Sebelum ini kita berbicara mengenai khasiat kunyit. Siapa sangka selain batang (rizom), daun kunyit juga mempunyai khasiat. Khasiat daun kunyit boleh dimanfaatkan dalam masakan atau dijadikan minyak pati untuk pelbagai kegunaan.
Dalam masyarakat Melayu, daun kunyit turut menjadi salah satu bahan dalam masakan mereka. Sebagai contoh dalam masakan rendang daging dan ayam, hirisan daun kunyit dalam masakan ini menaikkan lagi aroma dan rasanya.
Ada juga menu masakan yang membalut ikan menggunakan daun kunyit. Ikan ini dibakar atau digoreng.
Daun kunyit juga popular bagi masyarakat India. Dalam masakan masyarakat Mangalore, daun kunyit digunakan untuk memasak nasi manis yang dikenali sebagai Patholi.
Berikut adalah beberapa khasiat daun kunyit yang boleh dimanfaatkan oleh kita:
1. Fakta Nutrisi
Dalam 100 gram daun kunyit ini terdapat komposisi nutrien seperti berikut: [1]
- Tenaga: 359.19 kcal
- Protein: 39.5 gram
- Karbohidrat: 44.74 gram
- Serat: 34.47 gram
- Abu: 13.81 gram
- Lipid: 2.47 gram
Pengeringan daun kunyit secara gelombang mikro dapat mengekalkan sebatian bioaktif dan antioksidan tertinggi.
2. Mempunyai Ciri-ciri Antikulat
Daun kunyit boleh dijadikan sebagai minyak pati (essential oil).
Minyak pati ini boleh digunakan untuk menghalang pertumbuhan kulat dan penghasilan toksin yang disebabkan oleh kulat. [2]
3. Boleh Menjadi Produk Pengawal Lalat
Daun kunyit juga berpotensi dijadikan produk untuk mengawal lalat.
Kajian pada tahun 2019 mendapati minyak pati dari daun kunyit menunjukkan minyak pati daun kunyit ini boleh membunuh larva lalat.
Kajian ini juga turut mencadangkan minyak pati ini boleh digunakan sebagai bio-produk untuk mengawal lalat dari jenis C. macellaria yang boleh menyebabkan miasis. [3]
4. Baik untuk Kesihatan Kulit
Minyak pati yang dihasilkan daripada daun kunyit juga turut menunjukkan ciri-ciri antiradang pada kulit.
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji di India mendapati minyak pati daun kunyit boleh mengurangkan keradangan kulit yang teruk dengan mengawal keradangan dan tekanan oksidatif. [4]
Pengkaji turut mencadangkan, minyak pati ini boleh digunakan dalam penghasilan produk penjagaan kulit.
5. Mempunyai Ciri-ciri Antioksidan
Minyak pati yang diekstrak daripada daun kunyit turut menunjukkan ciri-ciri antioksidan.
Keupayaan antioksidan dalam minyak pati ini dicirikan oleh kebolehannya menghapus radikal bebas dan kuasa penurunannya.
Maka, minyak pati daun kunyit berpotensi digunakan sebagai antioksidan yang boleh mencegah kerosakan akibat tekanan oksidatif. [5]
Seterusnya, ia dapat mengurangkan risiko kepada penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, asma, dan diabetes.
Rumusan
Sebelum ini, secara umumnya daun kunyit akan dibuang setelah batangnya (rizom) diambil.
Beberapa kajian telah menunjukkan khasiat daun kunyit yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai produk kesihatan. Selain baik untuk kulit, daun kunyit juga boleh digunakan untuk mengawal serangga perosak seperti lalat dan bersifat antikulat.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian saintifik mengenai daun kunyit masih terhad.
Rujukan
- Braga, M. C. et al. (2018). Curcuma longa L. leaves: Characterization (bioactive and antinutritional compounds) for use in human food in Brazil. Food chemistry.
- Sindhu, S. et al. (2011). Chemoprevention by essential oil of turmeric leaves (Curcuma longa L.) on the growth of Aspergillus flavus and aflatoxin production. Food and chemical toxicology.
- Chaaban, A. et al. (2019). Essential oil from Curcuma longa leaves: Can an overlooked by-product from turmeric industry be effective for myiasis control? Industrial Crops and Products.
- Kumar, A. et al. (2018). Essential oil from waste leaves of Curcuma longa L. alleviates skin inflammation. Inflammopharmacology.
- Priya, R. et al. (2019). Chemical composition and in vitro antioxidative potential of essential oil isolated from Curcuma longa L. leaves. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine