Buah pir adalah antara buah-buahan yang paling lama ditanam oleh manusia. Khasiat buah pir juga turut telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional.
Sejarah mencatatkan bahawa perubatan tradisional China telah menggunakan buah pir dalam perubatan sejak lebih 2000 tahun dahulu lagi. Buah pir digunakan dalam perubatan tradisional bagi merawat atau melegakan keradangan, paras gula darah yang tinggi, diuretik, batuk, sembelit dan mengurangkan ketagihan alkohol.
Buah pir atau nama saintifiknya Pyrus berasal dari negara Eropah dan Asia Barat, kemudiannya ia dibawa ke Amerika Utara pada abad ke-17.
Terdapat lebih seribu jenis pir di dunia tetapi hanya kira-kira 100 jenis sahaja yang ditanam untuk perdagangan. Jenis pir Eropah dan Perancis dikenali sebagai Bartlett, Bosc, dan D’Anjou. Manakala pir Asia dikenali sebagai “pir epal” kerana teksturnya seperti buah epal.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat buah pir secara umum berdasarkan sokongan kajian-kajian sains.
Berikut adalah 10 khasiat buah pir yang boleh dinikmati oleh anda terutamanya bagi peminat buah pir.
1. Kaya dengan Zat-zat Penting
Bagi sebiji buah pir Asia seberat 122 gram, terdapat zat-zat berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 51.2 kcal
- Protein: 0.6 gram
- Lemak: 0.3 gram
- Karbohidrat: 12.9 gram
- Serat: 4.4 gram
- Kalsium: 4.9 miligram
- Magnesium: 9.8 miligram
- Fosforus: 13.4 miligram
- Kalium: 148 miligram
- Selenium: 0.1 mikrogram
- Vitamin C: 4.6 miligram
- Folat: 9.8 mikrogram
- Vitamin E: 0.2 miligram
- Vitamin K: 5.5 mikrogram
Buah pir ini juga turut mengandungi sedikit mineral zink, tembaga dan mangan. Selain itu, vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6 turut terkandung dalam buah ini.
Zat-zat ini memainkan peranan yang penting kepada fungsi badan yang sihat dan kekurangan zat-zat ini boleh menyebabkan penyakit tertentu.
2. Baik untuk Penghadaman
Buah pir adalah sumber yang baik untuk mendapatkan serat larut dan serat tidak larut. Serat adalah komponen penting bagi memastikan sistem penghadaman kekal sihat dan berfungsi dengan lancar.
Sebiji buah pir seberat 122 gram boleh membekalkan kira-kira 22% serat diet harian yang diperlukan oleh badan.
Serat diet juga penting untuk membantu melegakan sembelit.
Kajian menunjukkan bahawa pesakit sembelit yang menerima 24 gram pektin iaitu sejenis serat dalam buah-buahan berjaya mengurangkan simptom-simptom sembelit. Serat ini juga turut meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus. [2]
Buah pir tinggi dengan serat diet pada bahagian kulitnya. Oleh itu, pastikan anda makan buah ini bersama-sama kulitnya.
3. Mengandungi Antioksidan
Buah pir juga kaya dengan pelbagai antioksidan. Antaranya adalah arbutin, asid klorogenik, kuersetin, rutin dan antosianin. [3]
Antosianin dilaporkan memainkan peranan yang besar terhadap aktiviti-aktiviti antioksidan dalam buah pir.
Seperti serat dietnya juga, kandungan antioksidan buah pir dilaporkan tinggi pada bahagian kulit berbanding isinya (pulpa). [4]
Antioksidan ialah sebatian penting yang boleh membantu melawan atau meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Sekiranya bilangan radikal bebas melebihi antioksidan, maka berlaku tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti kanser, diabetes, penyakit jantung dan lain-lain.
4. Bersifat Antiradang
Khasiat buah pir juga turut disumbang oleh sifatnya yang boleh melawan keradangan.
Keradangan pada asasnya adalah tindak balas semula jadi badan manusia sekiranya berlaku jangkitan atau kecederaan.
Walau bagaimanapun, sekiranya keradangan ini berlaku berpanjangan (kronik) ia boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, penyakit jantung atau obesiti. Pesakit-pesakit kronik ini selalunya mempunyai paras penanda keradangan yang tinggi dalam badan.
Kajian melaporkan kandungan sebatian triterpena dalam buah pir memainkan peranan penting terhadap kesan antiradang buah ini. [3]
Tambahan lagi, kandungan vitamin C dan vitamin K dalam buah pir turut menyumbang kepada sifat antiradang buah ini. [5, 6]
5. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Buah pir juga dilaporkan boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Khasiat buah pir ini disumbang oleh kandungan antioksidan dan sifat antiradangnya. Kandungan antioksidan seperti kuersetin boleh mengurangkan risiko penyakit jantung melalui penurunan tekanan darah dan paras kolesterol. [7]
Satu kajian terkini turut melaporkan bahawa pengambilan 2 biji buah pir bersaiz sederhana selama 12 minggu boleh mengurangkan faktor risiko kepada penyakit jantung seperti tekanan darah tinggi dan saiz pinggang. [8]
6. Boleh Mengurangkan Risiko Diabetes
Diabetes atau penyakit kencing manis adalah penyakit kronik yang menunjukkan trend peningkatan di negara ini.
