Mata adalah antara bahagian tubuh yang paling sensitif. Bila ada sesuatu yang tidak kena, kita cepat perasan. Salah satu masalah yang sangat menyakitkan dan berbahaya ialah keratitis, iaitu keradangan pada kornea.
Kornea ialah permukaan jernih di bahagian depan mata yang penting untuk penglihatan.
Keratitis boleh berlaku secara ringan dan mudah dirawat, tetapi jika dibiarkan, ia boleh mengakibatkan masalah penglihatan yang serius.
Artikel ini akan terangkan secara ringkas apa itu keratitis, punca, gejala-gejala, rawatan, serta cara mencegahnya.
Apa itu Keratitis?
Bayangkan kornea seperti cermin depan kereta. Ia jernih, licin, dan benarkan cahaya masuk supaya anda boleh fokus dengan jelas.
Tetapi apabila cermin depan kereta itu tercalar, sudah pasti ia mengganggu fokus dan penglihatan anda.
Begitu juga dalam konteks kornea mata. Apabila ia meradang atau dijangkiti ia akan mengganggu penglihatan anda. Keradangan kornea ini dipanggil keratitis.
Kadang-kadang ia berpunca daripada jangkitan kuman (bakteria, virus, kulat, atau parasit). Ada juga kes yang tidak melibatkan kuman.
Contohnya akibat mata kering, kecederaan atau terdedah terlalu lama pada cahaya matahari.
Punca-Punca Keratitis
1. Disebabkan Jangkitan
- Bakteria: Selalunya berlaku pada pemakai kanta lekap yang tidak menjaga kebersihan atau memakainya terlalu lama.
- Virus: Selalunya berpunca daripada virus herpes simplex (penyebab kudis mulut) atau kayap (shingles).
- Kulat: Boleh berlaku jika mata tercalar dengan ranting pokok atau jika titisan mata/kanta lekap tercemar.
- Parasit: Jarang berlaku tetapi sangat serius. Acanthamoeba boleh menjangkiti mata, biasanya pada pemakai kanta lekap yang membersihkan kanta dengan air paip atau berenang sambil memakainya.
2. Tidak Disebabkan Jangkitan
- Luka atau calar pada mata
- Tidur dengan kanta lekap atau memakainya terlalu lama
- Mata kering yang teruk
- Terkena bahan kimia atau cahaya UV (contohnya mesin tanning atau pantulan salji)
- Penyakit mata lain seperti blefaritis (radang kelopak mata) atau gangguan autoimun
Gejala-gejala yang Perlu Diperhatikan
Antara gejala-gejala biasa keratitis ialah:
- Mata merah dan sakit
- Penglihatan kabur atau berkabus
- Rasa seperti ada pasir atau benda asing dalam mata
- Air mata berlebihan atau keluar cecair kuning/putih
- Kelopak mata bengkak
- Silau atau sensitif pada cahaya
Jika ternampak tompok putih atau kelabu pada kornea, itu mungkin ulser kornea iaitu tanda bahaya yang perlukan rawatan segera.
Bagaimana Doktor Mengesannya?
Doktor mata akan tanya tentang sejarah anda (contohnya pemakaian kanta lekap atau kecederaan baru-baru ini) dan periksa mata dengan mikroskop khas.
Kadang-kadang sampel kecil dari kornea diambil untuk mengenal pasti kuman.
Lebih cepat punca dikenal pasti, lebih cepat rawatan yang betul boleh diberikan.
Rawatan Untuk Keratitis
Rawatan bergantung pada puncanya:
- Bakteria: Ubat titis mata antibiotik biasanya digunakan kerap pada awal rawatan.
- Virus: Ubat antivirus dalam bentuk pil atau salap mata.
- Kulat: Ubat titis mata antikulat, rawatan boleh mengambil masa berminggu-minggu.
- Parasit: Ubat titis mata antiseptik yang kuat untuk tempoh lama; dalam kes teruk mungkin perlukan pembedahan.
Untuk kes bukan jangkitan, rawatan mungkin sekadar titisan air mata tiruan, titisan steroid (untuk kurangkan radang) atau berhenti seketika daripada memakai kanta lekap.
Dalam kes yang sangat teruk di mana kornea rosak teruk, pembedahan pemindahan kornea mungkin diperlukan.
Risiko Jika Dibiarkan
Keratitis yang tidak dirawat boleh menyebabkan:
- Parut pada kornea
- Ulser kornea (luka terbuka yang sangat sakit)
- Hilang penglihatan separa atau kekal
Kabar baiknya: jika dikesan awal, kebanyakan kes boleh dirawat dengan baik.
Cara Mencegah Keratitis
Ramai kes keratitis boleh dielakkan dengan penjagaan mata yang betul.
Jika Anda Pemakai Kanta Lekap
- Cuci tangan sebelum sentuh kanta.
- Gunakan hanya larutan pembersih yang disyorkan (jangan guna air paip atau air liur).
- Jangan tidur dengan kanta kecuali doktor kata boleh.
- Tukar kanta dan bekas simpanan mengikut jadual.
- Tanggalkan kanta sebelum mandi atau berenang.
Untuk Semua Orang
- Pakai cermin mata keselamatan bila bersukan, berkebun atau guna peralatan.
- Lindungi mata daripada cahaya UV dengan cermin mata hitam.
- Rawat mata kering dengan titisan air mata tiruan.
- Segera dapatkan rawatan jika mata tercalar atau tiba-tiba merah dan sakit.
Bila Perlu Berjumpa Doktor Segera
Dapatkan bantuan segera jika anda mengalami:
- Sakit mata yang kuat atau tiba-tiba
- Penglihatan berubah dengan cepat
- Mata merah dan silau pada cahaya
- Keluar cecair pekat atau kelopak mata bengkak
Ini tanda masalah serius yang tidak boleh ditunggu.
Kesimpulan
Keratitis bukan sekadar masalah mata biasa kerana ia boleh mengancam penglihatan jika diabaikan.
Cara terbaik ialah mencegah; jaga kebersihan kanta lekap, lindungi mata, dan jangan tunggu lama untuk dapatkan rawatan jika ada gejala-gejala.
Mata anda tidak sembuh secepat bahagian badan yang lain dan bila penglihatan hilang, sukar untuk pulih semula.
Jadi, jagalah mata anda sebaik mungkin; keratitis adalah masalah yang lebih mudah dielakkan daripada dirawat.
Rujukan
- Singh P, Gupta A, Tripathy K. Keratitis. [Updated 2023 Aug 25]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: NCBI
- Centers for Disease Control and Prevention. (2025). Clinical Overview of Acanthamoeba keratitis. U.S. Department of Health & Human Services.