Penyakit tangan, kaki dan mulut atau hand, foot, mouth disease (HFMD) merupakan sejenis jangkitan virus yang lazimnya menjangkiti bayi dan kanak-kanak yang berumur bawah lima tahun.
Penyakit ini kebiasaannya disebabkan oleh jangkitan dua jenis kuman enterovirus iaitu Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71). Kedua-dua jenis virus ini amat mudah berjangkit daripada seorang pesakit kepada pesakit yang lain.
Kanak-kanak lain berisiko untuk dijangkiti jika terdedah kepada lelehan hingus, titisan udara daripada batuk dan bersin, air liur, najis ataupun cecair yang keluar daripada lepuhan (blister) kanak-kanak yang telah dijangkiti HFMD.

Risiko jangkitan meningkat apabila kanak-kanak yang mengalami HFMD tidak diasingkan dan tetap hadir ke sekolah, tadika atau taman asuhan kanak-kanak. Tempat-tempat sebegini dapat menjadikan virus penyebab HFMD menjadi lebih mudah merebak.
Tanda-tanda dan Gejala Penyakit HFMD
Tanda-tanda dan gejala penyakit HFMD lazimnya akan mula dialami seawal tiga hingga lima hari selepas jangkitan.
Kanak-kanak yang telah dijangkiti pada mulanya akan mengalami gejala seperti:
- Kurang selera makan
- Sakit tekak
- Sakit kepala
- Demam
Kemudiannya, ulser akan mula muncul di bahagian dalam mulut, tangan dan juga di kawasan kaki yang menyebabkan kanak-kanak berasa sakit atau tidak selesa.
Sekiranya tidak dirawat dengan baik, HFMD berisiko menyebabkan komplikasi seperti dehidrasi akibat gejala sakit tekak serta kesukaran untuk menelan yang berpanjangan.
Walaupun HFMD secara keseluruhannya tidak akan menyebabkan gejala yang serius, namun dalam sesetengah kes, jangkitan virus ini berkemungkinan merebak ke bahagian organ dalaman lain.
Sebagai contoh, virus merebak ke bahagian otak dan seterusnya boleh mengakibatkan keadaan yang lebih teruk seperti meningitis dan ensefalitis.
Rawatan dan Pencegahan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut
Ibu bapa hendaklah segera membawa anak mereka berjumpa doktor sebaik sahaja mengesyaki tanda-tanda penyakit HFMD untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Sungguhpun hingga kini tidak ada rawatan yang khusus untuk penyakit HFMD, namun doktor akan memberikan ubat-ubatan tertentu untuk mengawal gejala HFMD, sekiranya perlu.
Antara ubat yang biasanya diberikan kepada kanak-kanak yang mengalami HFMD termasuklah ubat tahan sakit dan demam, contohnya sirap paracetamol.
Ubat-ubatan ini berfungsi untuk menurunkan suhu badan serta melegakan sakit kepala dan kesakitan disebabkan oleh lepuhan pada kulit.
Selain itu, pesakit juga boleh diberikan ubat lozeng atau semburan untuk melegakan sakit tekak.
Pengambilan ubat-ubatan untuk meredakan demam atau rasa kurang selesa hendaklah mengikut dos dan kekerapan yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi.
Sekiranya diberikan ubat jenis cecair, ibu bapa hendaklah menyukat dos ubat menggunakan sama ada picagari, sudu penyukat atau cawan bersenggat agar dos ubat tersebut lebih tepat.
Elakkan penggunaan sudu makan kerana bentuk dan saiz yang pelbagai menyebabkan dos yang diberikan menjadi tidak tepat.
Nasihat untuk Orang Awam
Ibu bapa dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang mengiklankan produk pensanitasi tangan yang didakwa bersifat antikuman dan khusus untuk penyakit HFMD.
Produk-produk tersebut kebanyakannya bukan sahaja tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) malah tidak mempunyai keputusan ujian klinikal yang kukuh untuk membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam kalangan pesakit HFMD.
HFMD merupakan jangkitan virus yang tidak begitu serius dan pesakit selalunya akan sihat dengan sendiri dalam tempoh seminggu selepas dijangkiti.
Namun demikian, kesedaran orang awam amat penting bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dapat diamalkan untuk mengurangkan penularan penyakit ini.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Hand, foot and mouth. MayoClinic
- CDC. (2024). Hand, Foot, and Mouth Disease (HFMD).