Tonsil bengkak adalah salah satu bentuk radang tonsil yang berlaku akibat jangkitan. Jangkitan atau radang yang berlaku pada tonsil ini turut dikenali sebagai Tonsilitis. Terdapat beberapa cara merawat tonsil bengkak yang boleh dilakukan di rumah atau hospital.
Tonsil adalah gumpalan tisu limfoid yang terletak di bahagian tekak. Setiap manusia mempunyai dua biji tonsil iaitu di sebelah kanan dan kiri dinding tekak.
Tonsil adalah sebahagian daripada sistem limfa. Sistem limfa berperanan melindungi diri anda daripada jangkitan dan penyakit. Tugas tonsil ialah menapis dan memerangkap virus dan bakteria daripada memasuki mulut anda.
Namun, sekiranya tonsil ini dijangkiti oleh virus atau bakteria. Tonsil ini akan membengkak.
Punca atau Penyebab Tonsil Bengkak
Tonsil bengkak boleh disebabkan oleh virus atau bakteria.
i) Akibat Virus
- Adenovirus : Virus ini menyebabkan demam selesema, sakit tekak dan bronkitis.
- Herpes simplex virus type 1 (HSV-1): Virus ini boleh menyebabkan rekahan dan lepuh pada tonsil.
- Measles virus (rubeola): Virus ini menjangkiti sistem pernafasan melalui air liur dan mukus. Virus ini sangat mudah berjangkit.
- Epstein-Barr virus (EBV): Virus ini menyebabkan mononukleosis (jangkitan yang melibatkan nodus limfa di leher, ketiak dan groin).
- Cytomegalovirus (CMV,HHV-5): Virus ini adalah virus herpes yang kebiasaannya tidak aktif di dalam badan. Namun, virus ini boleh aktif bagi mereka yang rendah sistem imun dan wanita mengandung.
ii) Akibat Bakteria
Bakteria yang selalu mengakibatkan tonsil bengkak adalah bakteria jenis Streptococcus pyogenes (streptococcus kumpulan A).
Bakteria ini juga yang menyebabkan sakit tekak.
Simptom-simptom Tonsil Bengkak
Beberapa simptom atau gejala yang boleh turut terjadi bersama-sama dengan tonsil yang bengkak adalah seperti berikut: [1]
- Sakit tekak atau kerongkong
- Sakit atau sukar untuk menelan
- Suara menjadi serak
- Demam
- Seram sejuk dan mengigil
- Sakit kepala
- Tonsil menjadi merah dan bengkak
- Tonsil mengandungi tompok-tompok putih kekuningan
- Nafas berbau
- Rasa nyeri pada rahang dan leher
- Sakit perut (terutamanya bagi kanak-kanak)
- Sakit telinga
- Hilang selera makan
Jenis-jenis Tonsilitis atau Radang Tonsil
Terdapat tiga jenis tonsilitis iaitu jenis akut, kronik dan berulang.
i) Tonsilitis Akut
Tonsilitis akut kebiasaan berlaku kurang daripada 10 hari.
Sekiranya, gejala atau simptom tonsilitis ini lebih lama dan datang secara berulang dalam setahun, maka ia lebih kepada kategori tonsilitis kronik dan berulang.
Tonsilitis akut adalah biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Tonsilitis jenis ini biasanya boleh sembuh dengan rawatan dirumah tetapi ada juga yang memerlukan rawatan seperti antibiotik.
ii) Tonsilitis Kronik & Berulang
Tonsilitis kronik berlaku lebih lama berbanding jenis akut.
Gejala dan simptom tonsilitis akan berlaku lebih lama berbanding jenis akut.
Tonsilitis berulang pula berlaku lebih daripada 7 kali setahun.
Kajian oleh pengkaji dari Malaysia dan United Kingdom mendapati tonsilitis jenis kronik dan berulang ini mungkin disebabkan oleh biofilem pada tonsil.
Biofilem ialah komuniti mikroorganisma yang tahan kepada antibiotik yang boleh menyebabkan jangkitan yang berulang-ulang. [2]
Rawatan biasa untuk kedua-dua jenis tonsil ini adalah pembedahan membuang tonsil (tonsilektomi).
Kajian terkini juga menunjukkan pembedahan tonsilotomi (pembuangan tonsil separa) adalah lebih baik berbanding tonsilektomi (pembuangan tonsil sepenuhnya). [3]
Adakah Tonsil Bengkak ini Kanser?
Tonsil bengkak dan tonsilitis adalah biasa berlaku bagi kanak-kanak dan agak jarang bersifat sebagai kanser.
Manakala, bagi orang dewasa, sesetengah gejala mungkin mempunyai perkaitan dengan kanser tonsil.
Antara gejala yang mungkin mempunyai kaitan dengan kanser tonsil adalah seperti berikut:
a) Tonsil Bengkak Tapi Tidak Sakit
Kanser tonsil mungkin berasosiasi dengan gejala tonsil bengkak tetapi tidak mengalami sebarang kesakitan.
Mungkin juga pesakit mengalami kesukaran untuk menelan atau bernafas tanpa ada rasa sakit atau tidak selesa di kerongkong.
Ataupun tidak mengalami sebarang kesakitan atau kesukaran menelan tetapi terdapat tonsil yang bengkak pada jangka masa yang lama seperti mana yang dilaporkan dalam satu jurnal. [4]
Simptom atau gejala ini mungkin juga disebabkan oleh penyakit lain. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda mendapati ada ketidaknormalan pada tonsil anda.
b) Tonsil Bengkak Tanpa Demam
Gejala ini mungkin disebabkan oleh alahan, penyakit gusi dan pereputan gigi.
