Parsli atau nama saintifiknya Petroselinum crispum adalah tumbuhan herba yang berasal daripada kawasan Mediterranean. Daun parsli banyak digunakan dalam masakan tanpa kita sedari akan khasiatnya. Oleh itu, artikel kali ini akan berkongsi khasiat daun parsli yang mungkin anda tidak tahu.
Daun parsli adalah herba yang popular digunakan dalam masakan masyarakat di negara barat seperti Amerika, Eropah dan juga masyarakat di Timur Tengah.
Selain menjadi penambah rasa dan aroma dalam masakan, daun parsli juga padat dengan khasiatnya.
Berikut adalah 10 khasiat daun parsli yang boleh anda manfaatkan.
1. Mengandungi Nutrien Penting
Bagi sesudu besar daun parsli yang kering seberat 1.6 gram, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):
- Tenaga: 4.67 kcal
- Protein: 0.43 gram
- Karbohidrat: 0.81 gram
- Serat: 0.43 gram
- Kalsium: 18.2 miligram
- Zat besi: 0.35 miligram
- Magnesium: 6.4 miligram
- Fosforus: 7.0 miligram
- Kalium: 42.9 miligram
- Mangan: 0.16 miligram
- Vitamin C: 2 miligram
- Folat: 2.9 mikrogram
- Kolina: 1.6 miligram
- Vitamin A: 1.6 mikrogram
- Vitamin E: 0.14 miligram
- Vitamin K: 21.8 mikrogram
Selain itu, daun parsli turut mengandungi vitamin B1, B2, B3, B6 serta mineral zink, tembaga dan selenium.
Manakala bagi daun parsli segar seberat 4 gram mengandungi (USDA):
- Tenaga: 1.44 kcal
- Protein: 0.12 gram
- Karbohidrat: 0.25 gram
- Serat: 0.13 gram
- Kalsium: 5.5 miligram
- Zat besi: 0.25 miligram
- Magnesium: 2.0 miligram
- Fosforus: 2.3 miligram
- Kalium: 22.2 miligram
- Vitamin C: 5.3 miligram
- Folat: 6.1 mikrogram
- Kolina: 0.51 miligram
- Vitamin A: 16.8 mikrogram
- Vitamin E: 0.03 miligram
- Vitamin K: 65.6 mikrogram
2. Kaya dengan Antioksidan
Bukan setakat kandungan vitamin dan mineral, daun parsli turut mengandungi antioksidan yang baik untuk badan.
Antioksidan adalah penting untuk mengimbangi atau meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas yang berlebihan akan menyebabkan berlakunya tekanan pengoksidaan dan tekanan pengoksidaan ini boleh menyebabkan kerosakan sel-sel.
Kesannya, berlakulah pelbagai penyakit seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit mata, Alzheimer dan Parkinson.
Terdapat beberapa antioksidan utama dalam daun parsli iaitu:
- Vitamin C
- Vitamin E
- Lutein dan zeaxantin
- Beta-karotena
Vitamin C dan E adalah antioksidan yang baik untuk sistem pertahanan badan (sistem imun). Selain itu, dua vitamin ini turut baik untuk kesihatan kulit. [1, 2]
Beta-karotena, lutein dan zeaxantin pula adalah antioksidan yang baik untuk kesihatan mata. [3]
3. Boleh Menurunkan Paras Gula Darah
Paras gula darah yang tinggi boleh membawa kepada masalah kencing manis atau diabetes.
Pemakanan yang tidak sihat dan kurang bersenam juga boleh menyebabkan peningkatan paras gula darah. [4, 5]
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak parsli boleh menurunkan paras gula darah bagi tikus yang menghidap diabetes. [6]
Kesan yang sama turut dapat dilihat dalam satu kajian lain yang juga melibatkan tikus yang menghidap kencing manis. [7]
Walau bagaimanapun, khasiat daun parsli terhadap paras gula darah ini masih memerlukan kajian terhadap manusia.
4. Bersifat Antibakteria
Daun parsli juga bersifat antibakteria.
Ini berdasarkan kajian makmal yang dijalankan terhadap mikroflora semulajadi, yis, kulat, koliform dan bakteria jenis Staphylococcus aureus. [8]
Minyak pati parsli juga turut menunjukkan sifat antibakterianya terhadap beberapa bakteria dan kulat. Minyak pati parsli dilihat berkesan terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus, Listeria monocytogenes dan Salmonella enterica.
