Jagung adalah antara makanan yang digemari oleh rakyat Malaysia. Jagung selalunya dimakan secara rebus, bakar atau dicampurkan dalam masakan. Selain mempunyai rasa yang enak dan sumber makanan, jagung juga mempunyai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan.
Dalam bahasa Inggeris, jagung dikenali dengan dua nama iaitu corn atau maize. Secara saintifiknya pula, jagung adalah daripada spesies Zea mays dan daripada keluarga yang sama dengan rumput. Jagung dikatakan berasal dari negara Maxico atau Amerika Tengah.
Selalunya menjadi pertanyaan adalah adakah jagung ini sayur atau buah? Jawapan untuk pertanyaan ini sebenarnya agak rumit.
Hal ini demikian kerana, secara asasnya setongkol jagung dikira sebagai sayur. Tetapi, bahagian isi atau biji-biji jagung ini dianggap sebagai bijirin.
Lebih merumitkan, kebanyakan bijirin termasukah biji-biji jagung ini dikira sebagai buah. Ini kerana ia datang daripada biji benih dan bahagian bunga pokok.
Manakala, menurut Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, jagung adalah buah. Oleh itu, jagung boleh dikenali sebagai buah, bijirin atau sayur.
Terdapat beberapa jenis jagung yang popular seperti:
- Jagung manis: Jenis jagung yang biasanya dimakan dan boleh diperolehi di pasaraya.
- Jagung ladang: Jagung jenis ini digunakan untuk menghasilkan makanan untuk haiwan ternakan. Jagung jenis ini juga turut digunakan dalam penghasilan makanan diproses atau produk industri.
- Jagung India atau Jagung Flint: Jagung jenis ini boleh diperolehi dalam beberapa jenis warna daripada warna putih hingga warna merah.
Berikut adalah khasiat jagung yang baik untuk kesihatan berdasarkan kajian.
1. Mempunyai Profil Nutrisi yang Baik
Bagi 100 gram jagung manis berwarna kuning, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori: 86 kcal
- Protein: 3.3 gram
- Lemak: 1.4 gram
- Karbohidrat: 18.7 gram
- Serat: 2 gram
- Gula: 6.3 gram
- Kalsium: 2 miligram
- Zat besi: 0.5 miligram
- Magnesium: 37 miligram
- Fosforus: 89 miligram
- Kalium: 270 miligram
- Natrium: 15 miligram
- Zink: 0.5 miligram
- Tembaga: 0.05 miligram
- Selenium: 0.6 mikrogram
- Vitamin C: 6.8 miligram
- Vitamin B1: 0.16 miligram
- Vitamin B2: 0.06 miligram
- Vitamin B3: 1.77 miligram
- Vitamin B6: 0.09 miligram
- Folat: 42 mikrogram
- Vitamin E: 0.07 miligram
- Vitamin K: 0.3 mikrogram
Selain nutrien-nutrien ini, jagung juga turut mengandungi sebatian seperti beta-karotena, lutein, zeaxantin dan juga kaolina.
Sebatian-sebatian ini turut dikenali sebagai antioksidan yang mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan tubuh badan manusia.
2. Baik untuk Kesihatan Mata
Salah satu khasiat jagung ialah untuk kesihatan mata.
Penyakit seperti katarak dan degenerasi makular adalah antara penyakit mata yang lazimnya menyebabkan kerosakan pada mata dan boleh membawa kepada buta.
Salah satu faktor yang memainkan peranan untuk menjaga kesihatan mata adalah nutrisi atau pemakanan. Pemakanan yang mengandungi antioksidan seperti lutein dan zeaxantin didapati boleh meningkatkan kesihatan mata. [2, 3, 4]
Lutein dan zeaxantin sebatian karotenoid yang dominan dalam jagung. Sebatian-sebatian ini terkandung dalam retina mata yang dikenali sebagai pigmen makular. Pigmen makular ini bertindak sebagai penapis cahaya biru.
Pigmen makular ini boleh membantu masalah berkaitan seperti silau, aberasi kromatik dan serakan cahaya. [5]
Satu kajian kohort yang melibatkan kira-kira 102 000 individu yang berusia 50 tahun ke atas melaporkan bahawa pengambilan karotenoid seperti lutein dan zeaxantin boleh mengurangkan risiko degenerasi makular berkaitan usia dalam jangka masa panjang. [6]
3. Baik untuk Sistem Penghadaman
Selain itu, jagung juga berkhasiat untuk sistem penghadaman. Bagi secawan jagung (150 g) terdapat 3 gram serat iaitu 15% daripada cadangan pengambilan nutrien harian.
