Pegaga atau nama saintifiknya, Centella asiatica ialah sejenis tumbuhan herba yang tumbuh menjalar dan daunnya dibuat ulam atau ubat. Khasiat pegaga telah dimanfaatkan oleh masyarakat di China, India, Sri Lanka, Afrika, Filipina dan Madagascar sejak beribu tahun dahulu.
Tumbuhan herba ini juga boleh di dapati di Malaysia. Dalam perubatan tradisional Asia, pegaga digunakan untuk merawat luka kecil, luka melecur dan sebagai ejen mengurangkan keradangan.
Selain itu, pegaga turut digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, meningkatkan daya ingatan, merawat kemurungan serta awet muda.
Berikut ialah 11 khasiat pegaga untuk kesihatan kita berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan:
1. Boleh Membantu Mempercepatkan Penyembuhan Luka
Ekstrak pegaga telah lama digunakan untuk menyembuhkan luka oleh perubatan tradisional.
Kajian-kajian yang dijalankan terhadap pokok herba ini menyokong bahawa pegaga boleh menyembuhkan luka.
Beberapa kajian mendapati pegaga boleh mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan pembentukan kolagen, menebalkan kulit di bahagian luka dan menghalang berlakunya radang. [1,2, 3, 4]
2. Boleh Mengurangkan Tekanan atau Kebimbangan
Pegaga mempunyai sebatian yang dikenali sebagai triterpena.
Kajian yang dijalankan oleh saintis di Second Military Medical University, Shanghai mendapati sebatian triterpena ini mempunyai ciri-ciri antikemurungan. [5]
Kajian lain yang dijalankan pada tahun 2005 oleh Shanghai Jiao Tong University, Shanghai turut menunjukkan sebatian triterpena mempunyai ciri-ciri antikemurungan yang terlibat dalam memperbaiki fungsi tindak balas tekanan dan mengurangkan kemurungan. [6]
3. Meningkatkan Fungsi Kognitif
Khasiat pegaga juga turut merangkumi kesihatan otak dan sistem saraf.
Satu kajian pada 2016 membandingkan ekstrak pegaga dengan asid folik dalam meningkatkan fungsi kognitif selepas serangan strok. Hasil kajian ini mendapati ekstrak pegaga mempunyai kebaikan yang sama dengan asid folik dalam menambah baik fungsi kognitif. Namun, pegaga lebih berkesan dalam menambahbaik daya ingatan. [7]
Kajian lain turut mendapati air ekstrak pegaga menunjukkan peningkatan dari segi daya ingatan dan pembelajaran dalam kalangan tikus tua. [8]
Kajian klinikal yang dijalankan di Thailand terhadap 28 warga tua yang sihat mendapati pengambilan ekstrak pegaga dengan dos 750mg sehari selama 2 bulan dapat meningkatkan fungsi kognitif. [9]
4. Dapat Melindungi Saraf
Pegaga turut mempunyai keupayaan untuk melindungi saraf dari penyakit Alzheimer, Parkinson dan juga mengurangkan tekanan pengoksidaan.
Dalam kajian in vitro menunjukkan ekstrak pegaga dapat mencegah enzim yang bertanggungjawab dalam perkembangan penyakit Alzheimer. [10]
Kajian in vivo juga mendapati ekstrak pegaga boleh melindungi kerosakan sel yang berlaku bagi penghidap penyakit Parkinson dengan mengurangkan tekanan pengoksidaan. [11]
5. Mencegah Luka Gaster (salur pencernaan)
Kajian makmal mendapati ekstrak air pegaga berkesan untuk mencegah luka gaster yang disebabkan penggunaan etanol. [12]
Ekstrak air pegaga juga turut didapati dapat mengecilkan luka (ulser) pada kajian yang dijalankan terhadap tikus makmal. [13]
6. Bersifat Antibakteria
Khasiat pegaga turut merangkumi sifat antibakterianya. Ekstrak daun pegaga digunakan oleh orang tempatan untuk menghilangkan sakit perut dalam kalangan kanak-kanak.
