Mempunyai pemikiran yang positif adalah salah satu kunci kejayaan. Seseorang yang optimis lebih cenderung untuk melihat satu masalah atau rungutan sebagai peluang.
Malah, orang yang positif akan melihat kegagalan sebagai guru atau iktibar yang harus mereka pelajari dan bukan untuk diulangi. Bangkit daripada kegagalan juga boleh menguatkan mental dan emosi kita dalam menghadapi pelbagai rintangan hidup.
Terdapat satu kisah popular yang boleh dijadikan satu pengajaran untuk kita berjaya. Kisah penjual kasut ini adalah satu contoh situasi di mana pemikiran positif boleh membawa kejayaan kepada seseorang.

Mempunyai Pemikiran Positif – Kisah Penjual Kasut
Terdapat dua orang penjual kasut yang telah ditugaskan oleh syarikat masing-masing untuk meneroka pasaran baru di sebuah negara di benua Afrika. Sebelum mereka menjual produk kasut mereka, mereka dikehendaki membuat kajian kebolehpasaran di negara tersebut.
Mereka disediakan penginapan yang terbaik dan tiket penerbangan kelas pertama oleh syarikat masing-masing.
Dengan layanan yang baik dari syarikat masing-masing, semangat mereka terus berkobar-kobar untuk memberikan yang terbaik buat syarikat mereka. Setibanya mereka di lapangan terbang negara tersebut, mata mereka terarah kepada kaki-kaki orang yang lalu-lalang di situ.
Keesokkan harinya, mereka telah melawat ke beberapa buah daerah dan perkampungan di sekitar negara tersebut termasuklah kilang-kilang dan kedai kasut yang terdapat di negara itu.
Setelah beberapa hari membuat pemerhatian dan kajian, kedua-dua penjual kasut ini pulang ke negara mereka. Mereka dikehendaki menyediakan laporan berdasarkan pemerhatian dan kajian mereka di negara tersebut.
Penjual kasut dari Syarikat A membentangkan laporannya dengan menyatakan:
“Tiada potensi pasaran kasut di negara ini kerana kebanyakan penduduk tidak memakai kasut terutamanya penduduk di kawasan kampung atau pedalaman. Kesimpulan saya, mereka tidak memiliki kuasa membeli yang besar”
Penjual kasut dari Syarikat A
Manakala, penjual kasut dari Syarikat B pula membentangkan laporannya dengan menyatakan:
“Kita ada potensi pasaran yang besar di negara itu kerana masih ramai penduduk di situ yang belum berkasut. Kesimpulan saya, banyak peluang pasaran kasut di sana.”
Penjual kasut dari Syarikat B
Akhirnya, syarikat B berjaya menjual banyak kasut mereka di negara tersebut dan meluaskan empayar perniagaan mereka di sana.
Pengajaran
Disebalik sesuatu permasalahan atau perkara, terdapat potensi dan peluang yang hanya dapat dilihat jika diambil dari sudut positifnya.
Bukan hanya praktikal dalam bidang perniagaan, ia juga dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita. Setiap perkara yang berlaku walaupun pada zahirnya kelihatan buruk terselit bersama-samanya hikmah yang mempunyai 1001 manfaat yang tidak terungkai dek akal dan ilmu yang cetek ini.
Seseorang yang sentiasa berfikiran positif juga akan lebih ceria dan lebih produktif berbanding mereka yang berfikiran negatif.
Semoga kisah ini menjadi satu pedoman buat kita dalam menempuhi cabaran dan dugaan hidup. Mempunyai pemikiran positif juga dapat mengelakkan kita dari mengalami tekanan dan kemurungan tatkala ujian melanda.