Khasiat kunyit telah lama dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu dan India dalam masakan dan juga perubatan tradisional tanpa ada kajian saintifik yang khusus.
Kini, kunyit telah banyak digunakan dalam produk-produk kosmetik, kesihatan dan juga makanan tambahan.
Nama saintifik bagi kunyit ialah Curcuma longa. Kunyit ialah tumbuhan herba yang mempunyai rizom (batang) dalam tanah yang berwarna jingga dan beraroma.
Rizom ini diproses dan dijadikan serbuk atau digunakan dalam masakan. Banyak kajian menunjukkan khasiat kunyit untuk kesihatan kita.
Berikut adalah 7 khasiat kunyit untuk kesihatan berdasarkan kajian sains:
1. Bersifat Antiradang
Kunyit mengandungi sebatian yang dikenali sebagai kurkumin.
Kurkumin ini adalah bahan aktif dalam kunyit yang mempunyai kesan antiradang dan antioksidan yang kuat.
Percubaan klinikal menunjukkan kurkumin berpotensi sebagai ajen untuk merawat penyakit seperti penyakit radang usus, pankreatitis, artritis (sakit sendi) dan uveitis anterior kronik. [1]
2. Boleh Membantu Melegakan Kesakitan
Kunyit juga berkhasiat dalam membantu melegakan kesakitan. Ia boleh bertindak sebagai pelega kesakitan.
Satu kajian pada tahun 2009 mendapati kunyit boleh bertindak seperti ibuprofen kepada mereka yang mempunyai masalah sakit sendi lutut. [2]
3. Boleh Mengurangkan Risiko Kanser
Kurkumin dalam kunyit juga didapati berkhasiat dalam membantu merawat atau mencegah kanser.
Kajian mendapati kurkumin mempunyai kesan perlindungan terhadap kanser seperti kanser pankreas, kanser prostat dan kanser darah. [3]
Di samping itu, kurkumin juga didapati mempunyai sifat antikanser dan mengurangkan risiko penyakit terhadap kanser payudara. [4]
4. Baik untuk Kesihatan Kulit
Sifat antiradang, antioksidan, antibiotik atau antibakteria dalam kunyit menjadikannya pilihan yang baik untuk merawat masalah kulit.
Satu kajian mendedahkan bahawa kunyit berpotensi digunakan untuk merawat penyakit kulit kronik seperti Psoriasis. Walau bagaimanapun, penyelidik menyarankan kajian lanjut sebelum dicadangkan pengambilannya secara makan. [5]
Satu kajian semula yang melibatkan 18 kajian turut menunjukkan bukti awal yang mendedahkan kunyit mempunyai khasiat perawatan terhadap masalah atau penyakit kulit. [6]
5. Boleh Membantu Mencegah atau Merawat Diabetes
Penyakit kencing manis atau diabetes melitus ialah penyakit yang disebabkan kandungan gula yang terlalu tinggi dalam darah.
Terdapat dua jenis diabetes melitus iaitu jenis 1 dan 2. Diabetes jenis 1 disebabkan badan gagal menghasilkan insulin manakala jenis 2 pula disebabkan badan gagal untuk menggunakan insulin secara baik.
Tekanan oksidatif dan sitokin memainkan peranan dalam perkembangan penyakit diabetes. Ciri-ciri antiradang dan antioksidan dalam kunyit menjadikannya sebagai satu “ubat” yang boleh mengurangkan risiko diabetes.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan kunyit dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, mengurangkan peningkatan gula dalam darah, gula dalam air kencing dan jumlah air kencing. [7]
6. Boleh Mengurangkan Gejala-gejala Kemurungan
Kurkumin juga didapati mempunyai khasiat dalam merawat gejala-gejala kemurungan.
Khasiat kunyit ini dapat dilihat dalam satu kajian klinikal terhadap 60 orang peserta yang mengalami kemurungan.
Selepas 6 minggu, kumpulan yang mengambil kurkumin menunjukkan kesihatan yang bertambah baik sama seperti mereka yang mengambil ubat (fluoxetine) dan kumpulan yang mengambil gabungan ubat dan kurkumin menunjukkan keputusan yang terbaik. [8]
7. Boleh Meningkatkan Fungsi Otak
Selain boleh membentuk sambungan baru dalam otak, neuron juga boleh berganda dan meningkat dari segi jumlahnya.
Pemacu kepada keupayaan ini hormon tumbesaran yang dikenali sebagai brain-derived neurotrophic factor (BDNF). Banyak masalah otak seperti kemurungan dan penyakit Alzheimer dikaitkan dengan kekurangan hormon ini.
Menariknya, kurkumin dalam kunyit boleh meningkatkan kadar BDNF. [9, 10]
Keadaan ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan risiko penyakit berkaitan otak serta melambatkan kemerosotan fungsi otak akibat peningkatan usia. [11]
Rumusan
Banyak khasiat kunyit yang mungkin selama ini tidak diberi perhatian oleh kebanyakan daripada kita. Selain rizomnya, daun kunyit juga turut mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
Tanpa kita sedari, kunyit boleh mencegah dan merawat kita daripada pelbagai penyakit atau masalah kesihatan seperti mengurangkan keradangan, melegakan sakit sendi, mengurangkan risiko kanser dan lain-lain.
Maka, manfaatkan kelebihan herba ini dalam masakan anda!
Rujukan
- Jurenka J. S. (2009). Anti-inflammatory properties of curcumin, a major constituent of Curcuma longa: a review of preclinical and clinical research. Alternative medicine review.
- Kuptniratsaikul, V. et al. (2009). Efficacy and safety of Curcuma domestica extracts in patients with knee osteoarthritis. Journal of alternative and complementary medicine.
- Gupta, S. C. et al. (2012). Discovery of curcumin, a component of golden spice, and its miraculous biological activities. Clinical and experimental pharmacology & physiology.
- Wang, Y. et al. (2016). Curcumin in Treating Breast Cancer: A Review. Journal of laboratory automation.
- Nardo, V. D. et al. (2018). Use of Curcumin in Psoriasis. Open access Macedonian journal of medical sciences.
- Vaughn, A. R. et al. (2016). Effects of Turmeric (Curcuma longa) on Skin Health: A Systematic Review of the Clinical Evidence. Phytotherapy research.
- Chougala, M. B. et al. (2012). Effect of curcumin and quercetin on lysosomal enzyme activities in streptozotocin-induced diabetic rats. Clinical nutrition.
- Sanmukhani, J. et al. (2014). Efficacy and safety of curcumin in major depressive disorder: a randomized controlled trial. Phytotherapy research.
- Xu, Y. et al. (2006). Curcumin reverses the effects of chronic stress on behavior, the HPA axis, BDNF expression and phosphorylation of CREB. Brain research.
- Hurley, L. L. et al. (2013). Antidepressant-like effects of curcumin in WKY rat model of depression is associated with an increase in hippocampal BDNF. Behavioural brain research.
- Dong, S. et al. (2012). Curcumin enhances neurogenesis and cognition in aged rats: implications for transcriptional interactions related to growth and synaptic plasticity. PloS one.