Stres semasa musim peperiksaan adalah perkara yang biasa dialami oleh ramai pelajar tidak kira diperingkat sekolah mahupun universiti. Stres jika berada pada paras yang rendah mempunyai kebaikan kepada kita.
Tetapi, jika berlebihan stres boleh membawa keburukan kepada diri kita. Oleh itu, artikel ini berkongsi beberapa cara untuk mengurangkan stres semasa musim peperiksaan.
Stres mungkin boleh menjejaskan prestasi akademik anda sekiranya ia berlaku semasa musim peperiksaan. Anda mungkin tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran akibat daripada stres atau tekanan ini.

Lebih membimbangkan, tekanan atau stres ini boleh memburuk menjadi masalah yang lebih serius seperti masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau keresahan.
Untuk mengawal masalah stres ketika musim peperiksaan, beberapa tips atau panduan yang dinyatakan dalam artikel ini mungkin boleh membantu anda.
1. Tetapkan Matlamat yang Realistik
Tetapkan matlamat yang realistik, tidak kira sama ada anda masih mempunyai beberapa bulan, minggu atau hari sebelum peperiksaan.
Matlamat ini boleh membantu anda untuk meletakkan semuanya dalam satu pandangan yang wajar. Jangan terlampau menekan diri anda sehinggakan ia boleh menjejaskan diri.
Seperti yang dikatakan ramai, peperiksaan bukanlah segala-galanya. Anda masih boleh berjaya walau apa pun yang terjadi kepada peperiksaan anda.
2. Dapatkan Tidur yang Cukup
Kebiasaannya, ramai pelajar yang tidak cukup tidur atau kurang tidur pada minggu-minggu yang hampir dengan tarikh peperiksaan.
Walau bagaimanapun, tidak cukup tidur adalah tidak baik untuk diri anda. Tidak mendapatkan tidur yang mencukupi boleh meletakkan badan anda dalam keadaan stres atau tertekan.
Malah kajian turut menunjukkan bahawa kekurangan tidur boleh meningkatkan tekanan (stres). [1]
Justeru itu, mendapatkan tidur yang cukup iaitu sekitar 7-8 jam sehari boleh membantu mengurangkan stres semasa musim peperiksaan.
3. Selalu Bersenam
Bersenam boleh mendatangkan kesan yang positif kepada kesejahteraan hidup serta baik untuk kesihatan.
Adalah penting untuk menjaga kesihatan sebelum hari peperiksaan dan ketika hari peperiksaan. Sekiranya anda sakit ketika hari peperiksaan, segala usaha yang dilaburkan sebelum ini akan menjadi sia-sia.
Bersenam juga boleh membantu anda mendapatkan cahaya matahari yang mencukupi. Cahaya matahari boleh membantu meningkatkan paras hormon serotonin iaitu hormon yang menstabilkan “mood”. Hormon ini boleh membantu mengurangkan stres yang dialami. [2]
Anda boleh melakukan senaman ringan seperti berjalan, berlari atau berjoging pada sebelah petang selepas menelaah pembelajaran.
4. Menarik Nafas Panjang
Panik sebelum, semasa atau selepas peperiksaan adalah perkara yang lazim dialami terutamanya bagi pelajar-pelajar di universiti. Sekiranya anda mengalaminya, lakukan senaman pernafasan dengan menarik nafas panjang beberapa kali.
Menarik nafas panjang telah dibuktikan boleh membantu mengurangkan paras hormon kortisol iaitu hormon stres yang dihasilkan oleh badan. [3]
5. Belajar Secara Berkumpulan
Belajar secara berkumpulan atau mengulang kaji secara berkumpulan adalah kaedah pembelajaran yang berkesan dan boleh membantu menstabilkan emosi anda melalui sokongan daripada rakan-rakan.
6. Percaya kepada Diri Sendiri
Apabila sentiasa berhadapan dengan cabaran baru, kita sering terlupa untuk melihat kembali sejauh mana kita telah melangkah dan sejauh mana pencapaian yang telah kita kecapi. Memandangkan anda telah membuat persediaan yang baik, tidak ada sebab untuk anda risau.
Oleh itu, apabila mengalami pemikiran negatif, cuba gantikan dengan yang positif.
7. Makan Makanan yang Sihat
Memilih makanan yang sihat dalam diet harian anda juga boleh membantu anda mengurangkan stres semasa musim peperiksaan. Bagaimana?
Makanan sihat yang terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan kaya dengan pelbagai nutrien yang boleh membantu mengurangkan tekanan darah, menurunkan paras gula darah dan menurunkan paras hormon stres (kortisol). [4, 5]
Malah, kajian turut mendapati pemakanan yang sihat dikaitkan dengan kesihatan mental yang lebih baik. [6]
8. Kemas Bilik dan Meja Belajar Anda
Bilik dan meja belajar yang kemas dan tersusun boleh membantu mengurangkan stres terutamanya ketika musim peperiksaan. Pada waktu ini, kekemasan tempat-tempat ini boleh membantu anda untuk lebih fokus dalam mengulang kaji pembelajaran dan bersedia untuk peperiksaan.
Hal ini kerana otak anda sedang dihujani dengan pelbagai gangguan. Keadaan bersepah boleh membebankan otak anda dan menjejaskan keupayaan anda untuk berfikir yang seterusnya membawa kepada stres (tekanan).
9. Urus Masa dengan Bijak
Ketika musim peperiksaan, pengurusan masa adalah sangat penting. Anda boleh menyusun jadual mengikut keperluan dan keutamaan yang bersesuai dengan diri anda.
Pengurusan masa yang efektif boleh mengurangkan tekanan.
10. Elakkan Menangguh Tugasan
Cara yang seterusnya untuk mengurangkan stres semasa musim peperiksaan adalah jangan menangguh tugasan atau kerja sekolah yang diberikan.
Amalan menangguh tugasan atau kerja sekolah sehingga hampir dengan tempoh serahan boleh mengundang tekanan.
Tekanan (stres) mungkin akan lebih memuncak sekiranya anda tidak sempat untuk mengulang kaji pembelajaran dan hari peperiksaan terlalu hampir.
Justeru itu, jadikan amalan untuk sentiasa menyiapkan tugasan lebih awal daripada tempoh serahan bagi membolehkan anda mempunyai ruang masa untuk mengulang kaji pembelajaran.
Rujukan
- Minkel, J. et al. (2014). Sleep deprivation potentiates HPA axis stress reactivity in healthy adults. Health psychology.
- Sansone, R. A., & Sansone, L. A. (2013). Sunshine, serotonin, and skin: a partial explanation for seasonal patterns in psychopathology?. Innovations in clinical neuroscience.
- Cea Ugarte, J. I. et al. (2010). [Efficacy of the controlled breathing therapy on stress: biological correlates. preliminary study]. Revista de enfermeria.
- Brody, S. et al. (2002). A randomized controlled trial of high dose ascorbic acid for reduction of blood pressure, cortisol, and subjective responses to psychological stress. Psychopharmacology.
- Gonzalez, M. J., & Miranda-Massari, J. R. (2014). Diet and stress. The Psychiatric clinics of North America.
- Firth, J. et al. (2020). Food and mood: how do diet and nutrition affect mental wellbeing?. BMJ.