Selain itu, minyak pati parsli juga turut menunjukkan kesan antikulat terhadap kulat jenis Penicillium ochrochloron dan Trichoderma viride. [9]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, pneumonia, keracunan makanan dan jangkitan dalam usus.
5. Baik untuk Kesihatan Tulang
Daun parsli juga berkhasiat untuk melindungi tulang kita.
Sesudu besar daun parsli kering boleh membekalkan kira-kira 34% keperluan harian vitamin K bagi lelaki dewasa dan 40% keperluan harian vitamin K bagi wanita dewasa.
Ini kerana daun ini mempunyai vitamin K yang berperanan penting untuk mengekalkan ketumpatan tulang dan mencegah pereputan tulang. [10]
Kajian juga menunjukkan pengambilan vitamin K yang tinggi boleh mengurangkan risiko keretakan tulang. [11]
6. Baik untuk Kesihatan Buah Pinggang
Buah pinggang adalah organ perkumuhan manusia yang penting untuk menapis darah dan menyingkirkan lebihan air serta bahan kotoran melalui air kencing.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa daun parsli boleh mendatangkan manfaat kepada kesihatan buah pinggang dengan mengurangkan risiko berlakunya batu karang.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan ini mendapati parsli boleh mengurangkan pengkumuhan kalsium dalam air kencing, mengurangkan perkumuhan protein dalam air kencing, meningkatkan nilai pH air kencing dan mempunyai aktiviti perlindungan terhadap buah pinggang. [12]
Terdapat juga kajian terhadap haiwan yang menunjukkan ekstrak parsli boleh mengurangkan kegagalan buah pinggang akibat daripada pengguguran. [13]
7. Baik untuk Kesihatan Jantung
Khasiat daun parsli yang seterusnya ialah baik untuk kesihatan jantung.
Kandungan folat dalam daun parsli boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.
Dalam kajian yang berskala besar terhadap 58,730 orang lelaki dan wanita mendapati diet yang tinggi dengan folat dan vitamin B6 boleh mengurangkan risiko kematian akibat daripada penyakit jantung koronari, strok dan kegagalan jantung. [14]
Folat juga merupakan nutrien penting yang boleh mengurangkan paras asid amino homosisteina. Peningkatan homosisteina dalam darah berisiko bagi penyakit jantung.
Homosisteina ini boleh mendatangkan kesan buruk terhadap struktur dan fungsi salur darah.
8. Boleh Meningkatkan Sistem Imun
Daun parsli juga mengandungi vitamin C dan E yang baik untuk sistem imun.
Dua vitamin ini berperanan sebagai antioksidan dalam sistem pertahanan badan dengan melindungi badan daripada pemperoksidaan lipid (lemak). [1]
Selain itu juga, parsli juga mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai apigenin. Apigenin ini boleh membantu mengawal selia fungsi imun dengan mengurangkan keradangan dan mencegah kerosakan sel. [15]
9. Boleh Mengurangkan Kembung Perut
Khasiat daun parsli yang seterusnya ialah ia boleh bertindak sebagai diuretik iaitu bahan yang menggalakkan pengumuhan air kencing.
Bertindak sebagai diuretik semulajadi, parsli boleh mengurangkan pengumpulan air yang berlebihan dalam badan dan melegakan kembung perut. [16]
10. Baik untuk Kesihatan Hati
Khasiat daun parsli turut bermanfaat untuk kesihatan hati.
Ekstrak parsli didapati boleh mencegah kerosakan hati, meningkatkan fungsi hati dan mengurangkan kesan toksik. Kesan yang baik ini dipercayai disebabkan kandungan antioksidan serta vitamin dalam tumbuhan herba ini. [17]
Cara Penggunaan Daun Parsli
Daun parsli adalah herba yang mudah untuk digunakan dalam pelbagai menu atau resepi.
Antara beberapa cara untuk memanfaatkan daun herba ini dalam diet harian anda adalah:
- Gunakan sebagai salah satu bahan perapan ayam atau daging untuk digril.
- Digunakan bersama-sama bahan lain sebagai “topping” piza.
- Digunakan dalam sup.
- Ditambah dalam salad.