Pada tahun 2019, dianggarkan 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes.
Satu kajian besar yang melibatkan kira-kira 200,000 peserta melaporkan bahawa pengambilan buah-buahan yang kaya dengan antosianin seperti buah pir merah boleh mengurangkan risiko penyakit diabetes jenis 2. [9]
Tambahan daripada itu, satu kajian metaanalisis yang dijalankan terhadap 5 kajian kohort melaporkan bahawa pengambilan buah epal dan pir boleh mengurangkan risiko penyakit diabetes jenis 2. [10]
7. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Menariknya lagi, pemakanan buah pir juga dilaporkan boleh membantu mengurangkan berat badan.
Khasiat buah pir ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan 49 orang wanita yang mempunyai berat badan berlebihan. Hasil kajian ini mendapati kumpulan yang diberikan buah pir mengalami penurunan berat badan dan pengurangan dari segi pengambilan kalori. [11]
8. Berpotensi Mencegah Kanser
Buah pir juga dilihat berpotensi mencegah kanser.
Satu kajian kohort yang dijalankan oleh pengkaji dari German Cancer Research Centre melaporkan bahawa pengambilan buah epal dan pir dikaitkan dengan pengurangan terhadap kejadian kanser paru-paru. [12]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan.
9. Baik untuk Wanita Hamil
Buah pir mempunyai khasiat khusus kepada wanita hamil kerana kandungan folatnya.
Folat atau vitamin B9 adalah nutrien penting yang diperlukan oleh wanita hamil bagi mengelakkan kecacatan tiub saraf kepada bayi seperti spina bifida.
Spina bifida adalah kecacatan yang paling lazim berlaku kepada bayi. Ia berlaku pada minggu pertama kehamilan di mana otak dan saraf tunjang terbentuk.
Kecacatan ini biasanya boleh dicegah melalui pengambilan folat yang mencukupi pada awal kehamilan dan buah pir boleh membekalkan vitamin ini.
10. Boleh Mengurangkan Risiko Strok
Pemakanan buah pir juga dilaporkan boleh mengurangkan risiko kepada strok.
Khasiat buah pir ini dapat dilihat dalam satu kajian metaanalisis terhadap 20 kajian kohort. Hasil kajian ini mendapati risiko strok berkurang sebanyak 32% bagi setiap peningkatan 200 gram pengambilan buah-buahan (termasuklah buah pir) setiap hari. [13]
Rumusan
Buah pir adalah salah satu buah-buahan yang berkhasiat dan enak. Buah ini enak dimakan segar tetapi boleh juga dicampurkan bersama-sama makanan lain untuk dijadikan salad atau smoothies.
Buah pir juga boleh membekalkan badan manusia dengan pelbagai nutrien yang berkhasiat. Malah, buah pir turut boleh melindungi badan manusia daripada keradangan, mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes, dan lain-lain lagi.
Pastikan juga anda memakan buah ini bersama-sama kulitnya kerana kulit buah ini penuh dengan khasiat dan nutriennya.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Xu, L. et al. (2014). [Clinical benefits after soluble dietary fiber supplementation: a randomized clinical trial in adults with slow-transit constipation]. Zhonghua yi xue za zhi.
- Li, X.et al. (2012). Chemical composition and anti-inflammatory and antioxidant activities of eight pear cultivars. Journal of agricultural and food chemistry.
- Barbosa, A.C.L. et al. (2013), Type 2 Diabetes Relevant Bioactive Potential of Freshly Harvested and Long-Term Stored Pears Using in vitro Assay Models. Journal of Food Biochemistry.
- Wannamethee, S. G. et al. (2006). Associations of vitamin C status, fruit and vegetable intakes, and markers of inflammation and hemostasis. The American journal of clinical nutrition.
- Harshman, S. G., & Shea, M. K. (2016). The Role of Vitamin K in Chronic Aging Diseases: Inflammation, Cardiovascular Disease, and Osteoarthritis. Current nutrition reports.
- Patel, R. V. et al. (2018). Therapeutic potential of quercetin as a cardiovascular agent. European journal of medicinal chemistry.
- Navaei, N. et al. (2019). Influence of daily fresh pear consumption on biomarkers of cardiometabolic health in middle-aged/older adults with metabolic syndrome: a randomized controlled trial. Food & function.
- Wedick, N. M. et al. (2012). Dietary flavonoid intakes and risk of type 2 diabetes in US men and women. The American journal of clinical nutrition.
- Guo, X. F. et al. (2017). Apple and pear consumption and type 2 diabetes mellitus risk: a meta-analysis of prospective cohort studies. Food & function.
- de Oliveira, M. C. et al. (2008). A low-energy-dense diet adding fruit reduces weight and energy intake in women. Appetite.
- Linseisen, J. et al. (2007). Fruit and vegetable consumption and lung cancer risk: updated information from the European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition (EPIC). International journal of cancer.
- Hu, D. et al. (2014). Fruits and vegetables consumption and risk of stroke: a meta-analysis of prospective cohort studies. Stroke.