Jerawat adalah masalah kulit yang paling lazim berlaku di dunia. Jerawat juga lazim berlaku kepada golongan remaja semasa akil baligh. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan pembentukan jerawat dan salah satu daripadanya adalah makanan. Sesetengah makanan yang boleh menyebabkan jerawat.
Artikel ini mengulas dengan lebih lanjut mengenai makanan-makanan yang boleh menyebabkan jerawat dengan beberapa sokongan kajian.
Jerawat sudah semestinya tidak menyenangkan dan boleh menganggu penampilan seseorang. Hampir 10% daripada populasi dunia mengalami jerawat, ini menjadikan jerawat sebagai penyakit ke-8 paling lazim berlaku di dunia. [1]
Selain faktor keradangan, bakteria, liang pori yang tersumbat, makanan juga boleh menyebabkan jerawat. Kajian-kajian terkini menunjukkan pemakanan boleh memberikan impak yang ketara terhadap pembentukan jerawat.
Berikut adalah beberapa makanan yang perlu diberikan perhatian bagi mereka yang mempunyai jerawat atau mudah untuk ditumbuhi jerawat.
1. Gula dan Karbohidrat Bertapis
Gula dan karbohidrat bertapis adalah makanan yang harus dikurangkan dan dielakkan terutamanya bagi anda yang mudah untuk ditumbuhi jerawat.
Karbohidrat bertapis adalah makanan yang telah diproses dan disingkirkan sebahagian besar serat dan nutriennya. Antara contoh makanan yang tinggi dengan karbohirat bertapis adalah:
- Roti putih
- Biskut
- Nasi putih
- Air berkarbonat
- Gula putih
- Tepung putih
- Pasta yang dihasilkan daripada tepung putih
Menurut satu kajian, mereka yang sering mengambil gula tambahan 30% lebih berisiko untuk ditumbuhi jerawat, manakala mereka yang selalu makan kek atau pastri 20% lebih berisiko untuk ditumbuhi jerawat. [2]
Karbohidrat bertapis boleh menyebabkan peningkatan paras gula darah yang mendadak. Apabila paras gula darah meningkat, paras insulin juga turut meningkat untuk membantu membawa gula darah ke dalam sel-sel badan.
Namun, paras insulin yang tinggi ini tidak baik untuk mereka yang ditumbuhi jerawat.
Insulin menyebabkan hormon androgen lebih aktif dan meningkatkan hormon yang dikenali sebagai insulin-like growth factor (IGF-1). Ini menyumbang kepada pembentukan jerawat dengan menyebabkan sel-sel kulit tumbuh dengan cepat dan meningkatkan penghasilan sebum. [3, 4]
2. Makanan Segera
Makanan segera seperti burger, nuget, sosej, kentang goreng atau air berkarbonat juga perlu dielakkan atau dikurangkan bagi anda yang mempunyai jerawat.
Satu kajian yang melibatkan kira-kira 5600 orang remaja dan belia mendapati mereka yang mengamalkan diet yang tinggi lemak 43% lebih berisiko ditumbuhi jerawat. Manakala, makanan segera juga meningkatkan risiko sebanyak 17%. [5]
Terdapat juga kajian yang melibatkan lelaki warganegara Turki mendapati memakan burger atau sosej dengan kerap dikaitkan dengan peningkatan risiko ditumbuhi jerawat. [2]
3. Produk Tenusu
Produk susu juga turut dikaitkan dengan keterukan jerawat.
Kajian mendapati remaja yang selalu minum produk tenusu penuh lemak lebih daripada 2 gelas sehari mengalami jerawat yang sederhana hingga teruk. [6]
Susu juga boleh meningkatkan paras insulin, keadaan ini boleh memburukkan lagi jerawat. Selain itu, susu lembu juga turut mengandungi asid amino yang merangsang hati untuk menghasilkan hormon IGF-1 iaitu hormon yang dikaitkan dengan pembentukan jerawat. [7, 8]
4. Makanan Tinggi dengan Asid Lemak Omega-6
Asid lemak Omega-6 yang banyak dalam minyak kacang soya atau minyak jagung juga boleh menyebabkan jerawat.
