Situasi di mana serangga masuk telinga mungkin jarang-jarang berlaku berbanding air masuk telinga. Namun, ia tidak mustahil untuk berlaku dan boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Jika keadaan ini berlaku kepada anda atau anak anda, ini tindakan yang harus dilakukan.
Serangga seperti semut, lalat, nyamuk atau pepijat boleh merayap atau terbang memasuki telinga anda dan melekat di situ. Selalunya, serangga ini akan mati selepas memasuki telinga. Tetapi, adakalanya serangga tersebut mungkin hidup dan cuba untuk mencari jalan keluar.
Dalam kebanyakan keadaan, serangga dalam telinga tidak akan menyebabkan sebarang masalah yang ketara, tetapi ia kadang-kadang boleh membawa kepada komplikasi. Tanpa mengira bahaya, kebanyakan orang ingin mengeluarkan serangga dari telinga mereka secepat mungkin.
Tanda-tanda atau Gejala
Lazimnya, seseorang itu tidak perasan atau menyedari akan serangga yang memasuki telinga mereka. Ia diketahui selepas mereka mengalami tanda-tanda atau gejala.
Tanda-tanda dan gejala ini boleh berlaku sejurus serangga tersebut memasuki telinga. Hal ini disebabkan oleh tisu-tisu dan saraf dalam telinga adalah sangat sensitif. Maka, anda boleh berasa terganggu apabila ada sesuatu di dalam telinga anda.
Antara tanda-tanda dan gejala yang mungkin dialami di telinga anda adalah:
- Sakit
- Kemerahan
- Gatal-gatal
- Bengkak
- Terasa seperti ada sesuatu bergerak di dalam telinga
Cara Membuang Serangga yang Masuk Telinga
Selalunya, serangga yang memasuki telinga ini boleh dibuang sendiri di rumah tanpa sebarang komplikasi. Apa yang perlu dilakukan adalah bersikap tenang dan tidak melakukan banyak gerakan.
Untuk membuang serangga daripada telinga, langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah:
- Condong atau miringkan kepala anda dengan telinga yang dimasuki serangga menghadap ke bawah. Goyangkan kepada anda dengan lembut. Jangan memukul kepala anda untuk membuang serangga tersebut.
- Sekiranya serangga tersebut boleh dilihat dan dipegang dengan mudah menggunakan penyepit kecil (tweezer), buang serangga tersebut dengan lembut.
- Sekiranya tidak berjaya, cuba titiskan sedikit minyak seperti minyak zaitun atau minyak bayi ke dalam telinga yang mengandungi serangga tersebut. Minyak ini boleh melemaskan serangga tersebut. Kemudian, cuba miring dan goncangkan kepala sekali lagi. (Jangan masukkan minyak ke dalam telinga sekiranya anda atau anak anda mempunyai sejarah gegendang telinga berlubang, pernah menjalani pembedahan telinga atau masalah berkaitan telinga yang kronik).
- Sekiranya langkah-langkah sebelum ini masih tidak berjaya, titiskan sedikit air suam ke dalam lubang telinga anda. Kemudian, miringkan kepala dan goyang dengan lembut.
- Sekiranya masih gagal, sila dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.
Terdapat juga petua atau amalan masyarakat setempat yang mungkin berkesan untuk mengeluarkan serangga seperti semut. Apa yang perlu dilakukan adalah:
- Menutup telinga yang tidak dimasuki semut, hidung dan mulut.
- Membiarkan telinga yang dimasuki semut terbuka.
- Kemudian, tahan nafas beberapa saat.
- Lakukan beberapa kali sehingga semut tersebut keluar sendiri daripada telinga.
Jangan Melakukan Perkara Ini
Elakkan menggunakan swap kapas (cotton swab), putik kapas (cotton bud) atau sebarang objek yang boleh menolak serangga tersebut semakin jauh ke dalam menghampiri gegendang telinga.
Ia berpotensi menyebabkan kecederaan atau hilang pendengaran.
Komplikasi
Dalam kebanyakan kes, serangga yang memasuki telinga adalah tidak berbahaya. Namun, sekiranya serangga yang memasuki telinga tidak dibuang, ia boleh menyebabkan jangkitan yang menimbulkan gejala-gejala seperti kesakitan dan lelehan.
Ada juga situasi yang mana serangga yang memasuki telinga menyebabkan gegendang telinga pecah. Keadaan ini boleh berlaku sekiranya serangga atau pepijat tersebut menggigit atau mencakar gegendang telinga. Walau bagaimanapun, ia sangatlah jarang berlaku.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya anda tidak berjaya membuang serangga yang memasuki telinga melalui rawatan di rumah atau petua, sila dapatkan rawatan kecemasan di hospital atau klinik berdekatan.
Terdapat juga situasi di mana anda hanya berjaya membuang sebahagian sahaja serangga yang memasuki telinga anda. Maka, ahli profesional kesihatan boleh membantu anda membuang keseluruhan bahagian serangga yang memasuki telinga anda.
Adalah penting juga untuk anda berjumpa ahli profesional kesihatan sekiranya mengalami gejala-gejala seperti sakit telinga, lelahan darah daripada telinga, bau busuk keluar daripada telinga dan demam.
Rujukan
- Madarno, C. (2022). There’s a Bug in My Ear! What Should I Do? verywellhealth.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Foreign object in the ear: First aid. MayoClinic