Namun begitu, tonsil yang bengkak pada satu jangka masa yang lama mungkin petunjuk kepada gejala kanser kerongkong atau kanser tonsil.
c) Tonsil Bengkak Sebelah
Tonsil yang bengkak sebelah mungkin menjadi petunjuk kepada kanser tonsil. Ia juga boleh disebabkan oleh perkara lain seperti luka pada peti suara.
Sekiranya anda mengalami tonsil bengkak hanya pada satu bahagian (sama ada kiri atau kanan) yang tidak hilang dengan sendirinya atau dengan antibiotik.
Sila dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.
Rawatan Tonsil Bengkak
Bagi kes-kes Tonsilitis yang ringan, rawatan dirumah kadang-kadang sudah mencukupi untuk memulihkannya.
Namun, bagi kes-kes yang lebih serius, rawatan seperti berikut boleh di dapati dari klinik atau hospital terdekat.
1. Antibiotik
Sekiranya bengkak tonsil ini disebabkan oleh bakteria, doktor akan menetapkan antibiotik untuk melawan jangkitan yang berlaku.
Kebiasaannya, antibiotik akan mempercepatkan penyembuhan. Walau bagaimanapun, antibiotik boleh meningkatkan risiko rintangan terhadap antibiotik terutamanya jika ubat antibiotik ini tidak dimakan sehingga habis seperti mana yang ditetapkan.
2. Pembedahan tonsilektomi
Pembedahan tonsilektomi adalah pembedahan membuang kedua-dua tonsil.
Kaedah ini kebiasaanya digunakan untuk merawat masalah tonsilitis yang berulang, tonsilitis kronik atau tonsilitis akibat bakteria yang tidak bertindak balas terhadap ubat antibiotik.
Tonsilektomi ini juga mungkin dijalankan bagi kes-kes yang melibatkan komplikasi yang agak teruk seperti:
- Kesukaran bernafas
- Tidur terganggu
- Kesukaran menelan
- Bengkak yang bernanah yang tidak pulih dengan ubat antibiotik
Cara Merawat Tonsil Bengkak di Rumah
Bagi kes tonsil bengkak yang ringan, terdapat beberapa cara merawat tonsil bengkak yang boleh dilakukan di rumah bagi mengurangkan simptom tonsilitis. Antara amalan yang boleh dilakukan adalah:
1. Minum air suam
Banyakkan minum air suam seperti teh, teh herba dan sup boleh mengurangkan sakit tekak.
2. Makan makanan sejuk
Makan makanan sejuk seperti yogurt atau aiskrim boleh membantu melegakan kesakitan pada kerongkong buat sementara waktu.
3. Elakkan makanan yang keras
Elakkan makan makanan yang keras dan tajam kerana boleh menambah kesakitan dan ketidakselesaan.
Makanan yang keras ini juga boleh mencalar dan melukakan kerongkong seterusnya meningkatkan lagi keradangan.
4. Berkumur dengan air garam
Berkumur dengan air garam juga boleh melegakan kesakitan buat sementara waktu.
Campurkan 1 sudu teh garam ke dalam 240ml air suam dan kacau sehingga garam itu larut.
Berkumur dengan air garam ini selama beberapa saat dan buangkan (ludahkan). Hindari daripada menelan air garam ini.
5. Lembapkan udara
Udara yang kering boleh meningkatkan ketidakselesaan pada kerongkong. Oleh itu, penggunaan alat pelembap (humidifier) boleh membantu dalam situasi ini.
6. Hisap gula-gula lozeng
Terdapat lozeng yang mengandungi ubat yang boleh melegakan sakit tekak dan mengurangkan keradangan. Lozeng ini hanya boleh didapati di kedai farmasi.
7. Dapatkan rehat yang cukup
Mereka yang menghidapi tonsilitis harus mendapatkan rehat secukupnya. Berehat membolehkan badan untuk melawan jangkitan bakteria atau virus.
Langkah Pencegahan
Bakteria atau virus yang menyebabkan tonsil bengkak adalah mudah berjangkit. Bagi mengelakkan penyebaran kuman ini, beberapa langkah pencegahan boleh diambil.
Antaranya ialah:
- Hindari dari bersentuh atau rapat dengan orang yang sakit.
- Jauhi tangan daripada mulut, hidung dan mata.
- Sentiasa bersihkan tangan dengan sabun atau pembersih tangan (hand sanitizer) untuk memastikan bebas kuman.
- Hindari daripada berkongsi barangan peribadi seperti gincu atau berus gigi.
- Sekiranya anda menghidap tonsilitis, buang berus gigi yang digunakan setelah jangkitan pulih.
- Amalkan diet dan cara hidup sihat untuk meningkatkan sistem imun.
- Jangan merokok, vape atau menjadi perokok pasif.
Bila Perlu Berjumpa Doktor
Dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya tonsil anda membengkak lebih daripada sehari atau dua hari.
Sekiranya tonsil anda membengkak sehingga menyukarkan tidur dan bernafas, yang turut disertai demam, dapatkan rawatan segera.
Tonsil yang besar sebelah mungkin berkaitan dengan kanser. Oleh itu, dapatkan rawatan dan nasihat doktor mengenainya.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Tonsilitis. MayoClinic
- Abu Bakar, M. et al. (2018). Chronic tonsillitis and biofilms: a brief overview of treatment modalities. Journal of inflammation research.
- Foki, E. et al. (2017). The effect of tonsillotomy on chronic recurrent tonsillitis in children. Acta oto-laryngologica.
- Gooi, Z., & Agrawal, N. (2019). Tonsil Cancer. The New England journal of medicine.