Kajian oleh pengkaji dari Bangladesh mendapati ekstrak pegaga adalah ajen antibakteria yang efektif terhadap bakteria, fungus dan virus yang menyerang manusia. [14]
Kajian yang dijalankan oleh Institute for Medical Research, Kuala Lumpur juga mendapati ekstrak pegaga menunjukkan sifat antibakteria terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus dan Methicillin Resistant Straphylococcus aureus (MRSA). [15]
7. Boleh Melegakan Kesakitan Sendi
Ciri-ciri antiradang yang terdapat dalam pegaga mungkin berguna untuk merawat sakit sendi.
Satu kajian yang dijalankan terhadap tikus makmal mendapati pengambilan pegaga secara makan dapat mengurangkan kebengkakan pada sendi, penghakisan rawan, dan penghakisan tulang.[16]
8. Mengurangkan Selulit
Satu ujikaji terhadap 60 individu yang mempunyai masalah selulit dijalankan dengan menggunakan krim yang mengandungi ekstrak pegaga. Krim ini dipakai sebanyak 4 kali sehari selama 4 bulan.
Hasil kajian ini mendapati ekstrak pegaga dapat mencegah perkembangan selulit itu dan penambahbaikan sebanyak 85% terhadap keadaan kulit. [17]
Kajian lain yang dijalankan terhadap 65 individu dengan masalah selulit yang teruk turut mendapati pengambilan ekstrak pegaga ini dapat mengurangkan selulit pada 58% pesakit. [17]
9. Melancarkan Darah
Pegaga juga berkhasiat untuk melancarkan darah pemakannya.
Ekstrak pegaga juga turut dikatakan berada pada tisu penghubung dengan menguatkan salur darah atau urat yang lemah. Esktrak herba ini juga turut membantu dalam penyelenggaraan tisu penyambung. [18 ,19]
Dalam kajian yang dijalankan terhadap 94 orang pesakit kelemahan vena (saluran darah yang bermasalah untuk menyalurkan darah dari kaki ke jantung) mendapati penambahbaikan dalam kumpulan mengambil ekstrak pegaga berbanding mereka yang makan ubat. [20]
10. Mungkin Mempunyai Kesan ‘Detox’
Kajian baru mencari kesan pegaga terhadap ketoksikan buah pinggang dan hati.
Kajian terhadap tikus makmal yang diberikan ubat antibiotik isoniazid mendapati pegaga boleh digunakan untuk menahan ketoksikan (kesan sampingan) ubat ini. [21]
Isoniazid ialah ubat yang digunakan untuk merawat dan mencegah penyakit tibi.
11. Baik untuk Kulit
Pegaga juga mempunyai khasiat terhadap kesihatan kulit untuk kekal awet muda.
Tumbuhan ini bertindak sebagai ejen antipenuaan kulit dengan meningkatkan kolagen jenis 1.
Kesan ini dibuktikan oleh kajian klinikal yang dijalankan terhadap 20 orang peserta wanita berusia 45 hingga 60 tahun selama 6 bulan. Hasil kajian menunjukkan penggunaan krim sapuan yang mengandungi pegaga dan vitamin C meningkatkan ketegangan, keanjalan dan penghidratan kulit. [22]
Kesan Sampingan
Umumnya, pegaga adalah selamat untuk dimakan atau digunakan.
Namun, dalam sesetengah kes (walaupun jarang berlaku) ia boleh menyebabkan sakit kepala, sakit perut dan pening. Sekiranya digunakan dalam krim sapuan, pegaga boleh menyebabkan iritasi pada kulit terutamanya bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif.
Pengambilan pegaga selama 6 minggu secara berterusan adalah tidak digalakkan. Pengamalnya harus berhenti mengambil herba ini selama 2 minggu sebelum kembali menggunakannya.
Cara Membuat Teh Pegaga
- Campurkan 1-2 sudu teh (5-10g) daun pegaga kering ke dalam 2/3 cawan (150 ml) air panas.
- Biarkan selama kira-kira 10 hingga 15 minit.
- Kemudian, boleh diminum atau dihidangkan.
Disarankan untuk diamalkan sebanyak 3 cawan (750 ml) sehari.
Rumusan
Sebenarnya banyak khasiat pegaga yang menakjubkan yang mungkin kita tidak tahu atau sedar selama ini.