Kandungan serat dalam jagung ini boleh membantu mencegah sembelit atau buasir. Satu kajian mendapati bran jagung adalah lebih baik daripada bran gandum dalam melegakan sembelit. [7]
Jika sebelum ini pemakanan jagung dikaitkan dengan penyakit divertikulum, namun kajian yang dijalankan dari tahun 1986 hingga 2004 mendapati pengambilan jagung tidak meningkatkan risiko divertikulum dan komplikasi divertikulum. [8]
Penyakit divertikulum atau divertikulitis ialah keradangan pada divertikulum yang menyebabkan kehadiran kantung kecil di dinding usus besar. Penyakit ini menyebabkan simptom-simptom seperti kembung perut, kejang dan boleh juga berlaku pendarahan dan jangkitan.
4. Khasiat-khasiat Lain yang Boleh Diperolehi Berdasarkan Nutrien dalam Jagung
- Folat: Folat atau asid folik adalah vitamin penting buat wanita yang sedang mengandung bagi mengelakkan kecacatan tiub saraf.
- Magnesium: Kekurangan mineral ini boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung.
- Fosforus: Fosforus adalah mineral yang penting untuk pertumbuhan dan penyelenggaraan tisu-tisu badan.
- Vitamin C: Vitamin C adalah antioksidan yang mempunyai banyak fungsi untuk badan termasuklah untuk kesihatan dan kecantikan kulit.
Keburukan Jagung atau Risiko Berkaitan Jagung
Secara umum jagung adalah selamat untuk dimakan. Terdapat beberapa perkara yang mungkin menjadi kebimbangan mengenai jagung ini.
1. Mengandungi antinutrien
Bijirin jagung mengandungi asid fitik. Asid fitik ini boleh merosotkan penyerapan mineral-mineral seperti zat besi dan zink daripada hidangan yang sama. [9]
Asid fitik ini biasanya tidak menjadi masalah bagi mereka yang mengamalkan diet yang seimbang. Tetapi menjadi kebimbangan buat mereka dari negara membangun yang hanya bergantung kepada makanan berasaskan bijirin ini.
2. Mikotoksin
Sesetengah bijirin adalah terdedah kepada kulat atau fungi.
Kulat ini akan menghasilkan pelbagai toksin yang dikenali sebagai mikotoksin. Mikotoksin ini boleh menyebabkan penyakit atau kematian terhadap manusia atau haiwan. [10]
3. GMO
Jagung adalah antara sumber makanan yang paling banyak melalui perubahan genetik. Jagung adalah tanaman GMO (organisma yang diubah suai genetiknya) yang telah dibangunkan untuk menambah penghasilan tanaman, iaitu hasil daripada pembaikan ciri-ciri ketahanan terhadap penyakit dan racun serangga.
Terdapat perdebatan panjang mengenai makanan GMO ini terutamanya di barat dan ia bergantung kepada penerimaan sesebuah masyarakat.
Rumusan
Umumnya, jagung adalah antara makanan yang paling banyak dimakan oleh penduduk dunia.
Jagung terutamanya jagung manis (kuning) adalah sumber yang baik untuk mendapatkan pelbagai vitamin dan mineral serta antioksidan seperti lutein dan zeaxantin. Antioksidan ini bermanfaat untuk kesihatan mata. Selain itu, kandungan serat dalam jagung juga berkhasiat untuk kesihatan sistem penghadaman.
Pemakanan jagung secara sederhana boleh dijadikan satu menu tambahan dalam diet yang seimbang.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Abdel-Aal, e. et al. (2013). Dietary sources of lutein and zeaxanthin carotenoids and their role in eye health. Nutrients.
- Moeller, S. M. et al. (2000). The potential role of dietary xanthophylls in cataract and age-related macular degeneration. Journal of the American College of Nutrition.
- Carpentier, S. et al. (2009). Associations between lutein, zeaxanthin, and age-related macular degeneration: an overview. Critical reviews in food science and nutrition.
- Loskutova, E. et al. (2013). Macular pigment and its contribution to vision. Nutrients.
- Wu, J. et al. (2015). Intakes of Lutein, Zeaxanthin, and Other Carotenoids and Age-Related Macular Degeneration During 2 Decades of Prospective Follow-up. JAMA ophthalmology.
- Graham DY. et al. (1982). The effect of bran on bowel function in constipation. The American Journal of Gastroenterology.
- Strate, L. L. et al. (2008). Nut, corn, and popcorn consumption and the incidence of diverticular disease. JAMA.
- Schlemmer, U. et al. (2009). Phytate in foods and significance for humans: food sources, intake, processing, bioavailability, protective role and analysis. Molecular nutrition & food research.
- Bennett, J. W., & Klich, M. (2003). Mycotoxins. Clinical microbiology reviews.