Tonsil bengkak atau tonsilitis boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk menelan dan berasa sakit ketika menelan. Keadaan ini menyebabkan sukar untuk makan dan minum. Apabila keadaan ini berlaku, sukar untuk memilih makanan yang sesuai untuk tonsil bengkak.
Walau bagaimanapun, badan masih memerlukan nutrien untuk membantunya sembuh. Makan dan minum makanan yang betul boleh mengurangkan kesakitan tonsil atau tekak, malah boleh mempercepatkan proses pemulihan.
Manakala, mengelakkan makanan yang tidak sesuai boleh mengelakkan ketidakselesaan dan mengurangkan risiko keradangan bertambah teruk.
Teruskan membaca untuk mengetahui makanan dan minuman terbaik untuk dimakan dan diminum apabila anda mengalami tonsil bengkak dan makanan dan minuman yang anda perlu elakkan.
Apakah Makanan dan Minuman yang Perlu Anda Makan?
Makanan dan minuman yang terbaik untuk dimakan dan diminum bagi tonsil bengkak adalah berkhasiat atau lembut dan menenangkan, atau kedua-duanya.
Antara makanan dan minuman tersebut adalah:
- Hidangan beku: Aiskrim pop yang berasaskan buah-buahan atau ais boleh membantu melegakan keradangan pada tekak anda.
- Pisang: Pisang adalah buah yang lembut dan menyihatkan.
- Jus delima: Jus delima boleh membantu mencegah jangkitan dan mengurangkan keradangan. Selain itu, ia juga turut berkhasiat. [1]
- Sup ayam: Terdapat yang melaporkan sayur-sayuran dan ayam dalam sup ayam mungkin mempunyai sifat antiradang yang boleh mengurangkan gejala-gejala tonsil bengkak seperti bengkak atau sakit tekak. [2]
- Teh kunyit: Kunyit sememangnya terkenal dengan ciri-ciri antiradangnya. Anda boleh menghasilkan teh kunyit dengan merebus air yang dicampur dengan serbuk kunyit asli, madu dan sedikit lada hitam.
- Teh halia: Halia juga merupakan herba yang mempunyai ciri-ciri antiradang yang boleh membantu mengurangkan gejala-gejala tonsil bengkak.
- Madu: Madu adalah manisan semula jadi yang boleh membantu melawan jangkitan dan menyembuhkan luka.
- Yogurt dan smoothies: Yogurt dan smoothies adalah makanan lembut dan lembap yang boleh diminum dan dimakan bagi membantu menyediakan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh untuk penyembuhan serta melegakan tonsil bengkak.
- Telur masak hancur (scrambled eggs): Telur adalah sumber protein yang baik yang diperlukan oleh badan. Telur masak hancur biasanya cukup lembut untuk ditoleransi oleh tonsil bengkak.
- Kentang lecek: Kentang lecek adalah sumber tenaga yang boleh dimakan bagi anda yang mengalami tonsil bengkak.
- Bubur nasi: Bubur nasi yang dicampurkan dengan sayur-sayuran lembut dan cebisan daging ayam adalah makanan lengkap yang sesuai dimakan oleh anda.
Apakah Makanan dan Minuman yang Perlu Anda Elakkan?
Terdapat juga beberapa jenis makanan dan minuman yang perlu dielakkan sekiranya anda mengalami tonsil bengkak.
Antaranya adalah:
- Makanan keras dan rangup: Makanan yang mempunyai banyak bucu atau hujung tajam seperti biskut, kerepek, kacang, roti kering atau sayur-sayuran segar (mentah) boleh menyebabkan tekak anda semakin tidak selesa dan sukar untuk ditelan.
- Buah-buahan masam: Buah-buahan masam termasuk jusnya perlu dielakkan kerana tinggi dengan asid yang boleh menyebabkan sakit tekak anda semakin teruk.
- Makanan dijeruk: Makanan yang dijeruk juga boleh menyebabkan keradangan yang berlaku pada tonsil anda bertambah teruk.
- Rempah yang pedas: Rempah yang pedas seperti serbuk cili, paprika atau serbuk buah pala boleh menyebabkan keradangan yang dialami bertambah teruk.
- Alkohol: Minuman dan ubat kumur yang mengandungi alkohol boleh menyebabkan rasa pedih pada tekak. Alkohol juga menyebabkan dehidrasi, yang tidak membantu seseorang yang mengalami tonsil bengkak.
Petua Merawat Tonsil Bengkak
Selain penjagaan makanan, beberapa petua atau rawatan di rumah berikut boleh membantu anda sembuh daripada penyakit ini dengan segera:
- Dapatkan rehat yang cukup: Badan anda memerlukan rehat yang mencukupi untuk sembuh daripada tonsil yang dijangkiti.
- Minum air yang banyak: Minum air kosong yang banyak bagi menggelakkan dehidrasi yang boleh memburukkan lagi keradangan yang dialami.
- Berkumur dengan air garam: Berkumur dengan air garam adalah antara petua yang berkesan dalam melegakan keradangan.
- Ubat pelega kesakitan: Ubat pelega kesakitan belian kaunter seperti paracetamol, ibuprofen atau naproxen boleh membantu mengurangkan gejala-gejala yang dialami.
- Lembapkan udara: Udara yang kering boleh menyebabkan gejala-gejala tonsil bengkak anda bertambah teruk. Gunakan alat pelembap udara untuk melembapkan udara di bilik anda.
Rumusan
Tonsil bengkak atau tonsilitis adalah keradangan pada tonsil yang selalunya menyebabkan gejala-gejala seperti tonsil bengkak, sakit tekak dan kesukaran menelan.
Lazimnya, tonsil bengkak disebabkan oleh jangkitan virus dan bakteria. Gejala-gejala biasanya akan pulih selepas beberapa hari.
Makanan dan minuman yang lembut dan sejuk boleh membantu melegakan dan mengurangkan keradangan yang dialami. Amalan petua-petua atau rawatan di rumah juga boleh membantu mempercepatkan penyembuhan.
Sekiranya gejala-gejala berterusan dan anda mengalami demam, sila dapatkan rawatan di hospital dan klinik berdekatan.
Rujukan
- Danesi, F., & Ferguson, L. R. (2017). Could Pomegranate Juice Help in the Control of Inflammatory Diseases?. Nutrients.
- Rennard, B. O. et al. (2000). Chicken soup inhibits neutrophil chemotaxis in vitro. Chest.