Keracunan arsenik ialah sejenis keracunan logam berat. Arsenik ialah elemen metaloid yang boleh dijumpai dalam persekitaran semula jadi. Keracunan berlaku apabila seseorang itu menelan terlalu banyak arsenik.
Keracunan arsenik ialah masalah kesihatan global yang menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia melalui pendedahan terhadap persekitaran dan pekerjaan. Keracunan arsenik juga turut berlaku dalam kes-kes jenayah dan bunuh diri.
Secara zahirnya, arsenik berwarna kelabu, perak dan putih. Bahan kimia semi-logam ini sangatlah beracun kepada manusia. Lebih parah lagi, ia tidak mempunyai rasa atau bau. Keadaan ini menjadikan sesiapa sahaja boleh terdedah kepadanya tanpa menyedarinya.
Jenis-jenis Arsenik
Terdapat dua jenis arsenik iaitu:
- Organik: Arsenik jenis ini boleh dijumpai dalam tumbuhan dan haiwan. Contohnya seperti di dalam kerang-kerangan.
- Tak organik: Arsenik tak organik lebih berbahaya daripada arsenik organik. Ia selalunya merupakan sisa industri tertentu tetapi juga boleh didapati di dalam air.
Gejala-gejala Keracunan Arsenik
Keracunan arsenik boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu akut atau kronik. Sekiranya anda terdedah kepada arsenik pada jumlah yang tinggi, anda mungkin akan mengalami gejala-gejala dalam masa 30 hingga 60 minit.
Gejala-gejala keracunan arsenik akut adalah:
- Rasa logam atau bawang putih di dalam mulut
- Sakit kepala
- Muntah atau muntah darah
- Sakit perut
- Cirit-birit yang teruk
Sekiranya tidak dirawat, sistem saraf pusat dan kardiovaskular akan mula berhenti dan kematian akan berlaku dalam masa beberapa jam.
Situasi yang kedua pula adalah anda boleh terdedah kepada arsenik dalam jumlah yang kecil pada jangka masa yang lama.
Gejala-gejala keracunan arsenik kronik pula adalah:
- Sering mengalami cirit-birit
- Loya
- Denyutan jantung tidak normal
- Perubahan kulit seperti menebal atau penyahwarnaan
- Lumpuh separa
- Kekebasan di tangan dan kaki
- Buta
- Sawan
- Mengantuk
Selain itu, anda juga berisiko untuk mengalami kesan jangka panjang seperti:
- Diabetes
- Penyakit jantung
- Penyakit paru-paru
- Kanser pundi kencing dan kanser kulit
- Masalah ingatan
- Komplikasi kehamilan
Gejala-gejala pendedahan kronik boleh mengambil masa selama 8 minggu untuk muncul.
Punca atau Penyebab
Air bawah tanah yang tercemar adalah punca utama yang menyebabkan keracunan arsenik. Arsenik wujud secara semula jadi dalam tanah dan boleh meresap ke dalam air bawah tanah.
Selain itu, air bawah tanah juga boleh mengandungi sisa industri yang dibuang ke sungai atau ke dalam tanah. Meminum air yang tercemar dengan arsenik ini boleh menyebabkan keracunan dalam jangka masa panjang (keracunan kronik).
Selain itu, terdapat beberapa punca lain yang boleh menyebabkan keracunan ini. Antaranya adalah:
- Makanan: Arsenik dalam makanan biasanya dalam bentuk organik, yang kurang berbahaya berbanding bentuk tak organik. Makanan yang tinggi dengan paras arsenik adalah beras, makanan laut, cendawan, poultri dan bijirin beras.
- Industri: Sesetengah industri masih menggunakan arsenik terutama dalam industri kayu-kayan dan peleburan. Industri tembakau dan bahan api juga boleh membebaskan arsenik ke udara.
- Persekitaran: Terdedah kepada tempat pembuangan sisa juga boleh meningkatkan risiko keracunan arsenik.
Rawatan Keracunan Arsenik
Umumnya, tiada rawatan khusus untuk keracunan arsenik. Tetapi terdapat terapi pengkelatan yang boleh membantu dalam sesetengah kes.
Terapi ini melibatkan suntikan atau memakan agen pengkelatan. Apabila berada dalam saluran darah, agen pengkelatan ini akan bergabung dengan toksik arsenik dan membantu menyingkirkannya daripada badan.
Agen pengkelatan tidak selalunya disarankan kerana mempunyai kesan sampingan dan tidak membantu bagi keracunan yang kronik.
Rawatan-rawatan lain mungkin diberikan untuk mengurangkan atau melegakan gejala-gejala yang berlaku.
Rujukan
- Kuivenhoven M, Mason K. Arsenic Toxicity. [Updated 2022 Jun 21]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Coelho, S. 2021. What Is Arsenic Poisoning? verywellhealth.