Bagi anda yang berisiko mengalami gout, makanan yang tinggi purine (purina) harus berada dalam kamus anda.
Makanan-makanan ini perlu diambil pada kadar sederhana atau sedikit bagi mengelakkan peningkatan paras asid urik dalam badan.
Apa itu Purina dan Hubungannya dengan Asid Urik?
Purina ialah bahan semula jadi yang terdapat dalam badan anda dan juga dalam banyak jenis makanan yang anda makan.
Ia penting untuk kesihatan kerana membantu membina DNA dan menghasilkan tenaga dalam sel-sel badan.
Badan anda menghasilkan sebahagian purina secara semula jadi dan selebihnya datang daripada makanan seperti daging merah, makanan laut, hati, serta sayur-sayuran tertentu seperti bayam, cendawan dan asparagus.
Apabila badan anda memecahkan purina, ia akan menghasilkan satu bahan buangan yang dipanggil asid urik. Asid urik tidak diperlukan oleh badan, jadi biasanya ia disingkirkan melalui air kencing.
Ini tidak menjadi masalah jika semuanya seimbang. Tetapi jika badan menghasilkan terlalu banyak asid urik atau tidak dapat menyingkirkannya dengan cukup cepat, paras asid urik dalam darah boleh menjadi terlalu tinggi. Keadaan ini dipanggil hiperurisemia.
Terlalu banyak asid urik boleh menyebabkan masalah kesihatan. Antara yang paling biasa ialah gout, sejenis artritis yang menyakitkan apabila kristal asid urik berkumpul di sendi selalunya di ibu jari kaki.
Ia juga boleh menyebabkan batu karang, iaitu ketulan keras yang terbentuk dalam buah pinggang. Dalam kes yang lebih serius, asid urik yang tinggi boleh merosakkan buah pinggang dari masa ke masa.
Sesetengah orang lebih cenderung untuk mempunyai paras asid urik yang tinggi disebabkan oleh faktor genetik, masalah kesihatan atau gaya hidup.
Sebagai contoh, makan terlalu banyak makanan tinggi purine, minum alkohol berlebihan (terutama bir), berat badan berlebihan atau mempunyai penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi boleh meningkatkan risiko.
Ubat-ubatan tertentu juga boleh mempengaruhi cara badan mengendalikan asid urik.
Berita baiknya, anda boleh mengawal tahap asid urik dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Pemakanan seimbang dengan kurang makanan tinggi purine, minum air secukupnya, mengekalkan berat badan ideal dan mengurangkan atau berhenti pengambilan alkohol.
Dalam sesetengah kes, doktor mungkin memberikan ubat untuk menurunkan asid urik atau membantu badan menyingkirkannya dengan lebih berkesan.
Makanan Tinggi Purine yang Anda Perlu Elakkan
Berikut adalah makanan yang tinggi dengan purine yang perlu anda elakkan atau ambil secara sederhana sekiranya anda berisiko untuk mengalami penyakit gout atau didiagnosis tinggi dengan asid urik:
1. Organ Dalaman
Organ dalaman seperti hati, jantung, otak atau buah pinggang haiwan ternakan seperti lembu, kerbau, babi dan ayam adalah tinggi dengan kandungan purine.
Jumlah purine bagi setiap 100 gram:
- Hati lembu: 219.8 mg
- Jantung lembu: 185 mg
- Buah pinggang lembu: 174.2 mg
- Hati ayam: 312.2 mg
- Hempedal ayam: 142.9 mg
- Buah pinggang babi: 195 mg
- Hati babi: 284.8 mg
2. Alkohol
Alkohol terutamanya likueur telur (egg liqueur) dan bir (malts) mengandungi purine yang paling tinggi iaitu:
- Likueur telur: 29 mg/100 gram
- Bir (malts): 10 mg/100 gram.
3. Ikan
Sesetengah ikan laut juga turut tinggi dengan kandungan purine. Antaranya adalah:
- Ikan bonito: 211.4 mg/100 gram
- Ikan tenggiri: 165.3 mg/100 gram
- Monkfish: 399.2 mg/100 gram
- Ikan trout pelangi: 216.8 mg/100 gram
4. Makanan Laut
- Udang kril: 225.7 mg/100 gram
- Tiram: 184.5 mg/100 gram
- Udang sakura: 749.1mg/100 gram
- Sotong putih: 160.5 mg/100 gram
- Ikan bilis kering: 1108.6 mg/100 gram
- Ikan bonito kering: 493.3 mg/100gram
5. Sayur-sayuran
- Parsli (parsley): 288.9 mg/100 gram
- Bayam muda: 171.8 mg/100 gram
6. Perisa dan Suplemen
- Serbuk brot umami: 843.3 mg/100 gram
- Beer yeast: 2995.7 mg/100 gram
- Chlorella/Green algae: 3182.7 mg/100 gram
- DNA/RNA: 21493.6mg/100 gram
- Madu ratu lebah (royal jelly): 403.4 mg/100 gram
- Spirulina: 1076.8 mg/100 gram
Menurut satu kajian di Jepun, pesakit yang menghidap gout dan hiperurisemia perlu mengehadkan pengambilan makanan yang sangat tinggi (>300 mg/100 gram) dan tinggi (>200-300mg/100 gram) dengan kandungan purine.
Penutup
Penghidap gout dan hiperurisemia (keadaan asid urik yang berlebihan di dalam darah) perlu mengehadkan pengambilan makanan tertentu yang tinggi kandungan purine.
Had atau elakkan makanan yang disenaraikan dalam artikel ini.
Rujukan
- Kaneko, K. et al. (2014). Total purine and purine base content of common foodstuffs for facilitating nutritional therapy for gout and hyperuricemia. Biological & pharmaceutical bulletin.