Sesungguhnya kehidupan ini ada naik turunnya. Ada masa kita gembira, ada masa kita marah dan ada masa kita sedih. Itu adalah lumrah dalam kehidupan. Tetapi sudah semestinya kita inginkan tinggalkan semua perkara-perkara negatif tersebut dan kekal dalam keadaan positif.
Tetapi bagaimana untuk kekal positif?
Adakah ada cara untuk menjadikan diri kita kekal positif dalam mengharungi hari-hari yang kian mencabar ini?
Sudah tentu ada caranya. Kali ini kami kongsikan beberapa cara untuk menjadikan diri anda kekal positif seawal permulaan hari anda hingga anda ingin melelapkan mata.
1. Mulakan Waktu Pagi dengan Fikiran Positif
Tips yang pertama adalah mulakan pagi anda dengan aura yang positif.
Jangan bermasam muka pada waktu pagi dan jangan bersedih pada waktu pagi. Mulakan pagi anda dengan senyuman.
Bagi yang beragama Islam, selepas solat Subuh, lakukan aktiviti atau perkara yang anda gemari dan boleh menghiburkan diri anda.
Elakkan membaca berita, surat khabar atau media sosial pada awal pagi kerana kebanyakan saluran-saluran ini boleh mendatangkan aura negatif seperti kemarahan, kebencian dan ketakutan bagi kebanyakan daripada kita.
2. Set Minda Sebelum Tidur
Seterusnya, untuk mendapatkan pemikiran yang positif pada waktu pagi. Anda harus setkan minda sebelum tidur.
Setkan minda dan berdoa untuk bangun pada keesokkan pagi dengan pemikiran yang positif, emosi yang positif dan penuh bersemangat.
3. Buat Perkara Yang Mengembirakan
Tips yang ketiga adalah melakukan perkara-perkara yang mengembirakan seawal permulaan hari anda.
Contohnya seperti:
- Bersenam
- Mendengar lagu kegemaran
- Membaca buku
- Membaca Al-Quran
- Bermain dengan haiwan peliharaan
- Berjalan-jalan diperkarangan rumah
- Menyiram pokok atau tanaman
- Menyediakan sarapan
- Makan atau minum minuman yang disukai seperti kopi atau teh
- Melihat ikan berenang di dalam kolam atau akaurium
- Mendengar audia siar (podcast) atau membaca motivasi pagi
Bagi anda yang masih tinggal bersama ibu bapa, lihat wajah ibu dan mohon doa daripada ibu sebelum anda berangkat ke tempat kerja atau ke mana sahaja destinasi yang ingin dituju.
Jangan lupa juga untuk bersalam dengan ibu bapa sebelum ke tempat kerja kerana keberkatan dan redha daripada mereka menjadikan hari kita lebih ceria dan positif.
4. Masuk Pejabat dengan Kaki Kanan
Tips yang seterusnya adalah keluar rumah dengan kaki kiri dan melangkah masuk ke pejabat dengan kaki kanan.
Amalan sunnah yang mungkin dipandang ringan oleh ramai daripada kita sebenarnya mempunyai banyak kesan kepada diri kita tanpa kita sedari.
5. Buat Orang Lain Positif, Kita Juga Akan Positif
Langkah yang seterusnya untuk kekal positif adalah dengan membuat orang lain positif. Bagaimana? Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan bergantung kepada situasi yang dihadapi oleh kita.
Untuk menjadikan hari orang lain atau rakan anda positif, anda mestilah berada bersama mereka secara fizikal dalam keadaan tenang, mempunyai lawak jenaka, menghiburkan, mempunyai belas kasihan dan kepuasan diri.
Selain itu, anda boleh berbual-bual dengan rakan atau orang yang terdekat dengan anda mengenai perkara-perkara yang positif. Elakkan mengumpat atau memburuk-burukkan orang lain kerana ia boleh menjemput pemikiran negatif dan mewujudkan suasana yang negatif.
6. Istiqamah
Untuk mencapai apa yang kita hajatkan, kita mestilah istiqamah atau melakukan perkara tersebut secara berterusan tanpa rasa jemu.
Begitu juga sekiranya kita ingin menjadi seorang yang kekal positif dalam kehidupan kita. Mungkin kesannya tidak dapat terus dilihat atau dirasai. Tetapi lama-kelamaan anda akan dapat lihat perubahan yang berlaku pada diri anda.
Justeru itu, nikmati hidup yang singkat ini dengan menghargai apa sahaja yang kita miliki dan bersyukur kerana kita masih dipanjangkan umur.