Banyak ubat kesihatan mental atau ubat psikiatri mempunyai kesan sampingan. Sesetengahnya mempunyai kesan sampingan yang sama bagi kelas ubat yang berbeza.
Sesetengah pesakit mungkin akan mengalami sedikit kesan sampingan dan sesetengah yang lain mungkin tidaklangsung mendapat kesan sampingan dengan ubat dan dos yang sama.
Ini kerana ubat memberi kesan yang berlainan pada seseorang dalam pelbagai cara. Jenis kesan yang anda dapat daripada ubat tertakluk pada beberapa perkara seperti umur, jantina, berat badan dan cara ubat bertindakbalas dalam badan anda.

Selain itu jumlah ubat diambil (dos) dan ubat lain yang diambil bersama boleh memberi kesan terhadap ubat dan diri anda. Terdapat kesan sampingan yang boleh merungsingkan tetapi tidak serius.
Sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang serius, anda mesti menghubungi Pegawai Perubatan (doktor). Di samping perubahan dos ubat, kadangkala Pegawai Perubatan akan memberi ubat tambahan untuk mengurangkan kesan sampingan tertentu. Jangan ubah dos anda sendiri.
Jenis-jenis Ubat Kesihatan Mental
Terdapat enam jenis ubat kesihatan mental yang utama iaitu:
- Antidepresan: Digunakan untuk merawat depresi, keresahan dan kecelaruan personaliti.
- Antipsikotik: Digunakan untuk merawat skizofrenia dan kadang-kadang kecelaruan bipolar.
- Penstabil mood: Selalu digunakan untuk merawat kecelaruan bipolar.
- Depresan: Digunakan untuk membantu pesakit tenang.
- Stimulan (perangsang): Digunakan untuk merawat gangguan kurang tumpuan atau hiperaktif (ADHD).
- Agen antiresah: Digunakan untuk merawat kecelaruan keresahan
Contoh-contoh Kesan Sampingan
1. Pening
Untuk mengelakkan rasa pening, bangun dengan perlahan. Rehat sebentar sebelum berdiri. Kesan sampingan ini akan berkurangan apabila rawatan.
2. Mengantuk
Ubat anda boleh membuat rasa mengantuk. Kesan sampingan ini selalunya sementara. Anda digalakkan mengambil ubat ini di waktu malam dan elakkan memandu sekiranya mengantuk.
3. Pandangan kabur
Jika pandangan anda kabur, hubungi Pegawai Perubatan. Beliau mungkin mengubah dos ubat anda atau menukarkan ubat untuk memulihkan masalah anda.
4. Sembelit
Ada pesakit yang mengalami kesukaran buang air besar atau mengalami najis yang keras. Anda digalakkan untuk meminum air yang banyak iaitu sekitar 6-8 gelas setiap hari.
Amalkan pemakanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin.
5. Mulut kering
Jika mulut anda berasa kering, minunlah air atau mengunyah gula-gula getah atau menghisap gula-gula lembut.
6. Ruam kulit
Ruam kulit boleh berlaku semasa mengambil sebarang ubat. Ia disebabkan alahan terhadap ubat. Jika anda mengalami ruam kulit segera maklumkan kepada Pegawai Perubatan anda. Pegawai Perubatan anda mungkin akan menukar ubat anda.
7. Gelisah
Kadangkala anda akan berasa sukar untuk duduk diam. Kesan sampingan ini dipanggil `akathisia’. Pastikan anda memaklumkan Pegawai Perubatan jika terdapat kesan sampingan ini.
8. Masalah seksual
Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan anda mengalami kurang keinginan seks dan orgasm. Pesakit lelaki mungkin mengalami kesukaran ereksi atau ejakulasi, manakala pesakit perempuan mungkin mengalami gangguan haid atau pengeluaran susu.
Jika anda mengalami kesan sampingan ini, maklumkan Pegawai Perubatan.
9. Kesukaran membuang air kecil
Anda mungkin ada keinginan untuk kencing tetapi tidak boleh mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.
10. Kesukaran bergerak
Anda mungkin mengalami otot tegang, sukar untuk bergerak dan tangan menggigil (tremor).
11. Naik berat badan
Terdapat pesakit yang mengalami kenaikan berat badan selepas beberapa minggu atau bulan rawatan.
Sekiranya anda mengalami masalah ini, amalkan cara hidup sihat seperti melakukan senaman dan mengambil makanan yang sihat dan seimbang.
Maklumkan kepada Pegawai Perubatan sekiranya terdapat kenaikan berat badan yang ketara.
12. Kulit terbakar akibat sinaran matahari
Sesetengah ubat boleh membuat anda lebih sensitif kepada cahaya matahari. Sekiranya ini berlaku, elakkan diri dari terkena sinaran matahari.
Sentiasa berpakaian atau mengguna losyen yang boleh melindungi bahagian kulit anda.
Rumusan
Adalah penting bagi anda yang mengambil ubat kesihatan mental untuk mengetahui kesan sampingan yang boleh terjadi.
Sekiranya anda ada mengalami kesan sampingan yang dinyatakan semasa menggunakan ubat kesihatan mental atau ubat psikiatri, sila maklumkan Pegawai Perubatan yang merawat anda.