- Boleh digunakan dalam roti yang dibuat sendiri.
- Dicampurkan dalam telur dadar.
Cara Penyimpanan Daun Parsli
Daun parsli boleh didapati dalam bentuk kering atau segar di pasaran.
Daun parsli kering lebih disimpan dengan lebih lama. Jika disimpan dalam bekas kedap udara dan diletakkan di kawasan tertutup, herba ini boleh bertahan diantara 6 bulan hingga 1 tahun.
Manakala untuk daun parsli segar, ia boleh direndam di bahagian batangnya selepas dibuang penghujung batang (jangan dibilas dengan air).
Sekiranya disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh disimpan di dalam plastik yang longgar.
Rumusan
Daun parsli sememangnya mempunyai khasiat yang sangat memberangsangkan.
Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan potensi daun parsli dalam penjagaan kesihatan sama ada untuk kesihatan jantung, buah pinggang, tulang dan banyak lagi.
Kandungan vitamin dan antioksidan dalam tumbuhan ini banyak menyumbang kepada khasiatnya untuk kesihatan.
Parsli juga mudah untuk digunakan dalam pelbagai masakan.
Rujukan
- Institute of Medicine (US) Committee on Military Nutrition Research. Military Strategies for Sustainment of Nutrition and Immune Function in the Field. Washington (DC): National Academies Press (US); 1999. 13, Vitamin E, Vitamin C, and Immune Response: Recent Advances.
- Pullar, J. M., et al. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin Health. Nutrients.
- Rasmussen, H. M., & Johnson, E. J. (2013). Nutrients for the aging eye. Clinical interventions in aging.
- Kim, Y., et al. (2016). Differential Effects of Red Meat/Refined Grain Diet and Dairy/Chicken/Nuts/Whole Grain Diet on Glucose, Insulin and Triglyceride in a Randomized Crossover Study. Nutrients.
- Kerrison, G.,et al. (2017). The Effectiveness of Lifestyle Adaptation for the Prevention of Prediabetes in Adults: A Systematic Review. Journal of diabetes research.
- Yanardağ, R., et al. (2003). Effects of Petroselinum crispum extract on pancreatic B cells and blood glucose of streptozotocin-induced diabetic rats. Biological & pharmaceutical bulletin.
- Abou Khalil, N. S., et al. (2016). Antidiabetic and Antioxidant Impacts of Desert Date (Balanites aegyptiaca) and Parsley (Petroselinum sativum) Aqueous Extracts: Lessons from Experimental Rats. Journal of diabetes research.
- Wahba, N. M.,et al. (2010). Antimicrobial effects of pepper, parsley, and dill and their roles in the microbiological quality enhancement of traditional Egyptian Kareish cheese. Foodborne pathogens and disease.
- Linde, G. A., et al. (2016). Antifungal and antibacterial activities of Petroselinum crispum essential oil. Genetics and molecular research.
- Akbari, S., & Rasouli-Ghahroudi, A. A. (2018). Vitamin K and Bone Metabolism: A Review of the Latest Evidence in Preclinical Studies. BioMed research international.
- Hao, G., et al. (2017). Vitamin K intake and the risk of fractures: A meta-analysis. Medicine.
- Al-Yousofy, F., et al. (2017). Parsley! Mechanism as antiurolithiasis remedy. American journal of clinical and experimental urology.
- Rezazad, M., & Farokhi, F. (2014). Protective effect of Petroselinum crispum extract in abortion using prostadin-induced renal dysfunction in female rats. Avicenna journal of phytomedicine.
- Cui, R., et al. (2010). Dietary folate and vitamin b6 and B12 intake in relation to mortality from cardiovascular diseases: Japan collaborative cohort study. Stroke.
- Cardenas, H., et al. (2016). Dietary Apigenin Exerts Immune-Regulatory Activity in Vivo by Reducing NF-κB Activity, Halting Leukocyte Infiltration and Restoring Normal Metabolic Function. International journal of molecular sciences.
- Kreydiyyeh, S. I., & Usta, J. (2002). Diuretic effect and mechanism of action of parsley. Journal of ethnopharmacology.
- Soliman, H. A., et al. (2016). Hepatoprotective effects of parsley, basil, and chicory aqueous extracts against dexamethasone-induced in experimental rats. Journal of intercultural ethnopharmacology.