Ketidakseimbangan antara asid lemak Omega-6 dan asid lemak Omega-3 menyebabkan badan berada dalam keadaan keradangan. Keradangan ini boleh memburukkan lagi keterukan jerawat. [9]
5. Coklat
Terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan 25 gram coklat pahit (dark chocolate) setiap hari boleh meningkatkan bilangan luka jerawat dalam kalangan lelaki berjerawat. [10]
Tambahan daripada itu juga, terdapat kajian lain yang turut mendapati lelaki berjerawat yang mengambil kapsul yang mengandungi serbuk koko setiap hari mempunyai luka jerawat lebih banyak daripada mereka yang tidak mengambil kapsul koko ini. [11]
6. Serbuk Protein Wei (Whey Protein)
Serbuk protein wei yang banyak dijual sebagai makanan tambahan (suplemen) juga boleh menyebabkan jerawat dan harus dielakkan oleh mereka yang berjerawat.
Protein wei tinggi dengan kandungan asid amino leusina dan glutamina. Asid amino ini menyebabkan sel-sel kulit tumbuh dan membahagi dengan cepat. Keadaan ini boleh menyumbangkan kepada pembentukan jerawat. [12]
Terdapat kajian-kajian kes yang melaporkan bahawa pengambilan protein wei dalam kalangan atlet lelaki boleh menyebabkan jerawat. [13]
Rumusan
Kajian-kajian menunjukkan bahawa terdapat makanan yang tertentu yang boleh menyebabkan jerawat. Walau bagaimanapun, anda mungkin tidak perlu mengelakkan makanan-makanan ini sepenuh.
Sebaliknya, anda mungkin boleh memilih untuk makan makanan tersebut pada kadar yang lebih sedikit dan seimbang dengan nutrien-nutrien daripada makanan sihat yang lain.
Penyelidikan mengenai diet dan jerawat juga tidak cukup kuat untuk membuat cadangan diet khusus buat masa ini. Justeru itu, memahami tindak balas badan anda terhadap makanan-makanan tertentu boleh membantu anda bebas daripada jerawat.
Rujukan
- Tan, J. K., & Bhate, K. (2015). A global perspective on the epidemiology of acne. The British journal of dermatology.
- Aksu, A. E. et al. (2012). Acne: prevalence and relationship with dietary habits in Eskisehir, Turkey . Journal of the European Academy of Dermatology and Venereology.
- Cordain L. (2005). Implications for the role of diet in acne. Seminars in cutaneous medicine and surgery.
- Smith, R. et al. (2008). A pilot study to determine the short-term effects of a low glycemic load diet on hormonal markers of acne: a nonrandomized, parallel, controlled feeding trial. Molecular nutrition & food research.
- Wei, B. et al. (2010). The epidemiology of adolescent acne in North East China. Journal of the European Academy of Dermatology and Venereology.
- Ulvestad, M. et al. (2017). Acne and dairy products in adolescence: results from a Norwegian longitudinal study. Journal of the European Academy of Dermatology and Venereology.
- Hoppe, C. et al. (2005). High intakes of milk, but not meat, increase s-insulin and insulin resistance in 8-year-old boys. European journal of clinical nutrition.
- Ozdarska, K. et al. (2017). [Diet in pathogenesis of acne vulgaris]. Polski merkuriusz lekarski.
- Tanghetti E. A. (2013). The role of inflammation in the pathology of acne. The Journal of clinical and aesthetic dermatology.
- Vongraviopap, S., & Asawanonda, P. (2016). Dark chocolate exacerbates acne. International journal of dermatology.
- Caperton, C. et al. (2014). Double-blind, Placebo-controlled Study Assessing the Effect of Chocolate Consumption in Subjects with a History of Acne Vulgaris. The Journal of clinical and aesthetic dermatology.
- Jewell, J. L. et al. (2015). Metabolism. Differential regulation of mTORC1 by leucine and glutamine. Science.
- Silverberg N. B. (2012). Whey protein precipitating moderate to severe acne flares in 5 teenaged athletes. Cutis.