Melecur akibat air panas atau terkena benda panas adalah kecederaan biasa yang boleh dicegah dan dirawat. Kecederaan akibat melecur biasanya mudah berlaku kepada kanak-kanak tetapi boleh juga berlaku kepada orang dewasa.
Beberapa sebab yang biasanya menyebabkan melecur dan melepuh adalah:
- Akibat terkena air panas atau minyak panas.
- Akibat terkena objek panas seperti seterika, ekzos motor atau besi panas.
- Akibat kebakaran bahan kimia yang menghakis.
- Akibat kebakaran elektrik seperti bermain dengan plug elektrik, sambungan wayar dan soket yang terdedah.
- Akibat terdedah terlalu lama kepada pancaran cahaya matahari.
Luka melecur boleh dibahagiakan kepada 3 tahap iaitu:
- Melecur pada permukaan kulit: Ia hanya melibatkan permukaan kulit sahaja. Kulit menjadi merah dan sakit tetapi tiada gelembung yang terbentuk.
- Melecur pada kulit dalam: Ia melibatkan lapisan luar kulit. Ia menyebabkan kulit menjadi merah, panas atau sakit. Kulit juga menjadi melepuh yang mengandungi cecair di dalamnya.
- Melecur pada keseluruhan kulit: Ia melibatkan semua lapisan kulit termasuk tisu dalaman kulit. Kulit kelihatan pucat, keras dan menggelupas.
Rawatan Melecur dan Melepuh Di Rumah
Rawatan untuk melecur akibat air panas atau benda-benda panas bergantung kepada keterukan kecederaan tersebut. Bagi melecur yang ringan (kurang daripada saiz tapak tangan), ia boleh dirawat di rumah.
Untuk membantu kawasan yang melecur untuk sembuh, anda boleh melakukan langkah-langkah berikut:
- Siram kawasan yang melecur di bawah aliran air paip selama lebih kurang 15 minit.
- Bersihkan kawasan yang melecur dengan sabun dan air.
- Sapukan krim, losyen atau minyak yang sesuai untuk luka melecur atau gunakan gel aloe vera.
- Jangan sesekali menggunakan minyak gris, mentega, minyak rambut atau ubat gigi yang mana ia boleh menyebabkan jangkitan.
- Balut dengan longgar kawasan yang melecur dengan pembalut sterile gauze (sterile gauze bandage)
- Makan ubat paracetamol (Panadol atau Uphamol) untuk mengurangkan kesakitan.
- Jangan pecahkan lepuh atau gelembung yang terbentuk. Sekiranya ia pecah sendiri, biarkan sahaja.
- Pastikan tempat melecur sentiasa kering.
Sekiranya tempat melecur tersebut mengalami jangkitan, sila dapatkan rawatan di hospital.
Rawatan Melecur dan Melepuh Di Hospital
Rawatan di hospital diperlukan sekiranya:
- Keseluruhan kulit terbakar.
- Kulit yang melecur melebihi saiz tapak tangan mangsa.
- Ia melibatkan bahagian mulut, tekak, mata, telinga, muka atau kawasan kelamin.
- Melecur disebabkan bahan-bahan kimia.
- Melecur akibat renjatan elektrik.
- Terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai alahan.
Doktor atau ahli profesional kesihatan mungkin merawat kecederaan tersebut dengan cara:
- Mengeluarkan cecair dengan selamat dari lepuh melecur yang bengkak dan menyakitkan dengan cara steril, jika perlu.
- Mempreskripsi ubat untuk merawat sebarang keradangan atau jangkitan yang berlaku.
- Menyediakan cecair IV (intravena) untuk mengekalkan tekanan darah, mencegah kejutan dan dehidrasi.
- Dalam kes yang teruk, prosedur cantuman kulit dengan membuang kulit yang terbakar dan memindahkan kulit yang sihat ke kawasan yang terjejas mungkin dilakukan.
- Suntikan tetanus mungkin diberikan sekiranya anda belum pernah mendapatkan suntikan tersebut atau suntikan terakhir yang diterima adalah lebih daripada 5 tahun terutamanya kepada kanak-kanak.
Anda disarankan untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya lepuh melecur menunjukkan tanda-tanda jangkitan seperti:
- Keluar lelehan berwarna putih atau kuning atau nanah yang datang dari lepuh.
- Panas, sakit atau bengkak di sekitar lepuh.
- Garis-garis merah di sekeliling lepuh.
Apa yang Tidak Boleh Dilakukan
Jika anda mendapati kulit anda melepuh selepas melecur, ikut garis panduan ini:
- Jangan pecahkan lepuh kerana ia boleh menyebabkan jangkitan.
- Jangan letakkan ais atau air sejuk (berais) secara terus pada tempat yang melecur kerana ia akan merendahkan suhu badan serta menyebabkan kesakitan yang lebih teruk dan merosakkan tisu kulit.
- Jangan mengaru lepuh walaupun ia menjadi gatal kerana ia boleh menyebabkan lepuh itu pecah dan mendedahkan kepada jangkitan.
- Jangan membalut dengan ketat kerana ia akan menyebabkan tekanan tambahan kepada lepuh.
- Jangan sentuh lepuh dengan tangan kotor, pastikan kawasan melecur dan lepuh bersih. Balut dengan pembalut bagi mencegah jangkitan.
Rujukan
- MedlinePlus. Minor burns – aftercare
- Md. Zain, N. (2019).Melecur & Melepuh. MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.