Pegaga mungkin kurang popular kerana rasanya yang agak pahit. Namun, kebolehan herba ini merawat luka, fungsi kognitif, saraf, sakit sendi dan lain-lain lagi patut diketengahkan supaya pegaga terus mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat.
Rujukan
- Sunilkumar. et al. (1998). Evaluation of topical formulations of aqueous extract of Centella asiatica on open wounds in rats. Indian journal of experimental biology.
- Poizot, A., & Dumez, D. (1978). [Modification of the kinetics of healing after iterative exeresis in the rat. Action of a triterpenoid and its derivatives on the duration of healing]. Comptes rendus hebdomadaires des seances de l’Academie des sciences. Serie D.
- Rosen, H. et al. (1967). Effect of asiaticoside on wound healing in the rat. Proceedings of the Society for Experimental Biology and Medicine.
- Incandela, L. et al. (2001). Total triterpenic fraction of Centella asiatica in chronic venous insufficiency and in high-perfusion microangiopathy. Angiology.
- Chen Y, et al. (2003). [Effect of total triterpenes from Centella asiatica on the depression behavior and concentration of amino acid in forced swimming mice]. Zhong Yao Cai
- Chen Y, eta l. (2005). [Effects of total triterpenes of Centella asiatica on the corticosterone levels in serum and contents of monoamine in depression rat brain]. Zhong Yao Cai.
- Farhana, K. M. et al. (2016). Effectiveness of Gotu Kola Extract 750 mg and 1000 mg Compared with Folic Acid 3 mg in Improving Vascular Cognitive Impairment after Stroke. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Gray, N. E. et al. (2016). Centella asiatica modulates antioxidant and mitochondrial pathways and improves cognitive function in mice. Journal of ethnopharmacology.
- Wattanathorn, J. et al. (2008). Positive modulation of cognition and mood in the healthy elderly volunteer following the administration of Centella asiatica. Journal of ethnopharmacology.
- Mukherjee, P. K. et al. (2007). Screening of Indian medicinal plants for acetylcholinesterase inhibitory activity. Phytotherapy research.
- Haleagrahara, N., & Ponnusamy, K. (2010). Neuroprotective effect of Centella asiatica extract (CAE) on experimentally induced parkinsonism in aged Sprague-Dawley rats. The Journal of toxicological sciences.
- Cheng, C. L., & Koo, M. W. (2000). Effects of Centella asiatica on ethanol induced gastric mucosal lesions in rats. Life sciences.
- Cheng, C. L. et al. (2004). The healing effects of Centella extract and asiaticoside on acetic acid induced gastric ulcers in rats. Life sciences.
- Dash, Biplab Kumar. et al. (2011). Antibacterial and Antifungal Activities of Several Extracts of Centella asiatica L. against Some Human Pathogenic Microbes. Life Sciences and Medicine Research.
- Zaidan, M. R. et al. (2005). In vitro screening of five local medicinal plants for antibacterial activity using disc diffusion method. Tropical biomedicine.
- Sharma, S. et al. (2014). Attenuation of collagen induced arthritis by Centella asiatica methanol fraction via modulation of cytokines and oxidative stress. Biomedical and environmental sciences.
- Bylka, W. et al. (2013). Centella asiatica in cosmetology. Postepy dermatologii i alergologii.
- Allegra C. (1984). [Comparative capillaroscopic study of certain bioflavonoids and total triterpenic fractions of Centella asiatica in venous insufficiency]. La Clinica terapeutica.
- Darnis, F. et al. (1979). [Use of a titrated extract of Centella asiatica in chronic hepatic disorders (author’s transl)]. La semaine des hopitaux.
- Pointel, J. P. et al. (1987). Titrated extract of Centella asiatica (TECA) in the treatment of venous insufficiency of the lower limbs. Angiology.
- Ghosh, K. et al. (2017). The ameliorating effect of Centella asiatica ethanolic extract on albino rats treated with isoniazid. Journal of basic and clinical physiology and pharmacology.
- Haftek, M. et al. (2008). Clinical, biometric and structural evaluation of the long-term effects of a topical treatment with ascorbic acid and madecassoside in photoaged human skin. Experimental dermatology.