleveland Clinic
- Mayo Clinic Staff. (2020). Contact Dermatitis. MayoClinic