Kacang panjang adalah legum yang selalunya dimakan sebagai sayur atau ulam. Sekiranya anda mengemari ulam ini, tahukah anda bahawa kacang panjang turut mempunyai pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan badan?
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat kacang panjang yang bermanfaat untuk si pemakannya.
Kacang panjang atau nama saintifiknya Vigna unguiculata subsp. sesquipedalis ialah salah satu kultivar daripada kacang duduk (cowpea). Dalam bahasa Inggeris, kacang panjang turut dikenali sebagai “yard-long bean” atau “asparagus bean“.
Kacang panjang adalah daripada keluarga legum, Fabaceae iaitu keluarga yang sama dengan kacang soya, kacang tanah, kacang pea dan alfalfa.
Kacang panjang banyak ditanam di negara-negara Asia Tenggara, China, Afrika, Amerika Latin dan Selatan Amerika Syarikat.
Biasanya di Malaysia, kacang panjang dimakan secara segar (dijadikan ulam), celur, goreng atau dimasukkan ke dalam masakan berkuah seperti masak lemak atau dalca.
Berikut adalah beberapa khasiat kacang panjang untuk kesihatan anda:
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien Penting
Bagi 100 gram kacang panjang segar, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 47 kcal
- Protein: 2.8 gram
- Karbohidrat: 8.35 gram
- Kalsium: 50 miligram
- Zat besi: 0.47 miligram
- Magnesium: 44 miligram
- Fosforus: 59 miligram
- Kalium: 240 miligram
- Zink: 0.37 miligram
- Tembaga: 0.05 miligram
- Mangan: 0.21 miligram
- Selenium: 1.5 mikrogram
- Vitamin C: 18.8 miligram
- Vitamin B1: 0.11 miligram
- Vitamin B2: 0.11 miligram
- Vitamin B3: 0.41 miligram
- Vitamin B5: 0.06 miligram
- Vitamin B6: 0.02 miligram
- Folat: 62 mikrogram
- Vitamin A: 43 mikrogram
2. Mengandungi Asid Amino Perlu
Asid amino adalah molekul yang digunakan oleh semua hidupan untuk menghasilkan protein. Protein adalah satu rantaian panjang asid amino.
Protein mempunyai pelbagai fungsi di dalam badan. Contohnya seperti membaiki dan membina tisu-tisu badan, bertindak sebagai hormon atau menyediakan struktur kepada tisu-tisu dan sel-sel.
Asid amino perlu (essential amino acid) pula adalah asid amino yang tidak boleh dihasilkan oleh badan dan perlu diperolehi melalui makanan.
Terdapat 9 asid amino perlu yang harus diperolehi melalui makanan dan kacang panjang mempunyai kesemua asid amino tersebut.
3. Baik untuk Kesihatan Tulang
Memakan kacang panjang juga mempunyai kebaikan kepada kesihatan tulang kerana kandungan mineral kalsiumnya yang tinggi.
100 gram kacang panjang boleh membekalkan kira-kira 5% keperluan harian kalsium bagi orang dewasa di Malaysia.
Selain itu, kalsium juga diperlukan oleh badan untuk menggerakkan otot dan membantu merembeskan hormon yang memberi kesan terhadap pelbagai fungsi badan.
4. Kaya dengan Vitamin C dan A
Kacang panjang juga kaya dengan vitamin C dan A. Kedua-dua vitamin ini mempunyai pelbagai khasiat dan peranan terhadap kesihatan badan.
Vitamin C dan A bertindak sebagai antioksidan yang boleh melindungi sel-sel badan yang sihat daripada tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Vitamin C dan A juga turut boleh meningkatkan sistem pertahanan badan yang seterusnya boleh melindungi anda daripada sebarang jangkitan bakteria dan virus. [2, 3]
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Sekiranya anda memakan kacang panjang, elakkan daripada membuang biji di dalamnya. Hal ini demikian kerana biji kacang panjang ini mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan melaporkan bahawa haiwan yang diberi makan biji kacang panjang ini mengalami penurunan terhadap kolesterol total dan kolesterol bukan HDL (kolesterol jahat) dalam darah. [4]
6. Boleh Membantu Mengawal Tekanan Darah
Kandungan mineral kalium dan magnesium dalam kacang panjang juga berkhasiat dalam membantu mengawal tekanan darah dan mencegah tekanan darah tinggi.
Mereka yang mengalami kekurangan mineral kalium berisiko tinggi untuk mengalami tekanan darah tinggi atau strok.
Begitu juga dengan mineral magnesium, pengambilan mineral magnesium yang mencukupi boleh mengurangkan risiko kepada strok atau penyakit jantung. [5]
Rumusan
Kacang panjang adalah sejenis legum yang mempunyai pelbagai khasiat dan enak dimakan serta dijadikan ulam. Berbanding dengan legum-legum yang lain, pod atau lengai kacang panjang biasanya dimakan bersama-sama dengan bijinya.
Kacang panjang mengandungi kesemua asid amino perlu yang penting untuk menghasilkan protein. Selain itu, kacang panjang juga baik untuk kesihatan tulang, tinggi dengan vitamin C dan A dan lain-lain.
Anda boleh memanfaatkan khasiat kacang panjang ini dengan menyertakannya dalam pemakanan harian anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Yardlong bean, raw.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Huang, Z. et al. (2018). Role of Vitamin A in the Immune System. Journal of clinical medicine.
- Frota, K. M. et al. (2008). Cholesterol-lowering properties of whole cowpea seed and its protein isolate in hamsters. Journal of food science.
- Houston M. (2011). The role of magnesium in hypertension and cardiovascular disease. Journal of clinical hypertension.